Firman
Allah SWT di dalam sebuah Hadis Qudsi yang menyebut mengenai sifat syukur,
iaitu terjemahannya;
“Kalau Aku uji kamu dengan
kesusahan, kamu tidak mahu bersabar, dan kalau Aku uji kamu dengan nikmat, kamu
tidak mahu bersyukur, maka nyahlah kamu dari bumi dan langit Allah ini dan
pergilah cari Tuhan yang lain.”
Kalau
kita perhatikan hidup manusia ini dengan teliti, kita akan dapati bahawa
manusia ini sedetik pun tidak terlepas dari diuji. Manusia diuji dengan ujian
kesusahan ataupun ujian nikmat yang silih berganti datangnya. Kemudian manusia
dituntut supaya bersabar dalam menerima kesusahan serta bersyukur dalam
menerima nikmat. Jadi, pada hakikatnya, apa sahaja pergolakan dan perubahan
yang berlaku dalam hidup manusia ini, ia hanya mempunyai dua sifat atau dua
bentuk. Sama ada ia ujian kesusahan atau ujian nikmat. Atas kedua-dua bentuk
ujian ini, hati kita perlu menerimanya dengan betul, iaitu bersabar apabila
menerima kesusahan dan bersyukur apabila dikurniakan nikmat.
Di
antara kedua-dua tuntutan ini, sekali imbas kita lihat, bersabar itu lebih susah
dan lebih berat untuk dipraktikkan. Ini kerana dalam bersabar, hati manusia
perlu melalui kesusahan, keresahan, tekanan dan penderitaan. Emosi, fikiran dan
ketenangan jiwa terganggu. Kebahagiaan hilang. Bersyukur pula, pada sekali
imbas, nampak lebih senang dan mudah kerana hati manusia berada dalam keadaan
tenang dan gembira; tidak ada tekanan atau penderitaan.
Apakah
ini benar? Adakah bersyukur itu lebih mudah dari bersabar? Kalau benar kenapa
tidak ramai orang yang mampu bersyukur? Kenapakah orang-orang yang benar-benar
bersyukur itu sedikit sekali bilangannya. Kenapakah Allah ada berfirman di
dalam Al Quran:
Maksudnya:
“Sedikit sekali dari
hamba-hambaKu yang bersyukur.” (Surah As-Saba’: 13)
Bersyukur
itu sebenarnya berperingkat-peringkat. Ramai orang, apabila mendapat nikmat,
lantas mereka memuji Allah. Mereka ucapkan ‘Alhamdulillah’. Ini bersyukur cara
biasa. Ramai yang boleh bersyukur dengan cara ini. Akan tetapi, kalau setakat
ucapan sahaja, ia belum lagi dikira bersyukur yang sebenarnya. Kalau setakat
ucapan sahaja, tetapi tuntutan-tuntutan lain dalam bersyukur itu tidak
dilaksanakan, maka ditakuti ucapan ‘Alhamdulillah’ itu hanyalah untuk
mempermain-mainkan atau mempersendakan Allah sahaja.
Ramai
juga orang, apabila menerima nikmat atau diselamatkan dari bala bencana, lantas
mereka memuji Allah dan mengucapkan ‘Alhamdulillah’. Di samping itu hati mereka
benar-benar merasakan Allahlah yang telah memberi mereka nikmat itu, atau
Allahlah yang telah menjauhkan mereka dari bala bencana tersebut. Mereka diberi
pahala kerana merasakan syukur itu di dalam hati mereka. Ini bersyukur
peringkat kedua.
Adapun
syukur yang sebenar itu ialah syukur yang diucapkan oleh lidah, yang dirasakan
atau ditasdik di dalam hati, dan yang dilaksanakan dalam perbuatan. Di samping
mengucapkan ‘Alhamdulillah’ dan di hati merasakan bahawa Allahlah yang
mengurniakan nikmat tersebut, nikmat itu mesti digunakan atau dikorbankan ke
jalan Allah. Inilah hakikat kesyukuran yang sebenarnya.
Kalau
kita kaya contohnya, kekayaan itu perlu digunakan ke jalan Allah untuk membantu
fakir miskin, untuk jihad fisabilillah dan untuk kemaslahatan umat Islam
keseluruhannya. Begitulah juga dengan segala bentuk nikmat Allah yang lain.
Semuanya perlu dimanfaatkan ke jalan Allah untuk mendapat keredhaanNya.
Firman
Allah :
Maksudnya: “Kalau kamu
bersyukur atas nikmat-nikmatKu, Aku akan tambah lagi nikmat-nikmatKu. Tetapi
kalau kamu kufur nikmat, ingatlah sesungguhnya siksaKu amat pedih.” (Surah
Ibrahim: 7)
Syukur
seperti inilah yang Allah suka dan yang Allah mahu. Dia akan tambah lagi nikmatNya,
untuk ‘cover’ balik apa yang dikorbankan ke jalan Allah itu.
Justeru
itu, kita dapati dalam bersyukur itu ada tugas, ada kerja dan ada
tanggungjawabnya iaitu kita terpaksa mengguna dan mengorbankan nikmat yang
Allah kurniakan itu ke jalan Allah. Nikmat Allah itu perlu ditadbir, diurus dan
digunakan pada jalan yang betul. Amat mudah bagi manusia lupa diri dan
menggunakan nikmat Allah itu kepada jalan yang sia-sia atau lebih berat lagi
kepada jalan maksiat atau jalan yang salah. Kalau ini berlaku maka nikmat itu
akan bertukar menjadi bala dan mendapat laknat daripada Allah.
Dalam
bersabar, kita tidak ada kerja atau tanggungjawab tambahan selain dari menahan
perasaan. Tidak ada bahaya menyalahgunakan nikmat kurniaan Tuhan. Apa yang
perlu hanyalah menjaga dan mendidik hati supaya dapat menerima ketentuan Allah
itu dan berbaik sangka denganNya.
Wassalam.
0 comments:
Post a Comment