IPOH: Rajin, usaha dan semangat untuk berjaya menjadi
pendorong kepada calon yang menduduki Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) pada
tahun ini mengukir nama sebagai pelajar cemerlang di seluruh negara.
Seorang pelajar Orang Asli, Shamien A/P
Seliman, merupakan satu-satunya calon Orang Asli di negeri ini yang memperoleh
keputusan cemerlang apabila mendapat keputusan 7A iaitu mendapat A bagi semua
mata pelajaran yang diambilnya.
Berketurunan Semai dari Kampung Tembuh
Hangat, Seri Iskandar, Shamien berkata walaupun perlu membantu bapanya berniaga
di gerai makan, beliau tetap mencuri masa mengulang kaji pelajaran.
"Saya berada dalam kelas tercorot
ketika di tingkatan satu dan tingkatan dua, tetapi ini tidak menjadi penghalang
saya untuk berusaha gigih untuk berjaya.
"Saya banyak mengambil masa merujuk kepada rakan-rakan dari kelas lain
selain belajar ketika di rumah, selain itu saya juga ada mengambil kelas
tambahan yang diadakan oleh pelajar dari Universiti Teknologi Petronas (UTP) di
kampung saya," katanya.
KUALA TERENGGANU: Kesusahan dan keperitan hidup tidak menjadi penghalang
kepada Izzat Razman Mohd Azmi Ararwat dari Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud
di sini untuk memperoleh keputusan 8A.
Menurut pelajar yang berasal dari
Kampung Padang Luas Besut itu, melihat kepayahan yang terpaksa ditanggung
ibunya sebagai seorang pengasuh kanak-kanak untuk menyara dan memberikan yang
terbaik kepada mereka empat beradik menjadi kekuatan untuknya mengubah nasib
keluarganya.
"Ayah meninggal masa umur saya
enam tahun dan selepas itu saya selalu melihat emak terpaksa bekerja keras
untuk membesarkan kami. Namun itu bukanlah alasan untuk saya gagal dalam
pelajaran bahkan kesusahan itulah yang mendorong saya untuk bersaing bersama
rakan-rakan yang lain," katanya yang bercita-cita menjadi doktor gigi.
Ketika ditanya rahsia kejayaan anak
bongsu daripada empat beradik ini menjelaskan dia hanya mengikuti kelas tambahan yang dibuat oleh pihak sekolah selain memberi
tumpuan di dalam kelas dan mengulangkaji pelajaran.
Sementara itu Pengetua Sekolah Menengah
Sains Sultan Mahmud Meriam Jusoh berkata seramai 88 daripada 104 calon itu
berjaya memperoleh keputusan 8A dan ia sekaligus meletakkan sekolah itu sebagai
sekolah terbaik di Terengganu.
BESUT: Sepasang pelajar kembar muncul antara pelajar cemerlang
di daerah ini apabila mereka antara 171 calon yang memperoleh semua A dalam
keputusan PMR.
Iman Zulaikha Kamarul Zaman dari
Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Mahmud dan adiknya Iman Syuhada kedua-duanya
perempuan antara 63 pelajar sekolahnya yang berjaya memperoleh 8A.
Ketika ditemui di majlis pengumuman
keputusan di sekolahnya hari ini, Iman Zulaikha memberitahu beliau dan adiknya
berasa bangga kerana usahanya belajar secara bersama sejak 6 bulan yang lalu
telah membuahkan hasil pada hari ini.
"Kami sering membantu dalam
pelajaran antara satu sama lain dan saya berharap kami berdua berjaya
menjejakkan kaki ke menara gading," katanya dan menambah mereka
bercita-cita mahu bergelar doktor.
GEORGE TOWN: Tiada apa yang menggembirakan lapan sekawan dari
Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Jambul, apabila kejayaan memperoleh
semua A dalam PMR dapat dikongsi bersama-sama.
Muhammad Amirul Mohamad Anwar, Nufail
Azzfarhan Rozley dan Muhammad Ariff Abd Wahid yang mendapat 8A, manakala
M.Hariharan, B.Ganesha, P.Kaveenesh, S.Arravinnath, P.Nivashen, masing-masing
memperoleh 7A (mengambil tujuh mata pelajaran), bersorak kegembiraan apabila
mengetahui kesemua mereka mendapat keputusan cemerlang.
"Kami selalu buat ulang kaji
bersama-sama. Belajar secara berkumpulan ini memang membantu dan saya rasa
lebih mudah dapat apabila kita belajar secara berkumpulan," kata
P.Nivashen sambil disokong rakan-rakannya.
KUALA SELANGOR: Usaha tiga sahabat baik yang sering bergilir-gilir
menjadi 'guru tuisyen' setiap kali mengulang kaji pelajaran membuahkan hasil
apabila kesemua mereka mendapat keputusan cemerlang 8A dalam PMR.
Luqman Hakim Daim, Alif Asyraf Amin dan
Mohamad Aiman Arif Mohamat Saat, pelajar Sekolah Menengah Sains Kuala Selangor
di sini masing-masing berperanan sebagai guru tuisyen bagi subjek tertentu
ketika belajar bersama.
"Masing-masing ada kekuatan dalam
sesuatu subjek yang diambil, saya Geografi, Aiman lebih kuat dalam subjek Sains
manakala Alif mahir Matematik, jadi kami saling membantu," kata Luqman
Hakim yang ditemani dua rakannya itu ketika ditemui Bernama di sini.
Bagi Mohd Aiman Arif, belajar berkumpulan lebih berkesan
kerana sesi perbincangan dan 'brain storming' dapat dilakukan sekiranya terdapat
kekeliruan pada sesuatu subjek yang diambil.
Alif Asyraf pula berkata mereka akan mengunyah kismis ketika sesi perbincangan
selain tidak mengambil organ dalaman sebagai makanan di samping bersarapan
setiap hari sebelum ke kelas.
"Pastikan selalu meminta maaf daripada kedua ibu bapa dan guru, dan
memohon restu mereka supaya kita lebih tenang dan ilmu yang dipelajari akan
diberkati," kata Alif Asyraf yang turut gembira apabila sekolah itu
muncul sekolah yang mencatat peratus lulus terbaik (lulus semua subjek) dengan
100 peratus calonnya lulus PMR.
Timbalan Pengarah Pelajaran Selangor
Mohd Salleh Mohd Kassim berkata daripada 78,665 calon yang menduduki PMR di
Selangor tahun ini, 6,739 mendapat keputusan semua A iaitu kurang 832 calon
berbanding keputusan 2011.
KUCHING: Usaha gigih dengan menyediakan
jadual waktu pembelajaran untuk persiapan PMR, membuahkan hasil bagi
pelajar Sekolah Menengah Agama Agama Ahmad Zaidi Muhd Danial Putra.
Dia antara 63 pelajar cemerlang di
sekolahnya yang memperoleh 9A bagi semua mata pelajaran yang diambilnya.
"Saya sediakan jadual waktu
belajar bagi membolehkan saya belajar secara tersusun dan mempunyai masa untuk
rehat dan berseronok selain mengambil
kelas tambahan bagi memantapkan lagi pemahaman saya terutama bagi subjek
English dan Bahasa Malaysia," katanya kepada Bernama di sini.
Bercita-cita bergelar saintis, Muhd
Danial berkata dia berterima kasih kepada keluarganya yang memberi sokongan
moral dan galakan agar cemerlang dalam pelajaran selain bimbingan guru-guru sekolahnya.
KUALA LUMPUR: Kegembiraan turut dikongsi pelajar Victoria
Institution, Ahmad Imran Zainal Rashid, apabila diberitahu mendapat keputusan
cemerlang.
Dia yang tidak pernah lulus peperiksaan
matematik, terkejut apabila diberitahu mendapat keputusan 8A.
"Selepas ini saya akan memberi tumpuan di dalam kelas dan
berharap akan menjadi pelajar yang lebih cemerlang," katanya.
Sementara itu, Sekolah Menengah Agama
Kuala Lumpur (SMAKL) pula seramai 72 daripada 121 pelajarnya memperoleh 8A dan
ke atas.
Apabila dihubungi Penolong Kanan SMAKL
Mek Emas Abdullah memberitahu Bernama walaupun mencatatkan sedikit penurunan
dalam keputusan PMR tahun ini, tetapi sekolah itu masih memperoleh kelulusan
100 peratus dan akan meneruskan tradisi untuk mendapatkan keputusan cemerlang
PMR tahun depan.
- BERNAMA
2 comments:
saya Salman Alfarisi Bin Nasir Khan ingin memberitahu bahawa terdapat kesalahan dalam nama pelajar yang mendapat 8A bagi SMK Bukit Jambul, Pulau Pinang. rakan saya, Muhammad Ariff Bin Abdul Malik, namanya telah dieja dengan Muhammad Ariff Bin Abdul Wahid. Harap pihak-pihak yang terlibat dapat mengubah perkara ini. Sekian terima kasih.
Untuk pengetahuan Tuan Salman,sumber yang diperolehi adalah petikan dari Bernama. Terima kasih dan mohon maaf atas kesilapan yang berlaku.
Post a Comment