Tuesday, September 2, 2014

Warga Pendidik Harus Guna Pendekatan Inovatif Dalam Proses Pembelajaran

Warga pendidik di sekolah mahupun di institut pengajian tinggi perlu sentiasa mencari pendekatan inovatif bagi menggalakkan penyertaan pelajar sewaktu proses pembelajaran, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan perdana menteri berkata antara kaedah yang mungkin boleh diterokai bagi tujuan itu ialah kursus terbuka dalam talian iaitu akses penyertaan dan interaksi pengajar dan pelajar melalui web dan 'flipped classroom' iaitu penyediaan bahan pengajaran juga yang boleh dicapai melalui web.

"Pengisian media (dan nota) yang diintegrasikan berupaya tingkatkan akses kepada pembelajaran tanpa batasan masa dan ruang, di samping mampu mengurangkan kos serta menjimatkan masa.

"Ia juga dapat membantu pelajar kuasai kaedah alternatif dalam memahami sesuatu konsep dan teori serta mencapai standard keberhasilan pembelajaran yang kompeten," katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Akademik Negara 2013 edisi kelapan Kementerian Pendidikan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini Selasa.

Dalam majlis itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyampaikan anugerah Tokoh Akademik Negara 2013 kepada Naib Canselor Universiti Putra Malaysia yang pertama iaitu Prof Emeritus Tan Sri Dr Mohd Rashdan Baba.

Prof Mohd Rashdan juga merupakan naib canselor pertama Universiti Kebangsaan Malaysia sebelum ini.

Anak kelahiran Rembau, Negeri Sembilan berusia 79 tahun itu, menerima sebuah piala pusingan, wang tunai RM200,000 serta sijil penghargaan atas sumbangan cemerlang beliau dalam bidang agronomi.

Berucap lebih lanjut, Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata sekiranya warga pendidikan mengambil inisiatif untuk menggunakan pendekatan itu, beliau percaya pendidikan negara mampu diperkasa lagi ke tahap yang lebih baik.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru ahli akademik serta warga pendidik untuk menjadikan anugerah ini sebagai pembakar semangat dan pemangkin kepada kecemerlangan diri dan institut pengajian tinggi masing-masing.

"Anugerah ini bukan sekadar suatu pengiktirafan untuk mereka yang telah capai kecemerlangan dalam aspek pengajaran, tapi juga buat penyelidik, penulis buku, penggiat seni, usahawan dan juga warga akademik harapan yang telah pamerkan kecemerlangan dalam penjanaan dan pengkongsian ilmu," katanya.

Muhyiddin berkata pendekatan yang lebih inovatif dalam perkongsian dan penjanaan ilmu adalah perlu memandangkan zaman kini telah menyaksikan trend pembelajaran yang berubah serta kian mencabar.

 

0 comments:

Post a Comment

Penafian: Pihak admin tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan dan kerosakan yang dialami semasa/selepas melayari blog ini atau menggunakan sebarang maklumat dari dalam blog ini. Komen-komen yang dikirimkan diblog ini juga adalah menjadi tanggungjawab pengirim itu sendiri. Terima kasih.

ENGLAND PREMIER LEAGUE

 
Please use Google Chrome to get the best view with 1280 x 800 resolution and above | Thanks for visiting cgazmi.blogspot.com | Bloggerized by Cg Azmi