Monday, June 21, 2010

Memansuhkan Ujian UPSR dan PMR

KUALA LUMPUR: Beberapa pihak berkaitan bersetuju dengan cadangan Kementerian Pelajaran untuk memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) bagi mengelakkan sistem pendidikan negara daripada terus berorientasikan peperiksaan.

Masing-masing juga berpendapat pemansuhan kedua-dua peperiksaan itu akan membolehkan pelajar menumpukan kepada peperiksaan yang lebih penting dalam menentukan hala tuju mereka.


Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung, Jais Abdul Karim, berkata langkah itu akan dapat memantapkan sistem pendidikan dan seterusnya melahirkan pelajar yang lebih fokus dan tenang.


“Sistem kita hari ini terlalu berorientasikan peperiksaan dan ini memberi tekanan kepada pelajar dan mereka belajar secara membuta tuli semata-mata untuk lulus peperiksaan tanpa memikirkan sama ada ilmu yang diperoleh boleh digunakan pada masa akan datang,” katanya.


Pemansuhan itu juga katanya akan memberi lebih banyak masa kepada guru untuk mengajar secara lebih berkesan dan tidak terikat dengan jadual peperiksaan.


Bagaimanapun katanya, pada masa yang sama kementerian wajar mencari kaedah lain yang lebih sesuai untuk mengukur pencapaian pelajar.


Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin dipetik berkata, kementerian itu mungkin memansuhkan dua peperiksaan tersebut. Ini berikutan aspek pembelajaran ketika ini dilihat lebih berorientasikan kepada peperiksaan sehingga tujuan utama untuk memberikan pendidikan holistik tidak dapat dilakukan sepenuhnya.


Sementara itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan, berkata pemansuhan PMR wajar dilaksana memandangkan peranan peperiksaan tingkatan tiga itu hanya untuk menentukan aliran yang akan diikuti mereka ketika di tingkatan empat.


“Akan tetapi UPSR wajar dikekalkan kerana masih relevan sebagai penarafan pelajar untuk belajar bersungguh-sungguh dan lebih bersedia sebelum memasuki sekolah menengah,” katanya.


Pegawai Perhubungan Pesatuan Bekas Perkhidmatan Pendidikan Malaysia, Abdul Karim Abdullah pula berkata, pemansuhan kedua-dua peperiksaan itu akan membolehkan pelajar dan guru menumpukan perhatian kepada kegiatan kokurikulum dan sukan. - Bernama

Sumber: Harian Metro

0 comments:

Post a Comment

Penafian: Pihak admin tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan dan kerosakan yang dialami semasa/selepas melayari blog ini atau menggunakan sebarang maklumat dari dalam blog ini. Komen-komen yang dikirimkan diblog ini juga adalah menjadi tanggungjawab pengirim itu sendiri. Terima kasih.

ENGLAND PREMIER LEAGUE

 
Please use Google Chrome to get the best view with 1280 x 800 resolution and above | Thanks for visiting cgazmi.blogspot.com | Bloggerized by Cg Azmi