Kota Bharu: Penggunaan bahasa ringkas
atau Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) kini semakin membimbangkan apabila ia turut
digunakan oleh pelajar dalam peperiksaan rasmi, termasuk di peringkat institusi
pengajian tinggi.
Penemuan itu hasil kajian yang
dijalankan oleh sekumpulan penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
berhubung penggunaan bahasa ringkas yang memfokuskan calon Sijil Pelajaran
Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) serta pelajar
universiti.
Selain itu, kajian berkenaan turut
mendapati ada pelajar yang menggunakan bahasa pasar seperti 'sedap gila’, 'laju
gila’ dan sebagainya," Dr Awang Sariyan, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan
Pustaka (DBP)
Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka
(DBP), Dr Awang Sariyan (kanan), berkata isu itu sudah menjadi petanda bahaya
kepada pelajar kerana menjawab peperiksaan dengan perkataan singkatan sehingga
sukar difahami pemeriksa.
Katanya, kebanyakan pelajar tidak
serius dalam penggunaan bahasa dan mereka tidak mementingkan susunan ayat yang
betul kerana sudah biasa menggunakan bahasa ringkas dalam perbualan harian,
termasuk SMS dan Facebook.
Banyak singkatan tidak difahami, makna
berubah; “Justeru, penggunaan bahasa SMS ini memainkan satu bibit atau ragam
bahasa bukan saja penggunaan bahasa sangat santai, tetapi banyak singkatan yang
tidak difahami dan perubahan makna sangat ketara”.
“Selain itu, kajian berkenaan turut
mendapati ada pelajar yang menggunakan bahasa pasar seperti 'sedap gila’, 'laju
gila’ dan sebagainya,” katanya di Majlis Perasmian Simposium Tun Syed Nasir
Sempena Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan 2012 Peringkat Kelantan, di sini,
semalam.
Awang bagaimanapun berkata, penggunaan
bahasa SMS itu masih lagi terkawal, tetapi perlu dilihat dalam konteks yang
lebih serius kerana hal begitu sebenarnya mengganggu dan menjejaskan bahasa
kebangsaan.
“Menghalang bahasa ringkas menular
dalam urusan harian bukanlah mudah kerana dalam percakapan harian pun kita
sudah menggunakan bahasa pasar dan sebagainya yang sedikit sebanyak mencalarkan
imej bahasa ibunda.
“Kalau kita nak gunakan bahasa ringkas,
tiada masalah, tetapi mesti digunakan dalam konteks yang sangat kecil. Jika
kita menulis atau berhubung dalam konteks yang lebih umum, maknanya bahasa
digunakan bersama orang awam hendaklah teratur dan terkawal,” katanya.
Awang berkata, dalam memartabatkan
bahasa dan persuratan Melayu sebagai benteng peradaban bangsa, semua peringkat
masyarakat seharusnya berganding bahu supaya mutu penggunaan bahasa sentiasa
terkawal.
- bharian
0 comments:
Post a Comment