Saturday, December 10, 2011

MODEL AUSTRALIA BARAT MANTAPKAN BAHASA INGGERIS

PERTH 9 Dis. – Kementerian Pelajaran akan mengkaji program Kursus Intensif Bahasa Inggeris yang dilaksanakan di Australia Barat dalam usaha kerajaan mengukuhkan penguasaan bahasa itu di kalangan murid-murid di Malaysia.


Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, model tersebut yang dilaksanakan untuk pelajar yang berasal dari negara bukan penutur jati bahasa Inggeris dilihat satu contoh yang baik bagi mencapai matlamat dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI).


Menurutnya, kursus intensif selama setahun yang melibatkan masa pengajaran selama lima jam setiap hari berjaya membolehkan pelajar berkenaan menguasai bahasa Inggeris dengan baik sebelum ke sistem persekolahan biasa di Australia.


“Saya berpendapat pengalaman ini mungkin kita boleh lihat dalam konteks Malaysia. Waktu umur yang agak masih muda seperti di peringkat prasekolah. Namun kita akan kaji terlebih dahulu.


“Mungkin waktu setahun sebelum masuk sekolah biasa dengan kandungan pembelajaran Bahasa Inggeris dapat ditambah lebih daripada apa yang ada sekarang,” katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat daripada wakil Jabatan Pendidikan Australia Barat di sini hari ini.


Taklimat kira-kira sejam oleh dua wakil jabatan itu bertujuan menjelaskan mengenai Kursus Intensif Bahasa Inggeris yang digunakan di Australia Barat untuk mengajar dan meningkatkan kemahiran murid-murid bukan penutur jati bahasa Inggeris sebaik sahaja mereka memasuki sistem pelajaran di negara itu.


Menurut Muhyiddin, pengalaman Australia ini boleh dijadikan model namun pelaksanaannya perlu disesuaikan dengan konteks Malaysia, selain mengambil kira jumlah tenaga pengajar dan kos yang perlu ditanggung oleh kerajaan.


"Di sini (Australia) mungkin lebih mudah kerana jumlah yang terlibat pun tidak ramai iaitu kira-kira 7,000 murid sahaja berbanding di Malaysia dengan satu kohot melibatkan kira-kira 500,000 murid, jadi untuk melaksanakan kursus ini akan memerlukan kos yang tinggi.


“Berdasarkan taklimat wakil jabatan itu, kerajaan Australia dianggarkan mengeluarkan kos sebanyak AUD$12,000 (kira-kira RM39,000) bagi setiap pelajar yang mengikuti kursus itu, iaitu dua kali ganda daripada perbelanjaan untuk murid- murid di sekolah biasa,” jelasnya.


Tambah Muhyiddin, usaha ini dilihat sebagai tambahan kepada inisiatif yang telah dilakukan sebelum ini seperti membawa masuk guru-guru dari negara penutur jati bahasa Inggeris dan menambah masa pembelajaran bahasa berkenaan.


Namun katanya, bagi menambah masa pembelajaran bukan mudah kerana sebahagian sekolah di Malaysia mempunyai dua sesi iaitu pagi dan petang yang jika ditambah masa ia akan mengganggu proses pembelajaran.


“Jadi nak menambah masa mana yang boleh, apakah di peringkat prasekolah permulaannya dan selepas itu di peringkat sekolah formal, sama ada darjah tiga atau empat untuk program intensif bahasa Inggeris. Ini yang kita akan kaji.


“Dan tujuan kita nak melihat apa yang dilaksanakan di Australia supaya selaras dengan dasar MBMMBI yang mana kita perlu lihat pendekatan inovatif walaupun di sini mungkin lebih mudah kerana persekitaran masyarakat berbahasa Inggeris, selain jumlah pelajar yang kecil kerana ia hanya untuk pelajar dari Asia,” ujarnya.


Sumber: Utusan Online

0 comments:

Post a Comment

Penafian: Pihak admin tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan dan kerosakan yang dialami semasa/selepas melayari blog ini atau menggunakan sebarang maklumat dari dalam blog ini. Komen-komen yang dikirimkan diblog ini juga adalah menjadi tanggungjawab pengirim itu sendiri. Terima kasih.

ENGLAND PREMIER LEAGUE

 
Please use Google Chrome to get the best view with 1280 x 800 resolution and above | Thanks for visiting cgazmi.blogspot.com | Bloggerized by Cg Azmi