KALAU telefon bimbit kita rosak atau
kotor, secepat kilat kita pergi baiki atau membersihkannya. Maklumlah penting
sangat untuk berkomunikasi dan sentiasa bersama kita. Tetapi bagaimana dengan
hati yang rosak atau kotor pula. Adakah kita memperbaikinya atau adakah kita
tidak perasan akan kerosakan atau kekotorannya, sedangkan hati kita tetap
bersama kita!
Itulah dalam banyak perkara penting,
kita lupa perkara yang tersangat penting dalam hidup kita iaitu hati. Kita lupa
nak jaga dan pimpin hati. Hati di sini ialah hati rohani, iaitu ‘al-qalb’. Hati
qalbu iaitu hati nurani tempat letaknya iman dan Islam.
Wajib kita jaga hati supaya jangan sampai takbur merosakkan diri. Ikutilah
titipan ini keakhirnya, insyaAllah anda akan mendapat pengajaran darinya:
Sifat takbur (sombong) adalah mazmumah
yang wajib sangat dikikis segera. Kalau tidak ia akan menutup semua jalan
kebaikan yang mungkin dilakukan seseorang.
Hampir semua manusia ada sifat ego atau
sombong. Untuk membuangnya, amat susah sekali. Imam Ghazali berkata, bahawa
sifat ego itu hampir mustahil dapat dibuang semuanya dari jiwa manusia.
Bagaimanapun, kita perlu berusaha
mengurangkannya. Kita mesti cuba merendah diri dengan memaksa hati merasa dan
mengakui kelemahan dan kekurangan kita sebagai manusia biasa.
Dalam perselisihan pendapat atau
pergaduhan kita dengan orang lain misalnya, cuba rasakan kesilapan itu di pihak
kita. Atau paling tidak, akuilah bahawa kita juga turut bersalah.
Bukankah ada pepatah mengatakan,
“Bertepuk sebelah tangan masakan berbunyi.” Kalau kita mampu dan berani
mengakui kesalahan, mampulah kita meminta maaf.
Hanya dengan meminta maaf sahaja dosa
kita sesama manusia akan terhapus. Oleh itu, kita perlu melatih diri melawan
sifat sombong atau takbur itu. Latihan yang lebih berkesan lagi ialah biasakan
diri tinggal bersama dengan orang yang dipandang rendah oleh masyarakat.
Orang susah, peminta sedekah, orang
cacat dan siapa sahaja yang setaraf, kita dampingi dan gauli. Duduk, bercakap,
minum dan tidur baring bersama mereka hingga kita rasa sama seperti mereka.
Waktu itu jiwa ego kita akan berasa
kesal, terhina dan terseksa sekali kerana kita merasakan orang lain semua
mengejek dan merendah-rendahkan kita.
Biarkan. Bisikkan di hati, “Memang awak
ini asalnya miskin dan hina. Berasal dari tanah dan akan menjadi tanah. Datang
ke dunia dulu tanpa seurat benang dan sesen wang.”
Kalaulah amalan itu dibiasakan,
Insya-Allah sifat ego sedikit demi sedikit dapat kita buang. Alah bisa tegal
biasa dan yakinlah ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya.
Dan ingatlah selalu firman Allah: “Dan
janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia (kerana sombong) dan janganlah
kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak suka
seseorang yang sombong lagi membangga diri.” (Surah Luqman ayat 18).
Allah berfirman lagi: “Hai orang-orang
yang beriman, janganlah satu golongan menghina golongan yang lain kerana boleh
jadi mereka yang dihina lebih baik dari mereka yang menghina. Dan jangan pula
wanita (menghina) wanita-wanita lain kerana boleh jadi wanita yang dihina lebih
baik dari wanita yang menghina.”
(Surah Al Hujurat ayat 11).
Janganlah kita berjalan di muka bumi
dengan sombong kerana pangkat dan kekayaan kita. Kekuatan kita tentu tidak
dapat membelah bumi dan ketinggian kita tetap tidak dapat menyamai bukit.
Imam Syafie pernah berkata, “Tidak akan
mulia orang yang mengangkat diri dan tidak akan hina orang yang merendah diri.”
Sifat berkasih sayang sesama manusia adalah sifat terpuji yang dituntut Allah.
Ia adalah lawan kepada sifat sombong,
hasad dengki dan berdendam sesama manusia. Untuk mendapatkannya, kita kena
melakukan latihan. Untuk menyayangi orang yang kita sayang itu mudah. Itu bukan
latihan namanya. Untuk sayang ayah dan ibu kita, ia tidak perlukan latihan.
Memang fitrah semula jadi kita sayang kepada ibu dan ayah.
Tetapi yang memerlukan latihan ialah
untuk berbuat baik kepada orang yang tidak pernah berbuat baik kepada kita atau
berbuat baik kepada orang yang berbuat jahat kepada kita.
Latihan itu sangat susah hendak
dilakukan kerana ia sangat bertentangan dengan nafsu. Tetapi kita diminta juga
untuk mengusahakannya.
Sebab itu Rasulullah bersabda:
“Hendaklah buat baik kepada orang yang buat jahat kepada kamu.” Biasanya kita
hanya boleh berbuat baik dengan orang yang berbuat baik kepada kita sahaja.
Kalau ada kawan yang menyinggung kita,
kita tidak sanggup berbuat baik kepadanya. Sebab itulah kita kena latih melawan
kemahuan jahat itu.
Caranya, orang yang kita tidak suka
itu, kita ajak makan bersama, ajak berbual, ajak bermesra, ajak berjalan dan
lain-lain lagi. Hal ini memanglah boleh membuatkan hati susah sedikit.
Tidak mungkin sekali dua kita usahakan,
kita terus mendapat hasilnya. Kita kena lakukan latihan itu sepanjang masa.
Bila ada peluang melakukannya, teruslah bertindak.
Sanggupkah kita membuat latihan seperti
yang disebutkan tadi? Kalau kita mampu berbuat, kitalah rijal. Kitalah wira
kerana sanggup memerangi nafsu. Ertinya sanggup memerangi diri sendiri. Namun,
ia bukannya perkara mudah.
Amat susah sekali, terseksa kita
dibuatnya. Adakalanya hendak berbuat baik kepada orang yang pernah berbuat baik
kepada kita pun amat susah.
Betapa pula hendak berbuat baik kepada
orang yang pernah berbuat jahat kepada kita. Tentu lebih sulit lagi. Namun,
melalui latihan yang bersungguh-sungguh, Insya-Allah ia akan dipermudahkan
Allah.
Allah berfirman yang bermaksud: “Mereka
yang berjuang di jalan Kami nescaya Kami tunjukkan jalan-jalan Kami.
Sesungguhnya Allah berserta orang yang berbuat baik.” (Surah Al Ankabut ayat 69).
0 comments:
Post a Comment