Thursday, May 26, 2011

9 SBT BARU DIUMUM

PUTRAJAYA: Sembilan sekolah lagi termasuk dua sekolah rendah dinobatkan sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) Kohort Dua Kumpulan Kedua tahun ini, sekali gus menjadikan keseluruhan 52 SBT ketika ini.


Enam daripada sekolah itu di Semenanjung membabitkan Sekolah Menengah Agama Persekutuan Labu dan Sekolah Menengah Sains (SMS) Tuanku Munawir di Negeri Sembilan; Sekolah Menengah Kebangsaan Lembah Bidong, Terengganu; SMS Kuala Selangor dan Sekolah Kebangsaan Seksyen 9 di Selangor serta Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Naim Lilbanat di Kelantan. Manakala tiga lagi ialah SMS Sabah; SMS Kuching dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Tung Hua, di Sarawak.


Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sekolah berkenaan dikenal pasti menerusi program bimbingan yang dijalankan Unit Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dengan kerjasama Unit SBT Bahagian Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan (BPSBPSK).


“Seperti diketahui Indeks Penunjuk Utama (KPI) SBT untuk tahun ini 50 sekolah. (Namun) memandangkan 23 sekolah saja diiktiraf Februari lalu, Unit NKRA dengan kerjasama Unit SBT, BPSBPSK bekerja keras memastikan sasaran 30 sekolah lagi dapat diberi status SBT tahun ini melalui program bimbingan berkenaan.


“Melalui program ini kita dapat mengenal pasti kekuatan dan kekurangan sekolah berpotensi, sekali gus membolehkan sekolah berkenaan dibimbing untuk mencapai status SBT,” katanya pada majlis pengiktirafan SBT Kohort Dua Kumpulan Dua di Kementerian Pelajaran, di sini, semalam.


Beliau berkata demikian melalui teks ucapan dibacakan Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Ir Wee Ka Siong. Hadir sama, Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Dr Rosli Mohamed dan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd Ghafar Mahmud.


Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, pada 2010 sebanyak 20 SBT diumumkan sebagai SBT manakala 23 lagi pada Februari lalu.


Menurutnya, SBT menarik minat negara lain untuk mengadakan kerjasama baru bagi tujuan peningkatan pencapaian secara keseluruhan.


Ini kerana katanya, ada sekolah yang sudah diiktiraf sebagai SBT dilawati beberapa negara seperti Singapura, Thailand, China, Jepun dan Finland bagi tujuan penanda aras.

“Selepas diberi status SBT, setiap sekolah hendaklah mengemukakan KPI masing-masing yang akan dijadikan kayu pengukur kepada masyarakat supaya lebih telus kepada rakyat untuk mengetahui prestasi setiap SBT ini.


“Pada masa sama, saya harap semua SBT berusaha untuk terus kekal sebagai pusat kecemerlangan dalam semua aspek pendidikan dan persekolahan di peringkat kebangsaan serta antarabangsa,” katanya.


Sumber: Harian Metro

0 comments:

Post a Comment

Penafian: Pihak admin tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan dan kerosakan yang dialami semasa/selepas melayari blog ini atau menggunakan sebarang maklumat dari dalam blog ini. Komen-komen yang dikirimkan diblog ini juga adalah menjadi tanggungjawab pengirim itu sendiri. Terima kasih.

ENGLAND PREMIER LEAGUE

 
Please use Google Chrome to get the best view with 1280 x 800 resolution and above | Thanks for visiting cgazmi.blogspot.com | Bloggerized by Cg Azmi