Wednesday, August 28, 2013

Sistem Pendidikan Negara Perlu Kembali Kepada Perlembagaan Dan Undang-Undang

Kerajaan didesak supaya mengembalikan semula sistem pendidikan yang berpaksikan Perlembagaan negara yang dilihat sebagai faktor penting dalam menyatupadukan rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Bekas Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) Tan Sri Ibrahim Abu Shah berkata semangat kekitaan dan perpaduan dalam kalangan rakyat tidak akan dapat dicapai jika sistem pendidikan vernakular terus diamalkan di Malaysia.

"Selagi kita tidak berbalik kepada asas negara, kita tidak akan mencapai perpaduan, semangat kekitaan atau integrasi nasional yang kita idamkan selama ini," katanya pada sesi pembentangan dan perakuan resolusi Kongres Perdana Pendidikan Kebangsaan di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini Selasa.

Terdahulu, ketika mempengerusikan sidang pleno bertajuk 'Sistem Pendidikan Berkesan Pembina Peradaban dan Nilai Budaya' pada kongres berkenaan, Ibrahim berkata kerajaan tidak perlu berlembut atau tunduk kepada permintaan Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong).

Beliau berkata persatuan itu tidak akan pernah berpuas hati dengan dasar pendidikan negara.

Persatuan berkenaan sering mencetuskan kontroversi apabila membantah pelaksanaan dasar pendidikan negara yang dibuat bagi memajukan sektor pendidikan, termasuk menolak pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) pada September ini.

Ibrahim berkata badan bukan kerajaan (NGO) perlu lebih tegas dalam memperjuangkan isu berkenaan.

Pandangan sama turut dikongsi pakar perundangan Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman yang menyatakan Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pendidikan 1996 mempunyai peruntukan jelas berhubung hak pendidikan saksama dan kedudukan Bahasa Melayu dan ia tidak seharusnya diubah demi keperluan politik semata-mata.

"Sejak awal Perlembagaan dan perundangan berkaitan secara jelas menyebut Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan alat perpaduan negara bangsa, dan ini jangan diubah...apa sahaja yang bertentangan dengan undang-undang hendaklah ditolak dan tidak dilayan,"katanya.

Pensyarah di institut pengajian tinggi swasta Noorhajran Mohd Noor pula menganggap sebarang perubahan sistem pendidikan yang bertunjang kepada kepentingan politik dan populariti harus dihentikan untuk memastikan hak kaum Melayu dalam Perlembagaan terus dihormati.

Seorang peserta Datuk Sulaiman Samad pula mempertikaikan ketegasan kerajaan dalam melaksanakan peruntukan 152 Perlembagaan Persekutuan berhubung penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar apabila Bahasa Inggeris lebih banyak digunakan termasuk dalam persidangan Parlimen dan di mahkamah.

Bekas pengetua sekolah menengah itu berkata kerajaan perlu lebih tegas dan bersungguh-sungguh dalam pelaksanaan jika mahu pematuhan terhadap Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang yang digubal terus relevan di mata rakyat.

Naib Pengerusi Persatuan Guru-Guru Pencen Pulau Pinang Datuk Daud Tahar pula mendesak supaya dasar meritokrasi pendidikan dihapuskan kerana bertentangan dengan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang memberi tanggungjawab kepada Yang di-Pertuan Agong menjaga kedudukan keistimewaan orang Melayu termasuk mengadakan kuota kemasukan ke perkhidmatan awam, biasiswa dan pendidikan awam.

Katanya dasar yang memberi kesaksamaan kepada semua individu tanpa mengira kaum, sekiranya mahu diteruskan, harus meletakkan persaingan sesama kaum terlebih dahulu sebelum dipilih berdasarkan peratusan pendidikan yang sudah ditetapkan.

- BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

Penafian: Pihak admin tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan dan kerosakan yang dialami semasa/selepas melayari blog ini atau menggunakan sebarang maklumat dari dalam blog ini. Komen-komen yang dikirimkan diblog ini juga adalah menjadi tanggungjawab pengirim itu sendiri. Terima kasih.

ENGLAND PREMIER LEAGUE

 
Please use Google Chrome to get the best view with 1280 x 800 resolution and above | Thanks for visiting cgazmi.blogspot.com | Bloggerized by Cg Azmi