PUTRAJAYA, 22 Dis
- Para guru termasuk mereka yang mengajar di sekolah rendah memainkan peranan
penting untuk memupuk minat murid dalam subjek Sains sekali gus mendorong
mereka memilih aliran berkenaan apabila berada di sekolah menengah.
Tokoh
pendidikan, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, para ibu bapa dan pelajar juga
perlu sedar bahawa aliran Sains sebenarnya membuka peluang pekerjaan yang luas
kepada pelajar.
"Para
guru dan sekolah perlu memberi lebih banyak penekanan kepada pengajaran Sains.
Kalau murid minat sejak kecil lagi, maka mereka dengan sendirinya akan memilih
aliran Sains apabila berada di sekolah menengah.
"Malaysia
memerlukan pelajar Sains yang lebih ramai untuk mencapai Wawasan 2020 dan usaha
untuk menambah pelajar aliran ini telah dimulakan sejak dahulu lagi di mana
kita menambah baik kaedah dan alat pengajaran untuk subjek Sains,"
katanya.
Alimuddin
yang merupakan Pengerusi Kolej Teknologi Antarabangsa Cybernetics berkata
demikian selepas menyempurnakan majlis konvokesyen kesembilan kolej tersebut di
Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
Timbalan
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam dilaporkan berkata, kerajaan
akan melaksanakan 15 daripada 61 perakuan yang dikemukakan Laporan Strategi
Mencapai Dasar 60:40 Aliran Sains/Teknikal:Sastera bagi meningkatkan penyertaan
pelajar dalam bidang berkenaan.
Antara
perakuan yang akan dilaksanakan termasuk penambahan pengecualian cukai kepada
ibu bapa yang mempunyai anak yang mengambil bidang Sains dan Teknologi di
sekolah menengah (tingkatan empat dan lima) dan prauniversiti iaitu daripada
RM1,000 kepada RM3,000.
Alimuddin
yang juga bekas Ketua Pengarah Pelajaran berkata, peningkatan dan penurunan
keputusan dalam beberapa subjek Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang diumumkan
baru-baru ini adalah fenomena biasa.
"Pelajar
menjawab soalan yang berlainan, jadi jatuh dan naik keputusan itu adalah
perkara yang normal. Melainkan ada kejatuhan signifikan melebihi lima peratus,
barulah ia melambangkan ada perkara tertentu yang perlu diambil
perhatian," katanya.
-
Utusan
0 comments:
Post a Comment