Friday, November 15, 2013

Motivasi: Tip Memimpin Di Tempat Baru

Sebagai penjawat awam dalam kategori dan posisi mana pun kita seringkali menerima arahan untuk berpindah dari satu tempat ke satu tempat. Terutama apabila kita ditempatkan untuk memimpin sesuatu organisasi di tempat baru seperti sekolah atau institusi pendidikan lainnya, kepimpinan kita akan dilihat berkesan atau sebaliknya sedikit sebanyak bergantung kepada bagaimana kita meletakkan diri kita di tempat baru itu.

Tulisan ini cuba menyingkap saranan pakar dan pengalaman orang-orang lama yang boleh dijadikan tip bagi pemimpin baru di sesuatu tempat yang dipimpin. Tip-tip yang dikemukakan bukanlah satu-satunya saranan yang mesti dipatuhi oleh setiap pemimpin kerana ia bergantung kepada gaya atau model kepimpinan seseorang. Semua gaya atau model kepimpinan ada kekuatan namun tiada yang bebas daripada kelemahan dan kekurangan.

Beberapa tip memimpin di tempat baru agar kepimpinan anda diterima, memberi kesan dan impak yang tinggi kepada organisasi yang anda pimpin:

1. Dapatkan serba sedikit maklumat tentang organisasi yang anda hendak pimpin sekurang-kurangnya latar belakang, fungsi dan peranannya dalam masyarakat.

2. Jadikan diri anda sebagai sebahagian daripada warga organisasi yang anda pimpin. Terima semua orang yang anda hendak pimpin seadanya. Elakkan tanggapan awal apatah lagi prejudis terhadap subordinate sama ada yang anda dengar daripada dirinya sendiri apatah lagi daripada orang lain.

3. Elakkan menyebut kelemahan atau kekurangan organisasi yang anda baru pimpin dan berjanji hendak memperbaikinya. Walaupun mungkin memang ada kelemahan yang hendak anda perbaiki, menyebutnya di hadapan subordinate anda yang baru atau yang lama tidak membawa apa-apa keuntungan. Laksanakan sahaja perubahan yang hendak anda lakukan tanpa mempertikai usaha yang telah dibuat pemimpin sebelum anda.

4. Elakkan seringkali menyebut pengalaman anda di tempat lama. Selain ianya selalu dianggap sensitif oleh subordinate anda yang baru apa yang berlaku di tempat lama dan baru adalah berbeza. Jika pun perkara tersebut sama, nyatakan sahaja dasar dan peraturan yang sepatutnya dipatuhi.

5. Membawa orang kepercayaan anda di tempat lama ke tempat baru  terutama dalam bilangan yang ramai seringkali mengundang ketidakpercayaan di kalangan orang baru yang anda pimpin. Anda akan dianggap tiada kekuatan membina kepimpinan di tempat baru.

6. Walau bagaimapun hebatnya kita dalam bidang yang kita ceburi dengan pengalaman luas berkaitan tetapi baru dalam organisasi yang kita pimpin, pasti banyak perkara yang tidak diketahui. Oleh itu, lebih baik anda ikut nasihat berikut untuk membina hubungan di tempat baru: 
  • Masuk ke dalam organisasi dengan setting yang baru dengan berhati-hati dengan langkah yang betul.  
  • Dengar dan belajar daripada orang yang telah lama di dalam organisasi itu.
  • Libatkan diri dalam usaha mencari fakta, menyelesai masalah dan membuat keputusan secara bersama.
  • Berhati-hati (bukan tergopoh-gapah) dalam membuat diagnosis ke atas sesuatu situasi. 
  • Ambil perhatian secara berkala (forthnightly) keprihatinan dan permasalahan orang bawahan. 
  • Enthusiastik, asli dan ikhlas apabila membuat perubahan. 
  • Dapatkan buy-in bagi apa sahaja pembetulan yang perlu anda lakukan. 
  • Bangunkan suatu perancangan rapi dan berkredibiliti tinggi sebarang penambahbaikan atau pembetulan atau perubahan yang anda hendak lakukan, bukan secara adhoc.  
7. Mengubah tingkalaku manusia tidak semudah menukar baju. Untuk mengubah tingkahlaku manusia ubah situasi persekitaran kerjanya. Kemudahan tempat kerja, kebajikan dan hubungan sesama pekerja membantu mengubah tingkahlaku ke arah yang lebih baik mengikut kehendak pemimpin.

8. Pelajari secara berterusan dengan amalan terbaik. Perhatikan ke dalam diri anda. Cari kekuatan yang boleh dibangun dan diguna untuk manfaat semua.

9. Sikap anda tentang ‘melakukan kesilapan’ seharusnya berbeza sama sekali dengan sikap orang yang telah ada mindset yang tetap atau negatif terhadap kesilapan. Baca John Baldoni atau Paul Speigelman.

10. Jika anda ingin menjadi pemimpin perubahan yang berkesan di tempat baru perhatikan 7 saranan Fullan yang berikut:
  • The effective change leader actively participate as a learner in helping the organization improve.
  • Effective change leaders combine resolute moral purpose with impressive empathy. 
  • Realized effectiveness is what motivates people to do more. 
  • Collaborative competition is the yin and yang of successful change. Collaborate and compete.
  • Change leaders are more confident than the situation warrants but more humble than they look. 
  • Statistics are wonderful servant and an appelling master. 
  • Simplexity is salvation for an intricate world. 
11. Semasa anda mengendali perbincangan dalam bentuk mesyuarat atau bengkel, elakkan tergesa-gesa membuat keputusan tanpa memahami isu sebenar. Sebaliknya jangan mengambil masa terlalu lama membuat keputusan apatah lagi tiada keputusan dibuat.

12. Jika keputusan telah dibuat oleh pemimpin terdahulu dalam mesyuarat, elakkan membuat keputusan sebaliknya kecuali anda benar-benar memahami isu sebenar dan konsekuen keputusan yang anda ambil.

13. Jika anda terperangkap di dalam perbezaan pendapat antara dua atau lebih orang yang anda kendalikan perbincangannya dan anda perlu membuat keputusan sedangkan anda tidak pasti yang mana paling tepat, elakkan memberi pandangan menyebelahi mana-mana pihak. Dengar dengan sabar dan teliti lebih baik daripada bercakap tetapi salah. Setelah masing-masing habis bercakap, anda bebas membuat keputusan tanpa menyebut anda menyebelahi mana-mana pihak. Allahyarham Datuk Yaakub pernah membuat keputusan yang menyebelahi pegawai kanannya yang lebih senior terlebih dahulu walaupun ternyata kurang tepat. Keesokan harinya dia menukar keputusan yang menyebelahi pegawainya yang lebih junior. Tindakannya adalah untuk menjaga hati pegawai kanannya. Ternyata kepimpinanmya yang halus disanjung tinggi subordinatenya.

14. Elakkan memperkecilkan kewibawaan dan kebolehan subordinate di hadapan mereka apatah lagi di hadapan orang lain. Jika pun anda mendapati ada kelemahan dan kekurangan pada diri mereka, mengajak mereka untuk memperbaiki dan meningkat kekuatan lebih baik daripada memperkecil apatah lagi menghina.

15. Segala perkara yang berlaku di dalam organisasi anda, anda bertanggungjawab ke atasnya walaupun anda baru dalam organisasi itu atau anda mungkin belum tahu mengenainya. Elakkan berkata “saya tidak tahu perkara itu” sebaliknya “bantu saya menyelesaikan masalah”.

Semoga tulisan ini ada manfaatnya kepada pembaca dan diri saya sendiri. Pastinya tip-tip yang disenaraikan tidak bebas daripada kesilapan dan kekurangan jauh daripada kesempurnaan. Oleh itu, teguran dan pandangan pembaca amatlah dialu-alukan.


- drjamiladimin

Thursday, November 14, 2013

UPSR: Tahniah Kepada Murid-Muridku

Alhamdulillah, pencapaian UPSR 2013 telah pun keluar. Tahniah kepada murid-murid yang berjaya sama ada memperolehi pangkat A atau lulus dalam mata pelajaran yang diambil. Kepada murid-murid yang gagal, jangan putus asa, perjuangan anda masih jauh. Kumpulkan semangat dan iltizam, kejayaan anda masih menanti dikala berada di peringkat sekolah menengah nanti.

Sebagai seorang guru, saya pernah mengajar mata pelajaran UPSR dibeberapa buah sekolah. Alhamdulillah sepanjang dimana-mana pun sekolah saya mengajar, sama ada diletakkan mengajar di kelas belakang atau hadapan, pencapaian murid-murid yang saya ajar memperolehi keputusan yang memberangsangkan.

Manakala di SK Undang, iaitu mula bertugas tahun 2011 saya diberi tugasan mengajar mata pelajaran Matematik di kelas belakang tetapi pencapaiannya tetap memuaskan. Dari pencaipaian 8% lulus diakhir Tahun 5 (2010), murid saya memperolehi 76% lulus Matematik UPSR pada tahun tersebut.

Analisa Keputusan UPSR Tahun 2011 
(Klik Gambar Untuk Kelihatan Lebih Jelas)


Begitulah juga ditahun berikutnya, iaitu tahun 2012 murid kelas yang diajar (6 Ibnu Majah) juga menunjukkan keputusan yang baik. Seterusnya di tahun 2013 ini, saya ditugaskan mengajar di kelas hadapan, setelah guru Matematik Tahun 6 Ibnu Sina (Kelas hadapan) menyatakan hasrat untuk tidak mahu mengajar lagi di Tahun 6.

Walau pun dengan keterbatasan waktu yang saya hadapi kerana mengikuti kursus NPQEL, beberapa perancangan telah saya buat, seperti menyediakan bahan latihan sepanjang peninggalan saya berkursus dan juga pendaftaran online melalui portal zoom-A. Alhamdulillah, keputusan yang keluar pada tahun ini amat menggembirakan kerana memperolehi 100% lulus dan dapat meningkatkan pencapaian A dalam mata pelajaran Matematik.

Analisa  Keputusan UPSR Kelas 6 Ibnu Majah Tahun 2012
 (Klik Gambar Untuk Kelihatan Lebih Jelas)

Analisa  Keputusan UPSR Kelas 6 Ibnu Sina Tahun 2013 
(Klik Gambar Untuk Kelihatan Lebih Jelas)

Tahniah buat murid-muridku.

Keputusan UPSR 2013 Terbaik Dalam Empat Tahun

Pencapaian keseluruhan calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun ini adalah yang terbaik dalam tempoh empat tahun, kata Ketua Pengarah Pendidikan Tan Sri Abd Ghafar Mahmud.

Beliau berkata seramai 466,167 calon menduduki UPSR pada tahun ini dan pencapaian keseluruhan telah meningkat sebanyak 0.04 mata Gred Purata Nasional (GPN).

"Ini merupakan keputusan UPSR terbaik dalam tempoh empat tahun iaitu sejak tahun 2010 di mana GNP telah meningkat darpadai 2.31 mata pada tahun 2010 kepada 2.30 mata (2011), 2.31 mata (2012) dan 2.27 mata pada tahun ini. (Nilai GPN yang lebih kecil menunjukkan pencapaian lebih baik).

"Ini satu pencapaian yang membanggakan. Saya mengucapkan tahniah kepada semua guru dan pelajar yang telah menunjukkan prestasi yang baik pada tahun ini," katanya ketika mengumumkan analisis keputusan UPSR di sini Khamis.

Abd Ghafar berkata seramai 42,646 calon UPSR tahun ini berjaya memperoleh semua A dalam semua mata pelajaran, peningkatan sebanyak 0.21 peratus berbanding tahun lalu.

Prestasi mata pelajaran Bahasa Melayu (BM) di Sekolah Kebangsaan (SK) meningkat iaitu sebanyak 0.17 mata Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) bagi BM Pemahaman dan 0.03 mata GPMP bagi BM Penulisan berbanding tahun lepas.

Selain itu, beliau berkata mata pelajaran BM di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) turut menunjukkan peningkatan iaitu sebanyak 0.14 mata GPMP (BM Pemahaman) dan 0.19 mata GPMP (BM Penulisan) berbanding tahun lepas.

"Prestasi yang baik dalam mata pelajaran Bahasa Melayu telah menyumbang kepada pencapaian keseluruhan UPSR yang baik pada tahun ini," katanya.

Bagi Bahasa Inggeris (BI) di SK, Abd Ghafar berkata prestasi keseluruhan menurun sebanyak 0.06 mata GPMP berbanding tahun lepas, dengan peratusan calon mendapat Gred A menurun sebanyak 0.2 peratus, Gred ABC menurun sebanyak 2.9 peratus manakala Gred D dan Gred E pula meningkat sebanyak 3.0 peratus berbanding tahun lepas.

Di SJK, katanya prestasi keseluruhan BI meningkat sebanyak 0.12 mata GPMP dan peratusan calon mendapat Gred A dan Gred A,B dan C turut meningkat sebanyak 4.2 peratus dan 2.1 peratus, Gred D meningkat 1.0 peratus dan peratusan calon memperoleh Gred E menurun sebanyak 3.0 peratus berbanding tahun lepas.


- BERNAMA

Wednesday, November 13, 2013

Warga Pendidik Protes Sistem SPPBS Di Facebook

Ekoran kegagalan kerajaan meringankan beban kerja perkeranian guru sekolah rendah, ada kalangan warga pendidik mewujudkan laman Facebook menuntut supaya Kementerian Pendidikan untuk membuat penambahbaikan atau menghapuskan bebanan mereka.

Aduan mereka berhubung Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SPPBS) yang dilaksanakan pada 2011 supaya guru berkenaan memasukkan data lengkap dan keputusan peperiksaan pelajar mereka.

Bagaimanapun, masalah yang dihadapi para guru di sekolah terbabit adalah mutu perkhidmatan pelayan komunikasi yang memaksa mereka menghabiskan masa berjam-jam untuk memasukkan data tersebut.

Lebih memburukkan lagi, mereka terpaksa bersengkang mata sehingga jam 3 pagi atau 4 pagi, apabila pelayan komunikasi berfungsi lebih baik bagi melaksanakan tanggungjawab tersebut.

Mereka juga mengadu, hal demikian menjadi lebih teruk dengan Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS) di mana penekanan kurang diberikan dalam peperiksaan dan kemajuan akademik pelajar berdasarkan kepada kerja yang ditugaskan kepada mereka.



Visi Dan Misi Kementerian Pendidikan Malaysia Yang Baru


Mesyuarat Susulan Jemaah Menteri Bil.7 / 2013 yang diadakan pada 27 September 2013 telah membuat pemilihan visi dan misi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang baru.

Visi dan misi KPM yang baru adalah seperti berikut:-

VISI

"Pendidikan Berkualiti Insan Terdidik Negara Sejahtera"

MISI

"Melestarikan Sistem Pendidikan Yang Berkualiti Untuk Membangunkan Potensi Individu Bagi Memenuhi Aspirasi Negara"



- Kementerian Pendidikan Malaysia

Tuesday, November 12, 2013

Surat Siaran: Pemakluman Mengenai Status Pelaksanaan BISP

Bayaran Insentif Subjek Pendidikan (BISP) diberikan kepada Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) selaras dengan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). PPP yang mengajar subjek Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris serta mengajar subjek Bahasa Inggeris dan PPP yang menggunakan kelayakan dalam bidang tersebut dalam tugas rasmi layak diberi BISP berdasarkan Surat Pekeliling Perkhidmatan KPM Bilangan 3 Tahun 2003.

Berikutan pemansuhan PPSMI dan pengenalan inisiatif Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM), kerajaan memutuskan supaya pemberian BISP diberhentikan mulai 1 Januari 2014.

Sebagaimana yang dinyatakan dalam intri sebelum ini (Cadangan Ganti Bayaran BISP Bagi GuruSains, Matematik dan Bahasa Inggeris); Pada masa ini, kementerian sedang menimbangkan insentif baharu dan akan dimajukan untuk persetujuan Agensi Pusat.



- Kementerian Pendidikan Malaysia

Kenyataan Akhbar: Keputusan UPSR Tahun 2013

Keputusan Peperiksaan UPSR 2013 akan dikeluarkan pada hari Khamis, 14 November 2013.

Pada tahun ini seramai 478,848 orang calon telah mendaftar untuk menduduki UPSR pada tahun ini di 8,268 pusat peperiksaan yang akan dibuka di seluruh negara.

Calon boleh mendapatkan keputusan mereka daripada sekolah masing-masing selepas jam 10.00 pagi pada hari yang sama. Calon juga boleh menggunakan perkhidmatan semakan UPSR 2013 melalui mySMS 15888. Perkhidmatan ini akan diaktifkan bermula jam 10 pagi, 14 November 2013 dan akan ditamatkan pada jam 11.59 malam, 20 November 2013.

Contoh Penghantaran mesej melalui mySMS 
(Klik gambar untuk kelihatan lebih jelas)


- Lembaga Peperiksaan KPM



Kajian Kurang Beban Guru Dibentang Pada Persidangan NBOS

Kementerian Pendidikan telah memperluas skop kajian mengenai kaedah dan pendekatan terbaik bagi mengurangkan beban tugas guru, persidangan Dewan Rakyat diberitahu Selasa.

Timbalan Menteri Pendidikan P.Kamalanathan berkata kajian diterajui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) itu melibatkan empat lapangan iaitu beban tugas guru, ketidaksepadanan opsyen guru, saiz kelas yang ideal dan pertindihan pangkalan data.

Katanya, hasil kajian yang diaplikasikan melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) itu akan dibentangkan di Persidangan NBOS pada 20 Nov ini.

"Ini bagi mendapatkan pandangan dan harapan selanjutnya dalam usaha mengurangkan beban tugas guru secara holistik dan efektif," katanya ketika menjawab soalan Datuk Wira Mohd Johari Baharom (BN-Kubang Pasu).

Selain itu, Kamalanathan berkata kementerian ketika ini telah melaksanakan pelbagai langkah membantu mengurangkan beban guru di seluruh negara termasuk melaksanakan pengintegrasian data bagi mengelakkan pertindihan pengisian data di peringkat sekolah dengan hanya menggunakan satu sistem iaitu sistem pengurusan sekolah.

"Kementerian turut melaksanakan penempatan seorang pembantu tadbir perkeranian operasi di semua sekolah kementerian di bawah Pelan Pembanguan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 bagi mengurangkan beban guru," katanya.

Jelasnya, kementerian akan memberi komitmen penuh bagi memastikan isu berbangkit mengenai beban tugas guru ini diselesaikan sebelum pelaksanaan PPPM


- BERNAMA

Sunday, November 10, 2013

Cadangan Ganti Bayaran BISP Bagi Guru Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris

Kerajaan menimbang memberikan insentif baru kepada guru mata pelajaran Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris berikutan pemansuhan Bayaran Insentif Subjek Pendidikan (BISP) mulai 1 Januari tahun depan.

Mengikut Surat Pekeliling Perkhidmatan KPM Bilangan 3 Tahun 2003 (SPP KPM 3/2003), yang ditandatangani Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Dr Madinah Mohamad, cadangan insentif baru itu akan dimajukan bagi persetujuan agensi pusat.


Pembayaran Sehingga Akhir Tahun

“Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) yang menerima BISP akan terus menerima pembayaran itu sehingga akhir tahun 2013,” katanya dalam pekeliling terbaru kementerian itu.

Madinah berkata, kelulusan pembayaran BISP hendaklah dilakukan sebelum tarikh penutupan akaun pada akhir 2013 dan direkodkan dalam buku perkhidmatan pegawai kerajaan.

Katanya, tuntutan BISP yang diterima selepas 1 Januari 2014 tidak akan pertimbangkan.
Sementara itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan berkata, jumlah elaun BISP berdasarkan kelayakan dan gred gaji PPP.

PPP bukan siswazah menerima 10 peratus daripada gaji bersih, manakala siswazah lima peratus daripada gaji bersih.

Dasar PPSMI dimansuhkan mulai 2010 dan digantikan dengan dasar baru iaitu Memartabat Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) melalui keputusan mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Julai 2009.


Gesa Teruskan Elaun BISP

Ketika ditanya langkah kementerian itu, Hashim berkata, pembayaran elaun BISP patut diteruskan kerana masih ada guru Tingkatan Enam yang perlu mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.

“Sekiranya kerajaan mahu menggantikan BISP kepada insentif lain, kita harap ia lebih baik berbanding yang terdahulu. Bagaimanapun, kita masih berharap pembayaran elaun seumpama BISP diteruskan kepada guru yang terbabit,” katanya, semalam.

Kerajaan memperkenalkan BISP di bawah PPSMI mulai 2003 berdasarkan keputusan Kabinet 29 Mei 2002.


Layak Dipertimbang

Bagi menyokong pelaksanaan dasar itu, PPP yang mengajar mata pelajaran Sains atau Matematik dalam Bahasa Inggeris atau mengajar subjek Bahasa Inggeris dan PPP yang menggunakan kelayakan dalam tugas rasmi, layak dipertimbangkan BISP berdasarkan SPP KPM 3/2003.



Friday, November 8, 2013

Renungan: Penyakit ‘Aku Yang Lebih’

Manusia dikurniakan Allah dengan pelbagai nikmat. Ada yang diberikan potensi dan daya intelek yang tinggi, ada pula mempunyai rupa paras cantik dan banyak lagi. Jika hendak menghitungnya, nescaya kita tidak termampu.

Allah berfirman dalam surah an-Nahl, ayat 18 bermaksud: “Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, tiadalah kamu dapat menghitungnya, sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” Oleh kerana itu, manusia tidaklah harus taasub dan mengagumi kelebihan yang ada pada diri sendiri kerana semua itu datangnya daripada Allah. Jangan sesekali berasa bangga dan berasakan ‘aku yang lebih’.

Ingatlah, manusia yang mempunyai perasaan sebegitu sebenarnya sudah terpedaya dengan sifat ujub atau bangga diri. Ia satu sifat tercela yang amat dimurkai Allah dan sewajarnya kita membuangnya sejauh mungkin.

Imam Sufyan ats-Tsauri pernah memberitahu bahawa: “Sifat ujub adalah kekagumanmu terhadap dirimu sendiri, sehingga kamu berasa bahawa kamu lebih mulia dan lebih tinggi darjatnya daripada saudara kamu. “Padahal boleh jadi kamu tidak beramal dengan benar seperti dia atau barangkali dia lebih warak daripada kamu terhadap hal yang diharamkan Allah dan lebih tulus amalannya.” Sifat ujub adalah sifat iblis dan ia sangat berbahaya kerana dengannya akan membentuk jaringan sifat mazmumah lain seperti sombong. Sebab itulah Allah mengingatkan kita agar tidak sekali-kali membiarkan penyakit ujub berkembang biak dalam diri. Firman-Nya dalam surah Saad, ayat 76 bermaksud: “Iblis menjawab: Aku lebih baik daripadanya; Engkau ciptakan aku daripada api, sedang dia Engkau ciptakan daripada tanah.” Sebenarnya perasaan ujub adalah strategi syaitan dalam meruntuhkan iman seseorang Muslim kerana penyakit itu mudah dipasang di dalam hati meskipun dia seorang yang berilmu pengetahuan agama luas dan mendalam. Imam Ibnu al-Mubarak ada mengungkapkan: “Perasaan ujub adalah ketika engkau berasakan dirimu memiliki kelebihan tertentu yang tidak dimiliki oleh insan lain.” Jadi, apa pun kelebihan yang kita miliki, ingatlah semuanya itu adalah anugerah Allah dan tidak seharusnya dibanggakan sangat. Ambillah iktibar bagaimana buruk dan teruknya perasaan ujub Qarun yang sanggup mengatakan bahawa kekayaan harta dimilikinya adalah atas usaha dan kebijaksanaan akalnya, sekali gus menafikan Allah sebagai pemberi nikmat berkenaan. Lalu dengan penuh takbur dia menghebahkan bahawa segala kekayaannya adalah atas kegigihan dan kecekapannya mencari rezeki sehingga menjadi seorang yang kaya raya. Apakah kesudahannya terhadap Qarun? Ya, kita sedia maklum bahawa Allah timpakan bala terhadapnya sebagai balasan keujuban dan kesombongan dirinya.

Dalam surah Luqman ayat 18, firman-Nya bermaksud: “Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong, takbur lagi membanggakan diri.” Inilah nasihat dan inilah juga amaran Allah kepada kita yang tidak seharusnya diketepikan kerana implikasinya amat buruk sama ada di dunia ini, mahupun di akhirat kelak.

Tanggapan bahawa diri sendiri yang lebih berbanding orang lain adalah petanda penyakit hati kronik dan seandainya seseorang itu tidak menyedari bahawa dirinya sudah hanyut dalam sifat keji itu, dibimbangi segala amal ibadah dan kebajikannya menjadi sia-sia.

Hal ini kerana orang yang melakukan amal ibadah dengan perasaan ujub sesuatu yang dibenci oleh Allah. Jadi, tidak mungkin dia akan mendapat ganjaran pahala kerana Allah hanya memandang kepada amalan yang ikhlas.

Firman-Nya dalam surah al-Bayyinah, ayat 5 bermaksud: “Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya...” Berhati-hatilah kerana penyakit ujub ini meskipun bersarang di hati, tetapi kelibat karakternya jelas menerusi lidah dan perbuatan seseorang.

Ia boleh menyerang sesiapa saja termasuklah ustaz, ahli agama ataupun pendakwah. Misalnya si dia berasa sangat gembira dan selesa dengan pujian dan populariti yang diperoleh sehingga mengalahkan yang lain. Tambahan pula dengan adanya laman sosial seperti Facebook dan blog peribadi yang mendapat ‘like’ terbanyak boleh menyebabkan seseorang itu syok sendiri.

Ingatlah Islam sejak awal lagi sentiasa bertindak menutup segala ruang walaupun ia kecil kerana bermula daripada yang kecil akan mencetuskan kerosakan yang besar pada jiwa dan hati seseorang. Rasulullah SAW sendiri pernah melarang sahabatnya berdiri dari tempat duduk sebagai tanda hormat ketika menyambut dan meraikan kedatangan baginda. Ini diperakui sendiri oleh Anas bin Malik yang mengatakan: “Tidak seorang pun yang lebih dicintai oleh kalangan sahabat berbanding Rasulullah SAW (kehadirannya), mereka tidak berdiri untuk baginda. Ini adalah kerana mereka mengetahui bahawa baginda membenci perkara berkenaan.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi) Imam Ibnu Qayyim pernah mengungkapkan: “Satu tanda kebahagiaan dan kejayaan apabila seseorang itu makin bertambah ilmunya, maka makin bertambah pula tawaduk dan kasih sayangnya. Makin bertambah amalnya, makin meningkat pula rasa takut dan waspadanya.”


- hmetro

Thursday, November 7, 2013

Penambahbaikan Jadual Gaji Minimum-Maksimum Gred 1-Gred 54 Di Bawah SSM

Pekeliling perkhidmatan ini (Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 36 Tahun 2013) bertujuan melaksanakan keputusan Kerajaan mengenai penambahbaikan struktur Jadual Gaji Minimum - Maksimum (JGMM) bagi Gred 1 hingga Gred 54 di bawah Sistem Saraan Malaysia (SSM).

Seiring dengan transformasi Perkhidmatan Awam yang memberi penekanan kepada mendayakan kompetensi dan produktiviti penjawat awam, merekayasa organisasi, merakyatkan Perkhidmatan Awam dalam keterangkuman memperluaskan jaringan kerja serta mewujudkan nilai bersama dan integriti, maka Kerajaan mendapati skim-skim perkhidmatan yang berkuat kuasa dan landasan kemajuan kerjaya pegawai beserta struktur JGMM di bawah SSM wajar dikaji dan ditambah baik.

Kajian dan penambahbaikan ini secara keseluruhannya adalah bagi memastikan:
1. Perolehan modal insan yang menepati keperluan negara dan perkhidmatan melalui syarat-syarat kelayakan yang diiktiraf dalam melaksanakan skop fungsi tugas jawatan yang ditetapkan.
2. Pembentukan kepegawaian yang berkualiti dari segi kemahiran, pengetahuan dan sikap melalui landasan kerjaya yang terancang.
3. Penggajian yang berlandaskan prinsip kadar upah mengikut kerja dan kelayakan yang diperlukan, serta prinsip relativiti dan pariti dalam menarik dan mengekalkan bakat-bakat terbaik.

Justeru, di atas keperluan-keperluan yang dijelaskan di perenggan 3, maka Kerajaan bersetuju struktur JGMM bagi Gred 1 hingga Gred 54 di bawah SSM ditambah baik.



- Portal JPA

Logo Baharu Kementerian Pendidikan Malaysia

Rasional: Logo ini direka mengunakan huruf ‘Alif’ sebagai konsep teras. Pendekatan mengunakan huruf atau typography adalah berdasarkan pengertian bahawa manusia yang pada masa hidupnya, berada pada jalan yang lurus sebagaimana huruf ‘Alif’ itu. Alif juga membawa pengertian ILMU kerana Allah mengangkat orang-orang yang beriman dan orang-orang yang diberi ilmu dengan beberapa darjat. Ilmu juga diklasifikasikan sebagai pengetahuan atau kepandaian yang merangkumi semua bidang yakni duniawi mahupun ukhrawi. Ilmu juga di takrifkan sebagai pemindahan roh atau jiwa daripada kegelapan kepada kecerahan dan sebagai suatu kebenaran dan keyakinan. Logo ini menggunakan dua ‘P’ dan dua ‘Alif’ melambangkan dua peringkat pendidikan iaitu Sistem Sekolah dan Sistem Pengajian Tinggi. Hurup ‘P’ yang bertingkat ke arah Alif melambangkan tahap-tahap kecemerlangan pendidikan Malaysia. Bentuk Bulat melambangkan Malaysia sebagai pusat pendidikan yang bersifat global. Dari segi warna, biru bermaksud profesionalisma dalam sistem pendidikan negara. Kuning keemasan melambangkan kecemerlangan. Putih melambangkan sistem pendidikan yang bermutu tinggi dan membentuk insan yang berkualiti dan berilmu mulia.

Rekabentuk oleh Prof. Dato’ Dr Ahmad Zainuddin & Mohd Faizal Ahmad (Majlis Rekabentuk Malaysia).

Muat Turun: Logo Baharu KPM


- Portal KPM

Monday, November 4, 2013

Dengarlah Keluhan Para Guru


Dua minggu lagi cuti sekolah bermula.

Biasanya guru-guru cukup gembira dengan percutian ini kerana mereka mempunyai masa untuk berehat dan bercuti bersama keluarga.

Tapi kali ini kegembiraan tersebut suram kerana ramai dari mereka tertekan dengan sistem baru yang digunakan oleh Kementerian, iaitu Sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).

Betul sistem ini diperkenalkan oleh Kementerian setelah beberapa kali mesyuarat diadakan.

Betul sistem ini diperkenalkan kerajaan setelah mengambil kira kebaikannya untuk guru, murid-murid dan sistem pendidikan negara.

Betul tujuan sistem ini baik untuk transformasi sistem pendidikan negara, iaitu “untuk menilai potensi murid dan kesediaan untuk belajar, selain menguji penguasaan dan pencapaian.”

Tetapi apakah sistem ini betul-betul baik untuk meningkatkan mutu pendidikan negara? Apakah sistem ini betul-betul boleh diterima oleh para guru? Pertanyaan ini perlu diteliti sebelum mendapat jawapannya.

Saya sudah mendengar lama rungutan para guru tentang hal in sejak ia mula dilaksanakan pada tahun 2011 di peringkat sekolah rendah dan pada tahun lepas bagi peringkat sekolah menengah.

Ada yang menulis secara peribadi meminta saya membangkitkan hal ini.

Tetapi saya diam sehinggalah saya dapati kelemahan pelaksanaan sistem ini semakin ketara.

Apa yang lemahnya dengan sistem ini?

Lemahnya bukanlah pada tujuannya yang baik:

(i) untuk menilai potensi murid,
(ii) memantau pertumbuhan dan membantu meningkatkan potensi murid; dan
(iii) membuat pelaporan bermakna tentang pembelajaran individu.

Tetapi lemahnya sistem ini adalah pada penggunaan sistem memasukkan datanya yang tidak boleh ‘comply’ dengan beban data semasa.

Sistem Pangkalan Data PBS Lemah Justeru lemahnya sistem data PBS ini, maka guru perlu memasukkan data pada waktu lewat malam.

Akibatnya, pada waktu pagi guru mengantuk menyebabkan mutu mengajar menjadi lemah, sekali gus menjejas mutu pengajaran dan pembelajaran.

Akibatnya, murid tidak mendapat pembelajaran yang sempurna kerana waktu guru dihabiskan pada tugas perkeranian, bukan pada tugas hakikinya. Ini kerana selain sibuk memasukkan data, guru juga sibuk mengemaskan rekod.

Aduh!!! Apa lagi? Guru juga terpaksa menyiapkan kerja-kerja PBS sendiri seperti membina instrumen soalan, menanda dan menyemak kertas soalan.

Selepas itu, guru perlu mengadakan aktiviti bilik darjah untuk menyelesaikan segala keperluan kurikulum dan kemahiran insaniah yang lain.

Guru kadang-kadang terpaksa lepaskan murid ke aras band yang lebih tinggi biarpun arasnya belum dicapai.

Selain itu, guru perlu mengurus fail pelajar yang mungkin mencecah angka ribu dan puluhan unit almari untuk penyimpanan fail berkenaan serta memasukkan ratusan band pelajar ke dalam sistem.

Bayangkan bagaimana susah dan tertekannya guru jika internet hang?

Bayangkan bagaimana lelahnya guru setelah disemak semula dalam sistem, data yang dimasukkan sebelum ini tidak ada dalam pangkalan?

Maka dari sinilah, guru selalu bertanya, siapakah yang membangunkan sistem ini?

Mengapa diberi kepada pembekal yang tidak berkelayakan untuk menyediakan sistem ini kepada sekolah dan guru?

Mengapa kerajaan boleh melaksanakan sistem ini dikala sistem ini masih belum mesra pengguna? Bilakah mutu sistem ini akan dipertingkatkan? Dan bermacam persoalan lagi.

Saya pernah menceritakan kelemahan sistem ini kepada kawan saya, seorang pegawai di PPD.

Beliau kata kepada saya guru yang merungut dengan sistem PBS ini adalah guru yang malas dan tidak ada semangat untuk berjaya dalam bidang keguruan.

Maka beliau pun mulalah bercerita kepada saya tentang kejayaan sistem ini di negara-negara lain.

Saya tidak nafikan kejayaan sistem ini di negara lain, tetapi saya katakan sistem di sini tidak mesra guru kerana sistemnya selalu 'hanged' sehingga menyebabkan guru tertekan.

Ada guru yang terpaksa bangun pada jam 3 pagi semata-mata untuk memasukkan data. Jadi kata saya, sistem PBS ini mungkin sesuai di negara lain, tapi belum tentu sesuai di negara kita.

Anggur yang sesuai ditanam di Perancis belum tentu sesuai ditanam di Cameron Highlands.

Akhirnya, setelah mendengar keluhan para guru sejak sistem ini diperkenalkan, saya cuma ingin katakan guru yang mengeluh bukan kerana mereka tidak ‘love teaching’. Tapi mereka mengeluh kerana sistem PBS ini membebankan dan tidak mesra pengguna.

Oleh itu, jika kerajaan mahu juga meneruskan penggunaan sistem ini, teruskanlah dengan membaiki dan meningkatkan sistemnya supaya para guru tidak lagi tertekan dengan sistem yang tidak mesra pengguna.

Tugas mengajar ini seronok dan mulia. Maka, jangan bebankan para guru dengan perkara yang tidak sepatutnya.

Saturday, November 2, 2013

Penjawat Awam Terlibat 81 Skim Akan Terima Surat Opsyen Bulan Ini

Lebih 600,000 penjawat awam yang terlibat dalam 81 skim perkhidmatan awam yang ditambah baik di bawah Bajet 2014 akan menerima surat tawaran opsyen itu bulan ini.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal berkata mereka perlu memberi maklum balas dalam tempoh sebulan daripada tarikh surat itu dikeluarkan oleh ketua jabatan masing-masing.

Menurutnya perjumpaan dengan bahagian sumber manusia di semua agensi dan kementerian terlibat untuk memberi maklumat terperinci berhubung penambahbaikan itu akan diadakan secepat mungkin.

Bercakap pada sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan Cuepacs mengenai skim itu di sini Jumaat, Mohamad Zabidi berkata mereka yang tidak bersetuju dengan opsyen itu akan kekal dalam skim atau jawatan asal.

"Antara penambahbaikan itu ialah kenaikan taraf skim perkhidmatan gred 1 hingga 10 kepada gred 11, pemberian dua tambahan kenaikan mata gaji dan pertukaran nama beberapa skim seperti diminta Cuepacs dan kesatuan berkaitan," katanya.

Mohamad Zabidi berkata penambahbaikan itu adalah sejajar dengan kerja keras penjawat awam pada masa kini yang bekerja dengan cepat, tepat dan produktif.

Berikutan penambahbaikan terhadap 81 skim perkhidmatan itu, beliau berkata jumlah skim perkhidmatan sedia ada dapat dikurangkan daripada 274 kepada 249 skim bermula 1 Jan 2014.

Sebelum ini, Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman berkata kesatuan sekerja yang terlibat dalam penguatkuasaan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Kastam, Jabatan Imigresen, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan serta pihak berkuasa tempatan mengemukakan memorandum penambahbaikan skim perkhidmatan masing-masing kepada kerajaan.

Sementara itu Omar berkata skim-skim lain yang tidak termasuk dalam 81 skim yang ditambahbaik itu masih mempunyai harapan untuk mendapat peluang yang sama.

"Untuk skim yang lain, kami sedang berunding," katanya.


- BERNAMA

Penafian: Pihak admin tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan dan kerosakan yang dialami semasa/selepas melayari blog ini atau menggunakan sebarang maklumat dari dalam blog ini. Komen-komen yang dikirimkan diblog ini juga adalah menjadi tanggungjawab pengirim itu sendiri. Terima kasih.

ENGLAND PREMIER LEAGUE

 
Please use Google Chrome to get the best view with 1280 x 800 resolution and above | Thanks for visiting cgazmi.blogspot.com | Bloggerized by Cg Azmi