Thursday, November 3, 2011

GUNA BAHASA MELAYU TIADA CACAT CELA


APABILA Kabinet sebulat suara bersetuju memansuhkan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), terdapat beberapa ‘pungutan suara’ yang menggesa agar hasrat itu ditangguhkan. Kelompok ini meminta agar kerajaan mengkaji semula pemansuhan itu dengan mengharapkan kerajaan memberi pilihan kepada pelajar untuk belajar Sains dan Matematik sama ada dalam bahasa Melayu atau Inggeris.


Saya memuji pihak Kementerian Pelajaran yang tetap bertegas dengan pendirian dibuat. Hakikatnya, kelompok ini perlu sedar pelaksanaan pemansuhan ini dikaji dengan teliti mencakupi segenap aspek dalam usaha memartabatkan sistem pendidikan negara.


Ketika Perdana Menteri berhasrat mahu menjadikan Malaysia negara maju dan berpendapatan tinggi, maka kita perlu melihat pelaksanaan ini satu tindakan holistik.


Tindakan kerajaan mengembalikan semula pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu harus dilihat sebagai satu usaha mewujudkan satu ambiguiti nasional antara pemerolehan ilmu dalam bahasa kebangsaan melalui proses penterjemahan ilmu dan istilah baru dan pembentukan jati diri nasional antara kaum selaras Gagasan 1Malaysia menuntut rakyat bersatu-padu melalui satu identiti nasional. Maka, pembudayaan ilmu, terutama Sains dan Matematik yang sedang berkembang pesat menggunakan bahasa kebangsaan sebagai pengantaranya salah satu daripada mekanismenya.


Rungutan sesetengah pihak bahawa bahasa Melayu kekurangan istilah dan perkataan dalam Sains dan Matematik ternyata tidak cukup berasas. Siapa yang dapat menafikan, puluhan ribu cendekiawan, profesor, ahli perniagaan, saintis, doktor, guru, teknokrat dan jurutera yang berjaya pada hari ini adalah golongan yang menerima didikan subjek Sains dan Matematik yang diajar dalam bahasa Melayu pada era 80-an hingga 90-an? Kebimbangan pihak ini hakikatnya tidak lebih daripada keraguan terhadap keupayaan bahasa kebangsaan sendiri yang jarang mereka tuturkan dalam landskap kehidupan masing-masing.


Justeru, pemansuhan PPSMI tidak harus dijadikan polemik dan pertikaian kerana usaha ini harus dilihat satu wadah kolektif untuk membina tamadun bangsa Malaysia yang berjaya dengan acuan dan identiti nasional yang ampuh dalam lapangan pendidikan yang maju, tetapi masih tetap diresapi elemen tradisi bahasanya yang pernah mencatat galur sejarah gemilang. Oleh itu, saya menggesa semua pihak menghentikan polemik ini kerana dayung sudah di tangan, kolek sudah di air. Kita hanya perlu mendayung ke muara cita-cita dengan tekad dan harapan sama.

ZULFAZLAN JUMRAH, Kuala Lumpur

Sumber: Berita Harian Online

0 comments:

Post a Comment

Penafian: Pihak admin tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan dan kerosakan yang dialami semasa/selepas melayari blog ini atau menggunakan sebarang maklumat dari dalam blog ini. Komen-komen yang dikirimkan diblog ini juga adalah menjadi tanggungjawab pengirim itu sendiri. Terima kasih.

ENGLAND PREMIER LEAGUE

 
Please use Google Chrome to get the best view with 1280 x 800 resolution and above | Thanks for visiting cgazmi.blogspot.com | Bloggerized by Cg Azmi