Monday, December 12, 2011

TAKLIMAT PELAKSANAAN SARAAN BARU PERKHIDMATAN AWAM (SBPA)

Taklimat Pelaksanaan SBPA oleh JPA di Dewan Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin,Dungun, Terengganu


Dungun, 11 Disember 2011 - Satu Taklimat Pelaksanaan Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang disampaikan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam telah diadakan di Dewan Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, Dungun Terengganu. Taklimat tersebut telah dihadiri oleh Pengetua atau Guru Besar berserta Ketua Pembantu Tadbir atau Pembantu Tadbir yang melaksanakan tugas-tugas perkhidmatan dan seterusnya akan memberi taklimat pula kepada kakitangan sekolah atau jabatan masing-masing.


Walaupun saya tidak terlibat untuk menghadiri taklimat tersebut tapi atas rasa ingin tahu dan ingin mendapat maklumat langsung dari JPA sendiri, saya telah menghadiri taklimat tersebut. Di sini saya nyatakan ringkasan info penting SBPA, khasnya untuk kakitangan guru :


STRUKTUR PERKHIDMATAN

Kumpulan Perkhidmatan

SBPA terbahagi kepada empat (4) kumpulan perkhidmatan iaitu Kumpulan Premier, Kumpulan Pengurusan Tertinggi, Kumpulan Pengurusan dan Profesional, serta dan Kumpulan Pelaksana.


Kumpulan Pelaksana diperkenal bagi menggantikan Kumpulan Sokongan. Lapisan gred bagi Kumpulan Pelaksana adalah dikekalkan mengikut kelayakan masuk minimum seperti ditetapkan dalam skim perkhidmatan.


Penggelaran gred jawatan/ gred gaji dikemas kini selaras dengan pembentukan Jadual Gaji Sebaris (JGS) yang menggantikan Jadual Gaji Matriks (JGM).


Penggelaran gred jawatan/ gred gaji ini adalah berasaskan syarat kelayakan masuk minimum yang ditetapkan atau yang setara dalam skim perkhidmatan. Kod Kelayakan Masuk Minimum adalah seperti berikut:

Kod pertama bagi gred jawatan merujuk kepada kelayakan masuk minimum, manakala kod kedua merujuk kepada gred gaji. Pemindahan gred jawatan/ gred gaji sekarang kepada gred baru bagi perkhidmatan pendidikan adalah seperti berikut:


MEMARTABATKAN PROFESION KEGURUAN

Skim Perkhidmatan PPPS dan PPPLD yang berkuat kuasa adalah dipinda menjadi skim perkhidmatan bersepadu Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP).


Kemajuan Kerjaya

Kaedah kenaikan pangkat time-based sedia ada, diberi nafas baru di bawah konsep Guru Wibawa dan Pendeta Guru dengan tempoh perkhidmatan dipendekkan berteras Standard Guru Malaysia.


PPP terbahagi kepada empat (4) kategori iaitu Guru Biasa, Guru Kanan, Guru Wibawa dan Pendeta Guru seperti berikut:

PPP boleh dinaikkan pangkat ke gred yang lebih tinggi tanpa kekosongan jawatan berdasarkan kecemerlangan dengan memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh Lembaga Kenaikan Pangkat mengikut tempoh minimum perkhidmatan yang ditetapkan seperti berikut:

Kemasukan Secara Lantikan Terus Ke Gred Kenaikan Pangkat

Penetapan gaji permulaan bagi kemasukan secara lantikan terus bagi pegawai yang dilantik kali pertama dan pegawai sedang berkhidmat yang belum disahkan dalam perkhidmatan adalah berdasarkan gaji minimum gred jawatan lantikan terus. Bagi pegawai yang sedang berkhidmat yang telah disahkan dalam perkhidmatan, penetapan gaji adalah pada matagaji tertinggi berhampiran yang perbezaannya tidak kurang daripada satu pergerakan gaji biasa bagi gred gaji JGS atau tidak kurang daripada 5% bagi gred gaji minimum-maksimum, terhad kepada gaji maksimum gred jawatan lantikan terus.


Bagi tujuan pengesahan dalam perkhidmatan, pegawai perlu memenuhi tempoh percubaan yang ditetapkan dan menghadiri Program Transformasi Minda (PTM) dengan jayanya kecuali bagi PPP Pengurusan Tertinggi, pegawai hanya perlu memenuhi tempoh percubaan yang ditetapkan.


Program Bersepadu Potensi Dan Kompetensi

Program Bersepadu Potensi dan Kompetensi (PROSPEK) diperkenalkan sebagai sistem baru penilaian kompetensi dan potensi pegawai yang lebih menyeluruh bagi menyandang jawatan di gred yang lebih tinggi. PROSPEK terdiri daripada Penilaian Kompetensi dan Potensi (PKP) dan Pembangunan Kompetensi dan Potensi (BKP).


PPP Gred 1-1 hingga Gred 1-5 yang terlibat dengan pentadbiran, pengurusan dan penyeliaan perlu mengikuti PKP dan BKP sebelum dipertimbangkan untuk kenaikan pangkat. PPP yang tidak terlibat dengan tugas-tugas pentadbiran, pengurusan dan penyeliaan serta PPP Gred 2-1 hingga Gred 2-3 hanya akan dinilai melalui PKP sebelum dipertimbangkan kenaikan pangkat.


Skim Perkhidmatan Yang Dijumudkan Melalui Penggabungan Di Bawah SBPA

Dengan penggubalan skim perkhidmatan bersepadu PPP, skim perkhidmatan PPPS dan PPPLD di bawah SSM dijumudkan (yang berkaitan). Bagi pegawai dalam kategori ini yang tidak bersetuju menerima opsyen SBPA, pegawai di bawah Skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan pegawai di bawah Skim Pencen akan dibersarakan.


Imbuhan Tetap, Elaun Dan Kemudahan

Pelaksanaan SBPA tidak mengubah pemberian Imbuhan Tetap, elaun dan kemudahan yang sedang berkuat kuasa. Walau bagaimanapun, terdapat pindaan bagi kadar dua (2) bayaran insentif yang ditetap berdasarkan gaji pokok yang terpakai bagi Kumpulan Pengurusan Tertinggi PPP iaitu Bayaran Insentif Pedalaman dan Bayaran Insentif Wilayah adalah ditambat pada kadar gaji bulan Disember 2011.


Kenaikan Gaji Tahunan (KGT)

KGT diberi kepada pegawai yang mencapai prestasi sekurang-kurangnya Menepati Sasaran dengan kadar KGT seperti berikut:

Pegawai yang tidak menepati sasaran, tidak diberi KGT.


KGT 2012 bagi pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi adalah pada kadar 5% daripada gaji kecuali mereka yang berprestasi rendah.



SARAAN KUMPULAN PENGURUSAN DAN PROFESIONAL SERTA KUMPULAN PELAKSANA

Gaji Sebaris

Matagaji mengikut susunan Tangga (T) dalam sebaris bagi setiap gred gaji.


Bilangan Tangga (T) yang sama di gred gaji yang sama dalam semua Klasifikasi Perkhidmatan.


Kadar KGT yang sama bagi setiap gred yang setaraf dalam semua Klasifikasi Perkhidmatan dengan pola peningkatan KGT lebih baik berbanding gred lebih rendah.


Kaedah Pemindahan Gaji Dan Tarikh Pergerakan Gaji (TPG)

Bagi maksud pemindahan gaji ke JGS pada 1 Januari 2012, PPP diberikan satu Pergerakan Gaji Biasa di gred gaji asal dan kemudiannya dipindahkan kepada JGS berdasarkan matagaji yang sama dan sekiranya tiada matagaji sama, penetapan adalah pada matagaji tertinggi berhampiran.


Bagi PPP yang berada di matagaji maksimum jadual gaji asal, PPP diberikan kuantum satu Pergerakan Gaji Biasa di gred gaji asal dan kemudiannya dipindahkan kepada JGS berdasarkan matagaji yang sama dan sekiranya tiada matagaji sama, penetapan adalah pada matagaji tertinggi berhampiran.


PPP yang tarikh kenaikan pangkatnya pada 1 Januari 2012 hendaklah diberi pemindahan gaji dari matagaji di gred hakiki kepada matagaji di gred setara SBPA terlebih dahulu dan seterusnya ditetapkan gaji permulaan di gred kenaikan pangkat berdasarkan prinsip kenaikan pangkat di atas gaji SBPA.


TPG tahunan iaitu pada 1 Januari, 1 April, 1 Julai dan 1 Oktober adalah dikekalkan.


PPP yang telah berada di matagaji maksimum pada 31 Disember 2011 akan diubah TPG kepada 1 Januari.


PPP yang terlibat dengan pemindahan gaji daripada dua (2) atau lebih matagaji JGM kepada satu (1) matagaji baru yang sama di JGS. TPG PPP ditetapkan kepada TPG baru.


Pergerakan Gaji Tahunan

Di bawah SBPA hanya satu jenis Pergerakan Gaji Tahunan diberikan iaitu Pergerakan Gaji Biasa. Pegawai yang tidak mencapai prestasi yang ditetapkan tidak layak menerima pergerakan gaji.


Jadual Gaji Khas Untuk Penyandang

Mulai pelaksanaan SBPA, tiada lagi Jadual Gaji Khas Untuk Penyandang (KUP) diwujudkan untuk kes-kes kenaikan pangkat, pertukaran pelantikan, pertukaran sementara, peminjaman, pertukaran tetap dan Peningkatan Secara Lantikan (PSL).


Pegawai Lantikan Kontrak (Contract of Service)

PPPS dan PPPLD lantikan kontrak (contract of service) yang skim perkhidmatannya dijumudkan melalui penggabungan sebagai PPP di bawah SBPA, pelantikan semula perlu dibuat dengan Ketua Jabatan mengemukakan terus kepada Pihak Berkuasa Melantik mengikut baki tempoh kontrak sedia ada. Penetapan gaji pegawai ditentukan mengikut kaedah pemindahan gaji SBPA.



SYARAT-SYARAT PERKHIDMATAN

Tempoh Percubaan

Mulai tarikh kuat kuasa SBPA, PPP yang dilantik secara tetap dikehendaki berkhidmat dalam tempoh percubaan antara enam (6) bulan hingga 24 bulan. PPP boleh disahkan dalam perkhidmatan setelah melalui tempoh percubaan sekurang-kurangnya enam (6) bulan dan memenuhi syarat pengesahan lain yang ditetapkan.


PPP yang masih tidak dapat disahkan dalam perkhidmatan setelah tamat tempoh percubaan maksimum 24 bulan, boleh dilanjutkan tempoh percubaan tidak melebihi tempoh 12 bulan.


Program Transformasi Minda

Program Transformasi Minda (PTM) diperkenalkan sebagai satu pendekatan untuk memberi pendedahan dan penyesuaian minda pegawai di peringkat awal pelantikan dalam Perkhidmatan Awam.


Pingat Perkhidmatan Cemerlang

Selain daripada Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, Pingat Perkhidmatan Cemerlang diperkenalkan bagi mengiktiraf sumbangan pegawai yang melangkaui kebiasaan kepada perkhidmatan, masyarakat dan negara.



DASAR PEMISAH (EXIT POLICY)

Mengeluarkan pegawai berprestasi rendah dan bermasalah. Dasar ini juga menyediakan laluan keluar bagi pegawai berprestasi yang tiada peluang kemajuan kerjaya serta pegawai yang menghadapi masalah kesihatan yang menjejaskan keupayaannya untuk menjalankan tugas.



PERSARAAN DAN FAEDAH PERSARAAN

Umur Persaraan Paksa 60 Tahun

Bagi pegawai yang dilantik pada atau selepas 1 Januari 2012, umur persaraan paksa adalah 60 tahun. Bagi pegawai yang kini tertakluk kepada umur persaraan paksa 55 tahun, 56 tahun atau 58 tahun, pegawai akan ditawar opsyen melanjutkan perkhidmatan sehingga umur persaraan paksa 60 tahun.


Pembayaran Pencen Kepada Pesara Pilihan Diawalkan

Pegawai yang dilantik pada atau selepas 12 April 1991 dan kemudiannya bersara pilihan akan dibayar pencen apabila mencapai umur 55 tahun.


Pengiraan Faedah Persaraan Bagi Persaraan Atas Kehendak Kerajaan

Pegawai yang dikehendaki oleh Kerajaan untuk dibersarakan atas alasan kepentingan negara atau demi kepentingan Perkhidmatan Awam diberi faedah persaraan yang dikira berdasarkan tempoh perkhidmatan seolah-olah pegawai itu berkhidmat sehingga mencapai umur persaraan paksa yang terpakai baginya.



TAWARAN OPSYEN

Opsyen hanya akan diberi kepada PPPS dan PPPLD lantikan tetap yang sedang berkhidmat pada 1 Januari 2012 termasuk pegawai dalam percubaan, tukar sementara dan peminjaman.


Bagi PPPS dan PPPLD yang bersara, meletak jawatan atau dibuang kerja berkuat kuasa pada 1 Januari 2012 atau sebelumnya, opsyen tidak ditawarkan kerana pegawai tidak lagi berada dalam perkhidmatan pada 1 Januari 2012.


Opsyen hendaklah dibuat dalam tempoh 15 hari mulai 16 Disember 2011 hingga 30 Disember 2011.


PPPS dan PPPLD akan ditukar ke skim perkhidmatan bersepadu PPP melalui opsyen SBPA dan pegawai akan ditawarkan dokumen opsyen seperti berikut:

1. Surat Tawaran Opsyen SBPA - Lampiran G1

2. Surat Akuan Oleh Pegawai Mengenai Penerimaan Surat Tawaran Opsyen SBPA - LampiranG2

3. Borang Opsyen SBPA - Lampiran G3

4. Surat Akuan Oleh Ketua Jabatan Mengenai Penerimaan Borang Opsyen SBPA Daripada Pegawai - LampiranG4


Bagi PPPS dan PPPLD yang tidak bersetuju menerima opsyen SBPA akan kekal atas skim perkhidmatan asal, serta tertakluk kepada terma dan syarat perkhidmatan sistem saran yang terpakai bagi pegawai sebelum 1 Januari 2012.


Opsyen hendaklah dibuat tanpa syarat. Pegawai disifatkan sebagai tidak bersetuju menerima opsyen SBPA sekiranya tidak membuat pilihan atau membuat pilihan secara tidak jelas (menanda di luar ruangan yang sepatutnya atau menanda di kedua-dua ruangan) atau dengan bersyarat atau dengan bantahan atau dengan pindaan. Pegawai juga disifatkan sebagai tidak bersetuju menerima opsyen SBPA jika tidak mengembalikan borang opsyen kepada Ketua Jabatan tanpa sebarang sebab yang munasabah sebelum atau pada 30 Disember 2011.


Maklumat detail boleh didapati dengan memuat turun pekeliling berikut:

PEKELILING PERKHIDMATAN BILANGAN 13/2011 (GURU)

PEKELILING PERKHIDMATAN BILANGAN 11/2011 (UMUM)


0 comments:

Post a Comment

Penafian: Pihak admin tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan dan kerosakan yang dialami semasa/selepas melayari blog ini atau menggunakan sebarang maklumat dari dalam blog ini. Komen-komen yang dikirimkan diblog ini juga adalah menjadi tanggungjawab pengirim itu sendiri. Terima kasih.

ENGLAND PREMIER LEAGUE

 
Please use Google Chrome to get the best view with 1280 x 800 resolution and above | Thanks for visiting cgazmi.blogspot.com | Bloggerized by Cg Azmi