Wednesday, September 28, 2011

SYOR PENDIDIKAN ISLAM WAJIB LULUS

Tokoh agama, cendekiawan yakin subjek mampu bentuk sistem hidup


KUALA LUMPUR: Kerajaan dicadang menjadikan Pendidikan Islam sebagai mata pelajaran wajib lulus untuk pelajar beragama Islam dalam semua peperiksaan awam dan sijil pengajian tinggi bagi memperkukuh dan memartabatkan pendidikan Islam, sekali gus meletakkan Islam di arus perdana kehidupan.


Cadangan itu dikemukakan tokoh agama dan akademik dalam kertas kerja dibentangkan pada Kongres Majlis Agama Islam Negeri Seluruh Malaysia kali pertama yang berakhir, di sini semalam.


Dalam kertas kerja mereka, Prof Datuk Dr Mohd Yusof Othman, Datuk Dr Ismail Ibrahim, Tan Sri Prof Dr Mohd Kamal Hassan, Prof Zakaria Stapa, Prof Dr Abdul Latif Samian dan Dr Abdul Halim Tamuri menyatakan Pendidikan Islam sepatutnya dapat membina sahsiah, jati diri, budaya dan cara berfikir umat Islam sehingga mereka mampu berdepan dengan segala cabaran pembangunan sama ada dalam mahupun luar negara.


Kertas kerja itu turut mencadangkan Pendidikan Islam perlu ditegaskan kembali dengan kurikulumnya perlu merentasi seluruh kurikulum dan bukan sebagai subjek Pendidikan Islam semata-mata, sesuai dengan Islam sebagai agama yang membentuk sistem hidup.


Pendidikan Islam bukan saja tidak boleh dipolitikkan oleh umat walaupun mereka mempunyai pandangan berbeza, malah tidak boleh dijadikan bahan tawar menawar dalam berpolitik, sekali gus memerlukannya diletakkan lebih tinggi daripada sistem politik.


Sementara itu, Timbalan Ketua Bahagian Penasihat (Seksyen Syariah) Jabatan Peguam Negara, Mahamad Naser Disa, mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Kedaulatan Agama Negara (SKAN) bagi memastikan prinsip Islam sebagai agama rasmi negara dihormati dan kedaulatan Islam terus dijunjung, sekali gus berupaya menangani fenomena kemaraan hak kebebasan beragama secara melampau.


SKAN yang bertanggungjawab terus kepada Majlis Raja-Raja melalui Yang di-Pertuan Agong dan bebas pengaruh politik berhak memberikan teguran dan nasihat berasaskan prinsip Islam kepada Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan agensinya sama ada secara terus atau melalui laporan tahunan kepada Majlis Raja-Raja.


Suruhanjaya itu juga disaran mendengar aduan daripada pihak mengenai apa-apa perkara yang menyentuh prinsip Islam secara langsung atau tidak langsung pada peringkat Persekutuan.


Sumber: Berita Harian Online


0 comments:

Post a Comment

Penafian: Pihak admin tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan dan kerosakan yang dialami semasa/selepas melayari blog ini atau menggunakan sebarang maklumat dari dalam blog ini. Komen-komen yang dikirimkan diblog ini juga adalah menjadi tanggungjawab pengirim itu sendiri. Terima kasih.

ENGLAND PREMIER LEAGUE

 
Please use Google Chrome to get the best view with 1280 x 800 resolution and above | Thanks for visiting cgazmi.blogspot.com | Bloggerized by Cg Azmi