Wednesday, July 24, 2013

Bayaran Bantuan Khas Kewangan RM500 Kepada Penjawat Awam

Datuk Seri Najib Tun Razak Rabu mengumumkan Bayaran Bantuan Khas Kewangan RM500 sebagai persiapan hari raya kepada penjawat awam bagi Gred 1 hingga Gred 54.

Perdana Menteri juga mengumumkan Bayaran Bantuan Khas Kewangan RM250 kepada 660,000 pesara kerajaan bagi menghargai jasa bakti mereka.

Katanya pembayaran bantuan khas itu akan dibuat pada 31 Julai ini.

Bayaran Bantuan Khas Kewangan kepada penjawat awam dan pesara kerajaan itu masing-masing membabitkan peruntukan kewangan RM670 juta dan RM165 juta, katanya dalam kenyataan di ibu negara, Rabu.

Di samping bayaran bantuan khas itu, penjawat awam menikmati dua Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) pada tahun ini, katanya.

"Pertama, kenaikan gaji tahunan biasa dan kedua adalah pemberian faedah pemindahan gaji yang diawalkan bersamaan dengan amaun 1KGT mengikut gred gaji masing-masing yang akan diterima esok, sebagaimana yang diumumkan oleh saya dalam Majlis Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-13," katanya.

Najib berkata langkah itu berikutan kajian penambahbaikan skim perkhidmatan dan pembetulan struktur gaji yang akan diselesaikan pada Disember ini dalam Sistem Saraan Transformatif.

Katanya, pembayaran KGT ini melibatkan peruntukan kewangan RM1.3 bilion bagi 1.4 juta penjawat awam bagi tempoh enam bulan atau RM3.9 bilion untuk setahun.

"Faedah ini akan diperoleh sepanjang tempoh perkhidmatan. Mereka juga akan menerima faedah pencen yang lebih tinggi berikutan kenaikan dua KGT pada tahun ini," katanya.

Najib berkata kerajaan memperuntukkan RM4.7 bilion pembayaran KGT dan Bayaran Bantuan Khas Kerajaan bagi penjawat awam dan pesara guna membantu meringankan beban kewangan sebagai persiapan hari raya.

- BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

Penafian: Pihak admin tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan dan kerosakan yang dialami semasa/selepas melayari blog ini atau menggunakan sebarang maklumat dari dalam blog ini. Komen-komen yang dikirimkan diblog ini juga adalah menjadi tanggungjawab pengirim itu sendiri. Terima kasih.

ENGLAND PREMIER LEAGUE

 
Please use Google Chrome to get the best view with 1280 x 800 resolution and above | Thanks for visiting cgazmi.blogspot.com | Bloggerized by Cg Azmi