Thursday, May 19, 2011

BAWA BERTENANG – SUSULAN KENAIKAN PANGKAT GURU

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK) yakin kerajaan akan menangani rintihan serta masalah yang dihadapi 400,000 guru kelas biasa dan memberikan mereka lebih banyak peluang kenaikan pangkat.


Setiausaha Agungnya Lok Yim Pheng berkata, guruyang adalah teras pendidik peringkat akar umbi, seharusnya bertenang dan meneruskan tugas murniseperti biasa, dan menyerahkan kepada kesatuan soal mengenai perjuangan menjaga kebajikan mereka.


Katanya, kenyataan beliau itu adalah sebagai menyuarakan ‘rasa kecewa dan kebimbangan’ guru itu dengan pengumuman kerajaan pada Hari Guru baru-baru ini yang membawa berita gembira kepada lebih 2,000 guru besar dan guru penolong kanan yang akan menikmati kenaikan gaji mulai awal tahun depan.


“Ironinya di sebalik membawa kegembiraan, pengumuman itu menimbulkan kebimbangan di kalangan guru kerana sejumlah besar daripada mereka seperti diketepikan,” katanya di sini, semalam.


Beliau berkata, kesatuan yang mewakili 140,000 guru di seluruh negara akan berusaha untuk mengadakan perjumpaan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak secepat mungkin untuk memaklumkan sendiri mengenai rintihan dan masalah yang dihadapi guru kelas biasa.


Lok berkata, kesatuan tidak akan menghampakan guru itu kerana mereka merupakan tonggak pendidikan.


“Tanpa dedikasi guru kelas ini, kalangan guru besar dan pengetua saja tidak akan dapat mengendalikan sekolah,” katanya.


Seorang guru yang dikenali sebagai Chandran, 45, yang berpengalaman 18 tahun mengajar berkata beliau sayangkan kerjaya guru dan muridnya, namun beliau kecewa kerana dedikasinya selama ini seperti tidak dipandang.


“Saya biasanya pulang lewat satu atau dua jam lewat kerana saya lanjutkan masa mengajar di sekolah, khusus buat pelajar lemah, malah saya ambil inisiatif menghimpunkan mereka pada hujung minggu untuk membantu mereka dalam pelajaran, namun ini nampaknya tidak dihargai sekolah,” katanya.


Seorang lagi guru, Miss Tan berkata, beliau sedih dengan pengumuman itu, kerana beliau mahupun rakan sejawatannya tidak memperolehi apa-apa manfaat daripadanya.


“Kami bekerja keras, tapi dedikasi kami seperti tak dihargai,” katanya.- Bernama


Sumber: Harian Metro

0 comments:

Post a Comment

Penafian: Pihak admin tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan dan kerosakan yang dialami semasa/selepas melayari blog ini atau menggunakan sebarang maklumat dari dalam blog ini. Komen-komen yang dikirimkan diblog ini juga adalah menjadi tanggungjawab pengirim itu sendiri. Terima kasih.

ENGLAND PREMIER LEAGUE

 
Please use Google Chrome to get the best view with 1280 x 800 resolution and above | Thanks for visiting cgazmi.blogspot.com | Bloggerized by Cg Azmi