Friday, May 16, 2014

Selamat Hari Guru 2014

Jasa Guru Tiada Tandingnya

Setiap tahun, 16 Mei pasti menjadi tarikh keramat kepada golongan guru kerana ia menjadi pengiktirafan masyarakat kepada mereka yang berkorban memberi ilmu kepada anak bangsa.

Berbaki empat hari lagi, sambutan Hari Guru tahun ini yang bertema Guru: Pencetus Kreativiti Penjana Inovasi, seakan memberitahu dunia bahawa guru adalah pengemudi kehidupan pelajar mendepani setiap cabaran.

Jika guru dulu berhempas pulas memastikan pelajar menjadi bangsa bermaruah yang tidak boleh dijajah, guru alaf baru pula menongkah kepayahan untuk menerima realiti bahawa kredibiliti mereka sering kali dipersoalkan.

Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris, Profesor Datuk Dr Zakaria Kasa berkata, perubahan zaman menjadikan dunia perguruan berubah.

Bagaimanapun, katanya, peranan serta jasa guru tetap utuh sebagai pemangkin melahirkan masyarakat berilmu.

“Guru adalah tugas murni kerana mereka memberi ilmu tanpa memikirkan sesiapa semata-mata mahu memastikan masyarakat berdaya maju.

“Setiap jasa dicurahkan adalah sebahagian tanggungjawab guru bagi memastikan pelajarnya memperoleh kejayaan.

“Guru adalah antara penyumbang utama dalam setiap episod kejayaan seorang pelajar,” katanya.

Beliau berkata, cabaran guru adalah bagaimana mereka menyesuaikan landskap dunia perguruan yang berubah di alaf baru.

“Dulu, peranan guru untuk mendidik pelajarnya menghayati erti kemerdekaan. Tidak hairanlah masyarakat ketika itu bangkit untuk menjadi bangsa bermaruah melalui pendidikan.

“Kini, senarionya berbeza kerana peranan guru bukan saja mencambah dan menjana ilmu, malah perlu bersedia untuk melakukan transformasi.

“Dan, transformasi itu pula bukan calang-calang (transformasi). Ia adalah perubahan menyeluruh membabitkan banyak aspek seperti sistem, peranan, tanggungjawab, peperiksaan, pelajar dan masyarakat,” katanya mengakui transformasi berkenaan kadang kala meletihkan guru.

“Namun, guru tetap guru. Siapa boleh menafikan ketabahan hati seorang guru biarpun pada masa sama menerima cemuhan pihak tertentu.

“Matlamat guru adalah untuk menjadikan pelajarnya berjaya sebagai manusia berguna yang boleh menabur bakti kepada masyarakat semula bila tiba masanya.

“Guru mampu menelan apa jua tanggapan atau tohmahan kerana mereka berpegang pada prinsip amanah dan tanggungjawab” katanya
.
Malah, lebih membanggakan apabila nama ‘cikgu’ akan kekal sampai bila-bila.

“Biar pun sudah pencen, panggilan ‘cikgu’ akan kekal dan tetap diingati.

“Ini juga membuktikan betapa berharganya nilai seorang guru di kalangan masyarakat,” katanya.

Biarpun segelintir guru ada membuat onar, yang sanggup berkorban lebih besar jumlahnya.

“Kita tidak boleh menafikan ada segelintir guru tidak bersikap seperti seorang guru. Mereka boleh dikategorikan sebagai golongan ‘bermasalah’.

“Namun, jangan kerana yang segelintir ini, semua guru dilabelkan sama. Ini tentu tidak adil buat mereka.

“Guru manusia biasa yang ada perasaan. Mereka mungkin ‘tersentak’ andai kata tidak menerima layanan saksama mahupun keterlaluan ditekan,” katanya.

Menyifatkan guru alaf baru sebagai penggerak transformasi dunia pendidikan moden, beliau mengakui golongan itu memerlukan pelbagai mekanisme untuk ‘bertahan’ dan ‘berjuang’.

“Istilah transformasi sendiri memberi pengertian mendalam terutama dalam melaksanakan tanggungjawab kepada golongan pelajar yang pada hari ini mempunyai pelbagai ragam.

“Selain itu, pelbagai pembaharuan dibuat sama ada dalam sistem dan modul supaya guru sentiasa akur untuk melaksanakan arahan diberikan.

“Ini bukan tugas mudah kerana guru adalah penggerak utama dalam merealisasikan transformasi itu. Tanpa pembabitan guru, transformasi tidak akan berjaya,” katanya.

Sebagai penggerak transformasi juga, katanya, guru perlu bersedia menerima teguran bagi memperbaiki kelemahan.

“Setiap teguran perlu diterima dengan lapang dada dan fikiran positif.

“Jangan melihat teguran sebagai ‘usaha menjatuhkan kredibiliti guru’ tapi terimanya sebagai satu ‘penawar’.

“Dalam konteks dunia moden hari ini, pemikiran jumud boleh menjadi penghalang kepada dasar-dasar pembaharuan yang ingin dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata, harga diri seorang guru perlu tinggi pada pandangan masyarakat kerana golongan itu adalah ‘guru’.

Menurutnya, ungkapan ‘guru’ adalah sesuatu yang cukup bernilai dan semua pihak perlu akur bahawa jasa seorang guru memberi ilmu tiada sempadan.

“Saya ingin bertanya, selama kita belajar berapa ramaikah guru yang meminta balasan atas jasa yang dicurahkan?

“Guru tetap gembira biarpun pelajarnya mudah melupakan jasa mereka dan bertahan walaupun dilontar dengan kata merobek hati.

“Tapi berapa ramaikah di kalangan kita yang begitu berterima kasih dan pandai menghargai jasa guru?” soalnya.

Seiring transformasi dunia perguruan, beliau turut menasihatkan golongan itu supaya sentiasa berusaha menambah pengetahuan dan kemahiran mencakupi pelbagai aspek.

“Senario dulu, guru lebih berilmu daripada pelajar, namun keadaan sekarang boleh berlaku sebaliknya.

“Ditambah dengan kecanggihan dunia maklumat tanpa sempadan serta taraf pendidikan diterima masyarakat menjadikan cabaran guru semakin besar.

“Justeru, mereka perlu bergerak aktif, bersedia menangani sebarang permasalahan serta belajar dan terus belajar. Jadikan status guru sebagai lambang kemegahan yang tidak boleh dijual beli,” katanya.

Selamat Hari Guru, Cikgu!



- Hmetro


0 comments:

Post a Comment

Penafian: Pihak admin tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan dan kerosakan yang dialami semasa/selepas melayari blog ini atau menggunakan sebarang maklumat dari dalam blog ini. Komen-komen yang dikirimkan diblog ini juga adalah menjadi tanggungjawab pengirim itu sendiri. Terima kasih.

ENGLAND PREMIER LEAGUE

 
Please use Google Chrome to get the best view with 1280 x 800 resolution and above | Thanks for visiting cgazmi.blogspot.com | Bloggerized by Cg Azmi