Wednesday, June 23, 2010

Ujian khas ganti UPSR, PMR

PUTRAJAYA: Ujian khas mungkin diwujudkan bagi menggantikan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) bagi memilih pelajar yang layak dan ingin memasuki sekolah berasrama penuh (SBP)

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, ujian berkenaan tidak wajib kepada semua pelajar, tetapi hanya diadakan untuk mereka yang memilih SBP untuk meneruskan pelajaran ke peringkat menengah.


“Ujian khas ini pernah dilaksanakan dulu untuk kemasukan ke Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK). Ia mungkin akan diselaraskan, tetapi bukan dijadikan peperiksaan wajib.


“Ramai pelajar yang mendapat 5A dalam UPSR tidak berminat untuk ke SBP. Bagaimanapun, perkara ini masih di peringkat cadangan,” katanya selepas majlis lawatan sambil belajar 49 anak yatim dan pengasuh Asrama Anak yatim Johor di Aceh di kementerian Pelajaran di sini, semalam.


Beliau berkata, kementerian menerima maklum balas positif daripada pelbagai pihak termasuk tokoh akademik berhubung cadangan itu.


“Maklum balas daripada masyarakat amat penting kerana pendidikan satu perkara dinamik yang perlu ditransformasikan berdasarkan kehendak semasa.


“Malah, kementerian sudah membuat kajian kerana sistem pentadbiran sudah berubah sama ada kita mahu menggunakan sistem pembelajaran berorientasikan peperiksaan atau sebaliknya,” katanya.


Dr Mohd Puad berkata, pemansuhan UPSR dan PMR adalah perlu untuk menjadikan sistem vokasional sebagai pendidikan arus perdana.


Beliau berkata, ia juga perlu bagi memastikan sistem pendidikan negara mempunyai dua aliran iaitu vokasional dan akademik.


“Kalau nak mengarus perdanakan sistem vokasional supaya ia mempunyai sistem peperiksaan sendiri berbanding Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) maka menghapuskan dua peperiksaan awam ini amat perlu.


“Maka, barulah kita dapat menunaikan di negara ini ada dua aliran yang menjadi pilihan, iaitu vokasional dan akademik,” katanya.

Sumber: Harian Metro

0 comments:

Post a Comment

Penafian: Pihak admin tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan dan kerosakan yang dialami semasa/selepas melayari blog ini atau menggunakan sebarang maklumat dari dalam blog ini. Komen-komen yang dikirimkan diblog ini juga adalah menjadi tanggungjawab pengirim itu sendiri. Terima kasih.

ENGLAND PREMIER LEAGUE

 
Please use Google Chrome to get the best view with 1280 x 800 resolution and above | Thanks for visiting cgazmi.blogspot.com | Bloggerized by Cg Azmi