Monday, June 14, 2010

Syor wajib Tamil, Mandarin

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengkaji cadangan mewajibkan subjek Bahasa Mandarin dan Bahasa Tamil di sekolah kebangsaan bagi membolehkan murid pelbagai kaum di negara ini menguasai lebih daripada dua bahasa, termasuk bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pembelajaran bahasa ibunda memang sudah ada dalam dasar Kementerian Pelajaran, tetapi tidak dilaksanakan sepenuhnya.

“Justeru, ia (cadangan) akan diteliti. Saya sedar dengan usaha itu, mungkin rakyat kita bukan saja daripada keturunan India atau Cina tetapi keturunan lain boleh belajar lebih daripada dua bahasa seperti bahasa Mandarin dan Tamil serta bahasa kita sendiri.

“Dengan cara itu, kita dapat berinteraksi dengan mudah dan dapat menghayati cara kehidupan masyarakat pelbagai kaum serta menghargai nilai seni budaya dan bangsa, selain menimba ilmu daripada bahasa berkenaan,” katanya ketika merasmikan Konvensyen Parti Progresif Penduduk (PPP) Wilayah Persekutuan 2010, di sini semalam.

Muhyiddin berkata demikian ketika mengulas permintaan Presiden PPP, Datuk M Kayveas dalam ucapannya sebelum itu supaya Mandarin dan Tamil dijadikan sebagai subjek wajib dalam sistem pendidikan negara bagi menggambarkan gagasan 1Malaysia yang sebenar.

Kayveas juga meminta kerajaan menyelesaikan isu berhubung pemberian biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang didakwanya ada pelajar tidak layak mendapat biasiswa.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, isu biasiswa sudah dibangkitkan di peringkat Kabinet dan kerajaan sedang meneliti langkah untuk memastikan pelajar yang layak dengan keputusan cemerlang tidak diabaikan, termasuk memberikan pinjaman pelajaran.

“Mereka harus diberikan peluang untuk membolehkan mereka belajar sampai ke peringkat universiti. Kalau pun tidak biasiswa, mungkin dengan bantuan pinjaman pelajaran bagi menyelesaikan pengajian mereka,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, kerajaan memperuntukkan RM40 juta setahun bagi menanggung kos pembayaran utiliti sekolah bantuan modal termasuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan Sekolah Mubaligh.

Katanya, ia sebahagian daripada usaha kerajaan yang bermula tahun ini bagi mengurangkan beban sekolah berkenaan.

Sumber: Berita Harian

0 comments:

Post a Comment

Penafian: Pihak admin tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan dan kerosakan yang dialami semasa/selepas melayari blog ini atau menggunakan sebarang maklumat dari dalam blog ini. Komen-komen yang dikirimkan diblog ini juga adalah menjadi tanggungjawab pengirim itu sendiri. Terima kasih.

ENGLAND PREMIER LEAGUE

 
Please use Google Chrome to get the best view with 1280 x 800 resolution and above | Thanks for visiting cgazmi.blogspot.com | Bloggerized by Cg Azmi