KUALA
LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mahu kajian mendalam
dilakukan berhubung cadangan mengambil guru bahasa Inggeris dari India untuk
mengajar pelajar di negara ini.
Presidennya
Hashim Adnan berkata perbincangan perlu dilakukan dengan pakar dalam bahasa itu
bersama NUTP dan Kementerian Pelajaran bagi memastikan sebarang keputusan
dibuat akan menguntungkan kerajaan.
“Kajian
lebih mendalam perlu diatur supaya ia tidak menjadi kerugian di mana-mana
pihak. Kedua, adalah lebih baik perbincangan dibuat dengan para profesor bahasa
Inggeris di negara ini bersama kesatuan dan kementerian dan apa keputusan
dibuat selepas itu sudah pasti akan menguntungkan kerajaan,” katanya kepada
Bernama di sini hari ini.
Semalam,
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata Malaysia bercadang mengambil
sejumlah guru bahasa Inggeris dari India untuk mengajar pelajar Malaysia dalam
usaha meningkatkan kemahiran bahasa itu.
Najib
yang berada di India bagi menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-India
selama dua hari bermula semalam, berkata cadangan itu sebagai tambahan kepada
program yang dilaksanakan dengan Amerika Syarikat (AS), Yayasan Fullbright dan
Suruhanjaya Amerika Syarikat Mengenai Pertukaran Pendidikan (MACEE) sebelum ini
Di
bawah program dengan AS itu, Pembantu Guru Bahasa Inggeris (ETA) dari negara
itu ditempatkan di beberapa sekolah terpilih seluruh negara khususnya di luar
bandar.
Hashim
turut mencadangkan supaya guru-guru bahasa Inggeris yang telah bersara diambil
bagi mengajar bahasa itu berikutan mereka dari budaya dan latar belakang sama
serta mengetahui kaedah untuk mengajar pelajar Malaysia.
“Diharap
(cadangan itu) tidak akan dilaksanakan kerana ia sangat merumitkan. Budak-budak
akan menjadi bahan uji kaji dan ini tidak sihat kepada pelajar yang ingin
mendapatkan pelajaran bahasa Inggeris daripada orang yang berlainan punca dan
latar belakang,” katanya.
Beliau
juga berkata adalah memadai dengan guru-guru bahasa Inggeris dari Amerika
Syarikat untuk mengajar bahasa itu di negara ini kerana jika dicampuradukkan,
bukan sahaja menjadi beban kepada pelajar tetapi juga sistem pendidikan negara.
Bagaimanapun,
katanya bayaran untuk memanggil guru-guru yang telah bersara untuk mengajar
bahasa Inggeris juga perlu setimpal dengan pengalaman dan kepakaran mereka
dalam bahasa tersebut.
Pengerusi
Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (PAGE) Datin Noor Azimah Abdul
Rahim pula mencadangkan supaya kerajaan mengambil guru bahasa Inggeris dari
England jika kerajaan mempunyai peruntukan untuk mengambil guru dalam bahasa
itu dari luar.
“Guru bahasa Inggeris Fullbright itu ok
sebab Amerika Syarikat dan aksen mereka boleh terima, tetapi aksen orang dari
India pekat. Kita rasa kalau betul nak membantu pelajar, jika bajet itu ada,
kenapa kita tak ambil guru bahasa Inggeris dari England.
“Sebab
kita dulu belajar bahasa Inggeris daripada orang Britain sebab itu kita
berterusan macam ini,” katanya.
Beliau
juga berkata jika kerajaan mahu mendapatkan kepakaran daripada negara
berkenaan, adalah lebih baik guru dalam bidang sains dan matematik diambil
berikutan itu adalah kepakaran mereka.
Sementara
itu, Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad Tan Sri Alimuddin Mohd Dom
menyambut baik cadangan tersebut berikutan sejarah awal pendidikan bahasa
Inggeris di negara ini pada akhir abad ke-19 didominasi guru-guru dari India
yang dibawa penjajah untuk mengajar di sekolah mubaligh dan sekolah bahasa
Inggeris di negara ini.
“Daripada
sejarah yang dilihat, mereka banyak memberi perkhidmatan dalam bidang
pendidikan terutama ramai lepasan sekolah mubaligh menjadi pemimpin dan tokoh
ternama negara. Sejarah telah lama berakar umbi di negara kita.
“Jika
guru-guru dari India dibawa kembali, saya rasa tidak mendatangkan masalah
kerana boleh membawa kebaikan berdasarkan sejarah yang dilihat dulu,” katanya.
Beliau
berkata guru yang akan dibawa masuk juga adalah guru cemerlang dan bilangan
guru di India adalah 10 kali ganda daripada bilangan guru di negara ini iaitu
seramai 400,000 orang dan sudah tentu kementerian mempunyai banyak pilihan
untuk memilih guru terbaik untuk mengajar di negara ini.
“Di
India juga, sistem pendidikan mereka lebih menggunakan bahasa Inggeris sebagai
bahasa pengantar dan sudah tentu dari segi kepakaran tidak timbul masalah. “Jadi,
atas sebab-sebab itu, saya rasa cadangan itu begitu baik untuk dilaksanakan
pada masa depan,” katanya.
Sementara
itu, Setiausaha Agung Pemuda Gerakan Dr Dominic Lau Hoe Chai dalam kenyataannya
berpendapat cadangan itu adalah langkah yang baik tetapi menegaskan terdapat
beberapa masalah yang perlu ditangani sebelum pengambilan itu boleh dilakukan.
Beliau
berkata antara masalah itu seperti perbezaan budaya dan sebutan bahasa Inggeris
yang dituturkan oleh pendidik dari luar negara ini mungkin sukar difahami oleh
pelajar Malaysia.
“Berdasarkan
pengalaman saya, membawa pendidik asing mengajar bahasa Inggeris ia adalah
usaha yang baik, tetapi mereka mesti diberi taklimat tentang budaya tempatan
dan tingkah laku pelajar. “Sebagai contoh, sebahagian pensyarah Barat yang
pernah mengajar di sini memberi komen pelajar Malaysia sangat pasif di dalam
kelas kerana tidak bercakap. “Tetapi mereka gagal menyedari bahawa pelajar Asia
lazimnya kurang lantang berbanding pelajar Barat disebabkan hakikat bahawa
pandangan pengajar harus dihormati dan tidak dicabar,” katanya.
Justeru
katanya, malu atau takut diejek oleh rakan-rakan mereka adalah antara sebab
mengapa mereka berbuat demikian. “Bagaimanapun, langkah pengambilan tenaga
pengajar asing tidak berpanjangan di masa depan kerana kosnya yang tinggi. Ia
hanya sebagai langkah sementara. Lebih ramai guru bahasa Inggeris harus dilatih
untuk mengelak kita daripada terlalu bergantung kepada orang luar,” katanya.
-
BERNAMA
0 comments:
Post a Comment