Tuesday, January 13, 2015

500 Guru Bantu Pulihkan Psikologi Murid Mangsa Banjir Di Terengganu

Bantuan untuk murid sekolah yang menjadi mangsa banjir tidak hanya setakat pemberian pakaian dan peralatan sekolah, malah mereka turut diberi bimbingan kaunseling untuk mengurangkan tekanan dan trauma disebabkan bencana itu.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) Zakaria Hussin berkata sebanyak 500 sukarelawan terdiri daripada guru bimbingan dan kaunseling telah memberi bantuan pemulihan psikologi dan kaunseling kepada murid yang menjadi mangsa banjir untuk mengurangkan kesedihan mereka.

"Pasukan ini telah pun bergerak di semua daerah yang dilanda banjir dengan mengadakan aktiviti pengurusan emosi di pusat pemindahan banjir, malah pasukan sama juga membantu mangsa banjir di Tumpat, Kelantan pada 3 Jan lalu.

"Program prihatin kaunseling perdana pasca banjir pula akan diadakan secara serentak pada Khamis ini melibatkan 500 guru kaunseling dan 5,000 murid terlibat banjir di 60 buah sekolah seluruh Terengganu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima sumbangan bantuan barang persekolahan kepada 5,000 mangsa banjir oleh Kumpulan Perbankan RHB di sini Selasa.

Turut hadir Pengurus RHB Bank Wilayah Timur, Shaharuddin Ming dan Ketua Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan JPNT, Ngah Bidin.

Zakaria berkata melalui program perdana itu, aktiviti yang akan dijalankan ialah sesi kaunseling perkongsian musibah banjir oleh murid, permainan kecil dan pelan tindakan pengurusan diri pasca banjir.

"Seorang guru kaunseling akan membimbing 10 orang murid dan sumbangan kelengkapan sekolah iaitu beg dan alat tulis oleh Kumpulan Perbankan RHB akan diberi kepada mereka selepas program itu selesai.

"Diharap kaunseling ini akan meningkatkan semula keyakinan mangsa banjir untuk terus bersemangat dan ceria meneruskan pembelajaran mereka," katanya.



- BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

Penafian: Pihak admin tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan dan kerosakan yang dialami semasa/selepas melayari blog ini atau menggunakan sebarang maklumat dari dalam blog ini. Komen-komen yang dikirimkan diblog ini juga adalah menjadi tanggungjawab pengirim itu sendiri. Terima kasih.

ENGLAND PREMIER LEAGUE

 
Please use Google Chrome to get the best view with 1280 x 800 resolution and above | Thanks for visiting cgazmi.blogspot.com | Bloggerized by Cg Azmi