Thursday, January 28, 2010

Membantu Memelihara Alam Sekitar

Alam sekitar yang diciptakan oleh Allah adalah bersih dari segala kekotoran dan disediakan untuk manusia mendiaminya sebagai tempat persinggahan. Walau bagaimanapun manusia tidak sedar tindakan mereka telah menyebabkan berlakunya perubahan terhadap keseimbangan alam sekitar dan seterusnya boleh merosakkan kualiti alam sekitar. Sepatutnya anugerah Allah perlu dipelihara sebaik-baiknya dengan penuh rasa tanggungjawab. Merujuk kepada firman Allah SWT dalam surah ar-Rum ayat 41:


Maksudnya: " Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan buruk mereka, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)."


Ayat Al-Quran di atas dengan jelas mengingatkan kepada manusia bahawa banyak kerosakan yang berlaku di muka bumi adalah disebabkan oleh tindakan manusia itu sendiri. Sebagai individu, apakah yang patut kita lakukan untuk mengatasi masalah pencemaran alam sekitar kita pada hari ini? Sebenarnya kuasa untuk menyelamatkan alam sekitar kita adalah terletak di tangan kita sendiri. Di sini beberapa tip boleh diikuti dalam usaha memelihara alam sekitar:
· Bawa beg sendiri untuk membeli belah.
· Berbasikal atau berjalan kaki untuk perjalanan yang dekat.
· Tutup peralatan elektrik jika tidak digunakan.
· Praktis dan sokong pekebunan secara organik.
· Gunakan tenaga dan bahan api secara efisyen.
· Menanam pokok di sekitar tempat tinggal.
· Gunakan air secara bijak.


Seterusnya di bawah ini diterangkan beberapa langkah yang boleh diambil bagi membantu memelihara kawasan alam sekitar ditempat tinggal kita, antaranya:

Mengamalkan Sikap Suka Menjaga Kebersihan
Bagi memastikan persekitaran kita selamat untuk didiami, orang awam perlu mengambil berat dan memberi perhatian terhadap kebersihan di dalam dan di luar rumah mereka terlebih dahulu. Ini kerana menjaga kebersihan alam sekitar perlu berakar umbi dari rumah terlebih dahulu. Setiap anggota masyarakat perlu mempunyai kesedaran yang tinggi dalam menjaga kebersihan, misalnya tidak sesuka hati membuang sampah ke dalam longkang dan sistem peparitan, kerana ia akan menyebabkan sistem saliran tersumbat dan akhirnya akan membawa kepada masalah-masalah lain seperti berlakunya banjir dan sebagainya. Menjaga kebersihan amatlah dituntut di dalam Islam, oleh itu, sewajarnya umat Islam dituntut untuk menjaga kebersihan. Imam Muslim meriwayatkan sebuah hadith Rasulullah S.A.W daripada Ibn Mas'ud:


Mafhumnya: "Sesungguhnya Allah itu cantik (indah) dan bersih. Dia amat mencintai kepada perkara yang cantik (indah) dan bersih."


Hadis ini membuktikan bahawa kebersihan boleh menjadi faktor penentu untuk mendapat perhatian dan kasih sayang Allah SWT. Allah SWT tidak menyukai kekotoran. Justeru, kita tidak boleh bersifat pengotor. Pengabaian sikap ini sebenarnya akan membawa banyak musibah atau masalah kepada manusia keseluruhannya. Di bawah ini dicadangkan agar kita mematuhi beberapa perkara berikut:
i. Mendidik ahli keluarga dan masyarakat menjadi orang yang suka kebersihan dan benci pencemaran.
ii. Menghayati amalan kebersihan sebagai budaya hidup sejati.
iii. Mengenakan hukuman yang lebih tegas ke atas individu atau kumpulan yang melakukan pencemaran atau kekotoran.
iv. Meningkatkan kerjasama setempat dan pihak berkuasa tempatan dalam aktiviti menjaga kebersihan.


Mengamalkan Kitar Semula
Orang ramai mesti ditegah daripada membuang sampah merata-rata tempat. Pembuangan sampah dan pembakaran sampah secara terbuka mestilah dihenti. Mungkin masalah pembuangan ini dapat diatasi dengan adanya penggunaan semula bahan buangan seperti kertas, plastik, tin aluminium, kaca, logam besi dan lain-lain. Ini boleh dilakukan dengan adanya pusat pembuangan atau pungutan sampah yang berkesan dan juga kerjasama dengan pihak majlis tempatan yang boleh mengatur suatu sistem pungutan yang baik. Barang buangan seperti bahan daripada logam, kaca dan plastik tidak mudah reput. Justeru itu amalan kitar semula perlu diterapkan dalam diri kita sebagai warga alam sekitar yang prihatin. Kerajaan atau masyarakat setempat juga perlu mempergiatkan kempen kitar semula bagi meningkatkan tahap kesedaran di kalangan orang ramai. Ini penting memandangkan tahap kesedaran masih rendah di kalangan orang ramai. Kitar semula juga dapat mengatasi masalah kekurangan tapak pelupusan dan pada masa yang sama dapat meminimumkan pencemaran alam sekitar, khususnya di pusat pelupusan.


Mengelakkan Pembakaran Terbuka
Kejadian jerebu yang dialami dibeberapa negara ASEAN termasuk Malaysia tidak lama dulu sepatutnya menjadi pengajaran, yang mana kesan pembakaran yang berleluasa boleh menjejaskan kualiti udara. Pembakaran terbuka ini mencemarkan udara dan boleh menyebabkan perubahan iklim. Kajian Jabatan Kaji Cuaca mendapati keadaan jerebu di Malaysia telah mencapai tahap yang sama dengan beberapa buah bandar raya di Eropah. Antara faktor utama kepada gejala jerebu adalah berpunca daripada kenderaan berenjin diesel. Ini berlaku apabila kenderaan itu melepaskan bahan hidrokarbon berupa asap hitam tebal ke udara. Selain hidrokarbon, patikel terampai yang membentuk jerebu juga terdiri daripada bahan bersulfur dan nitrat yang dihasilkan daripada aktiviti perindustrian. Sebagai warga alam sekitar ditempat tinggal masing-masing juga, kita mampu menggelakkan aktiviti pembakaran sampah sarap secara terbuka sebagai salah satu langkah menjaga kualiti udara dan seterusnya boleh menyumbang kepada hidupan alam sekitar dengan membekalkan udara yang bersih.



1 comments:

andox kechik said...

terbaikkk.....

Post a Comment

Penafian: Pihak admin tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan dan kerosakan yang dialami semasa/selepas melayari blog ini atau menggunakan sebarang maklumat dari dalam blog ini. Komen-komen yang dikirimkan diblog ini juga adalah menjadi tanggungjawab pengirim itu sendiri. Terima kasih.

ENGLAND PREMIER LEAGUE

 
Please use Google Chrome to get the best view with 1280 x 800 resolution and above | Thanks for visiting cgazmi.blogspot.com | Bloggerized by Cg Azmi