Showing posts with label Perkhidmatan Guru. Show all posts
Showing posts with label Perkhidmatan Guru. Show all posts
Saturday, August 1, 2015
Beban Kerja Guru Dikaji Semula - Mahdzir
Bebanan kerja yang ditanggung lebih
500,000 guru di seluruh negara akan dikaji semula bagi memastikan ia tidak
menjejaskan tugasan hakiki mereka sebagai pendidik. Perkara itu dinyatakan
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid pada sidang media selepas
menghadiri majlis meraikan beliau sebagai Menteri Pendidikan yang baharu
berkuat kuasa Selasa lalu. Beliau berkata, perkara yang akan dikaji hanya
membabitkan kerja-kerja di luar tugasan hakiki seorang guru yang sebelum ini
banyak menimbulkan rungutan.
"Ada rakan-rakan saya dalam
kalangan guru bercakap mengenai perkara ini, jadi saya rasa perkara ini perlu
dikaji supaya kita lebih jelas permasalahan sebenar yang dihadapi mereka dalam
isu ini. Kita akan cuba semak apakah bebanan yang dimaksudkan dan peratusannya...kajian
ini tidak membabitkan tugasan hakiki guru, cuma kerja-kerja lain di luar tugas
hakiki mereka," katanya di sini, hari ini.
Mahdzir selain itu mengesahkan tidak
ada sebarang perubahan dari segi dasar pendidikan akan dilakukan pada masa ini kerana
dasar sedia ada masih relevan mengikut keadaan semasa.
"Selama ini dasar pendidikan tetap
sama sejak tahun 60-an, 70-an dan hingga sekarang, cuma yang berlaku adalah
penambahbaikan terhadap dasar itu mengikut kesesuaian zaman," katanya.
- bharian
Sunday, May 31, 2015
Beri Ruang Guru Laksana Amanah
Guru;
Apabila disebut saja perkataan ini secara tidak langsung akan mengimbas kembali
memori mengenai sesuatu yang sangat terkesan di dalam minda dan hati kita.
Ada
yang apabila disebut perkataan ini, akan terpacul di mindanya gambaran sekolah.
Ada juga apabila disebut perkataan ini tergambar di ingatannya wajah guru yang
pernah mendidiknya.
“Masa
ayah kat sekolah dulu cikgu suruh berdiri tengah panas sebab lupa buat kerja
rumah.” Dialog seperti ini hampir kebanyakan daripada kita dengar daripada ibu,
ayah atau datuk kita yang mengimbas kembali zaman dan kenangan persekolahan
mereka satu ketika dulu. Pendek kata, setiap orang pasti ada memori ‘indah’
atau tidak dapat dilupakan bersama guru mereka.
Perkataan
‘guru’ ini umpama ‘keramat’ yang pasti tersemat dalam sanubari kita hingga
bila-bila. Setiap daripada kita pasti pernah melalui zaman persekolahan
hinggalah ke universiti.
Sepanjang
hidup kita, pasti pernah melalui proses menuntut ilmu daripada mereka yang
dipanggil guru ini. Pasti ada sesuatu yang istimewa dengan profesion ini
hinggakan dunia mengkhaskan satu hari yang digelar ‘Hari Guru’ pada 16 Mei
setiap tahun.
Memang
sukar untuk dinafikan betapa rapatnya kehidupan kita pada hari ini dengan jasa
guru sebelum ini. Profesion seorang peguam, arkitek, jurutera, doktor dan
sebagainya pada asalnya dibentuk oleh guru dari zaman persekolahan lagi.
Kita
mampu membaca dan mengira, pasti juga hasil daripada tunjuk ajar guru. Tiada
manusia yang mampu membaca dan mengira jika tiada guru yang sanggup mengajar
mereka mengenal satu demi satu huruf dan mengajar kita formula demi formula
untuk mengira.
Saya
terkenang zaman persekolahan dulu. Ketika bersekolah di Sekolah Menengah Agama
Izzuddin Shah, Ipoh antara subjek yang sangat saya tidak gemar adalah mata
pelajaran Matematik.
Memang
satu ketika saya berasakan subjek berkenaan adalah yang paling sukar di dunia
untuk saya fahami. Setiap kali ujian atau peperiksaan, saya antara pelajar yang
mendapat markah terendah dalam kelas. Hinggakan saya berasa benci atau ‘alergik’
dengan mata pelajaran ini.
Sampai
saya masuk ke tingkatan lima, subjek Matematik kelas saya ketika itu diajar
oleh guru penolong kanan yang terkenal dengan sifat tegasnya. Setiap kali
subjek Matematik, semua murid diminta fokus dengan apa yang diajar olehnya.
Jangan
sekali-kali cuba melihat buku rujukan atau membuat perkara lain ketika dia mengajar,
nescaya akan ada ‘objek’ terbang yang hinggap di muka atau kepala.
Formula
yang diajarnya pula luar daripada kebiasaan. Formulanya tidak dapat ditemukan
dalam mana-mana ‘kitab’ matematik.
Apa
yang menghairankan, akhirnya kami pasti menemukan jawapan sama dengan cara
perkiraan yang menggunakan cara ‘standard’ walaupun jalan kiranya agak
istimewa.
Namun
kadangkala guru saya ini agak pelik. Pelik kerana membuat kelas tambahan pada
waktu yang luar daripada kebiasaan. Kadang-kadang buat selepas Subuh. Ada waktu
dibuat pada waktu petang (di mana waktu petang adalah waktu pelajar asrama
bermain) dan adakalanya pada hari bercuti.
Memang
saya dan kawan agak tertekan ketika itu untuk membiasakan cara luar biasa yang
diamalkan oleh guru Matematik saya ini.
Namun
selepas beberapa bulan, saya mula berminat dengan subjek Matematik dan teruja
untuk menjawab soalan latihan. Hasilnya, saya dapat merasakan ada peningkatan
daripada ujian ke ujian dan akhirnya saya berjaya melepasi markah gagal.
Alhamdulillah,
daripada sering mendapat gred ‘D’ dan ‘E’, saya berjaya mendapat gred A pada
peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun berkenaan dan sehingga kini
saya masih terhutang budi dengan beliau kerana membantu ‘mengeluarkan’ saya
dari zon bahaya ini.
Begitu
juga dengan guru subjek lain ketika itu yang bersungguh-sungguh membantu kami
untuk cemerlang dalam peperiksaan SPM tahun sama. Hingga kini, jika ada peluang
pasti saya akan menziarah mereka setiap kali menjelang Syawal.
Namun
akhir-akhir ini, hati ini sering tersentak setiap kali membaca laporan akhbar
mengenai mereka yang bernama ‘guru’. Tersentak apabila membaca berita ada murid
yang kurang adab dan tidak menghormati guru mereka.
Begitu
juga dengan sesetengah ibu bapa yang terlalu ‘protektif’ terhadap anak mereka
sehinggakan langsung tidak boleh disentuh oleh guru di sekolah. Malah ada juga
yang mengeluarkan kenyataan di media seolah-olah memandang rendah profesion
yang mulia ini.
Ada
pula yang sanggup membuat laporan polis hanya kerana perkara remeh-temeh.
Justeru tidak hairanlah kita menghadapi dilema masalah sosial yang serius dalam
kalangan remaja akhir-akhir ini.
Pada
saya, kita mungkin perlu memberikan golongan guru ini sedikit ruang dan tidak
terlalu menekan mereka dalam usaha mereka mendidik anak kita ini. Insya-Allah,
saya berasakan setiap guru pasti mahu melihat setiap anak didiknya menjadi ‘manusia’
pada masa hadapan.
Bak
kata Saidina Ali, “Jika kamu mahu melihat bagaimana masa hadapan sesebuah
bangsa (negara), maka lihatlah anak-anak muda mereka ketika itu.”
-
hmetro

Monday, April 20, 2015
Sistem Digital, Guru Terseksa?
Baru-baru
ini, heboh orang ramai bercakap mengenai tahap pencapaian pelajar Malaysia yang
didakwa masih terkebelakang berbanding negara lain.
Tetapi
kualiti pendidikan dijangka lebih terjejas pada masa depan jika tinjauan
mengenai tekanan guru yang dilakukan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan
(NUTP) diambil kira.
Setiausaha
Agung NUTP, Lok Yim Pheng berkata, tinjauan terbaharu NUTP yang dibuat tahun
lalu menunjukkan tekanan dihadapi guru di Malaysia semakin meningkat sejak
beberapa tahun kebelakangan ini, terutamanya disebabkan pengenalan pelbagai
program pendidikan baharu serta penggunaan sistem elektronik (e-sistem) untuk
merekodkan segala aktiviti di sekolah.
Menurutnya,
keadaan fizikal dan mental guru yang ‘letih’ akibat beban tugas tambahan ini
menyebabkan mereka tidak mampu menyampaikan pendidikan berkualiti kepada
pelajar.
“NUTP
tahun lalu ada minta guru senaraikan beban tugas mereka. Memang tugas masukkan
data secara online ini antara yang paling menimbulkan tekanan hebat. E-sistem
ini menyebabkan guru menderita,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama
Sinar Harian, baru-baru ini.
Menurutnya,
guru terpaksa membazirkan masa berjam-jam sehari untuk mengisi maklumat pelajar
dalam pelbagai sistem elektronik berbeza yang diperkenalkan kementerian di
bawah program Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) sejak 2011.
"E-sistem
ini ada berpuluh jenis, (jabatan pendidikan) negeri ada, persekutuan ada,
Kementerian Pendidikan ada. Sedangkan data sama (contohnya e-kehadiran, e-salah
laku, e-disiplin) yang sudah dimasukkan dalam sistem A, perlu dimasukkan sekali
lagi dalam sistem B.
“Disebabkan
ini, ada guru yang akhirnya memilih untuk bersara awal kerana tak lagi rasa
seronok untuk mengajar seperti dahulu kerana terlalu terbeban dengan tugas
memasukkan data ke dalam e-sistem,” katanya.
Menurutnya,
ada aduan diterima mengenai e-sistem tidak dapat diakses pada waktu puncak
sehingga menyebabkan guru terpaksa habiskan masa sehingga jam 2 atau 3 pagi
hanya untuk memasukkan data.
“Guru
manusia, bukan mesin. Kalau masukkan data sampai jam 3 atau 4 pagi, datang
sekolah dalam keadaan mengantuk, macam mana dia nak fokus pada pelajar.
Akhirnya kesan kepada pelajar, menjejaskan kualiti pendidikan,” katanya.
Yim
Pheng berkata, antara penyelesaian masalah ini adalah melantik pembantu guru,
iaitu cadangan NUTP yang sudah diluluskan pada 2013 oleh Kementerian Pendidikan
namun belum dilaksanakan.
Satu
e-sistem tunggal dan berpusat perlu diwujudkan supaya guru tidak perlu berulang
kali memasukkan data sama dalam sistem berbeza.
Jangan ‘Humban’ Semua Program
Pelan
Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM), katanya, juga menyebabkan
terlalu banyak program baharu diperkenalkan di sekolah dalam masa singkat,
menyebabkan tekanan guru bertambah kerana mereka tidak dapat menguasai sesuatu
program secukupnya sebelum diarahkan beralih ke program lain.
“Sepatutnya
beri jarak masa yang sesuai supaya guru dapat sesuaikan diri dengan sesuatu
program dan berehat secukupnya sebelum beralih ke program seterusnya,” katanya.
Beliau
berkata, walaupun diakui guru tertekan, dasar baharu di bawah PPPM adalah baik
untuk pelajar pada masa akan datang kerana menekankan kemahiran berfikir
belajar.
Bilangan
pelajar juga terlalu ramai menyukarkan proses pengajaran dan pembelajaran di
dalam kelas.
“Satu
kelas ada sampai 40 hingga 50 murid. Di bawah PBS, seorang guru perlu beri
perhatian secara individu kepada pelajar. Itu yang menyebabkan guru tertekan
kerana tidak cukup masa,” katanya sambil menambah jumlah pelajar yang
sewajarnya di bawah PBS adalah 20 hingga 20 orang dalam satu kelas.
Beliau
juga berkata, guru perlu menghadiri terlalu banyak mesyuarat sehingga
menyebabkan mereka terpaksa meninggalkan kelas.
Katanya,
isu itu pernah dibangkitkan dalam laporan NUTP bertajuk ‘Pandangan dan Syor
NUTP: Beban Guru’ pada 2005 yang mengkaji tekanan dalam kalangan guru berkaitan
beban kerja tambahan.
Yim
Pheng berkata, susulan penerbitan laporan itu, Kementerian Pendidikan
menubuhkan jawatankuasa menangani beban kerja guru dan sejak itu, lebih 10
mesyuarat diadakan untuk membincangkan kaedah dan penyelesaian sesuai.
Walaupun
terdapat perubahan di peringkat awal laporan itu diterbitkan 10 tahun lalu,
semuanya kembali kepada asal kini apabila rungutan diterima daripada guru yang
terpaksa hadiri terlalu banyak mesyuarat.
Menurutnya,
isu ini boleh diselesaikan jika pengetua atau guru besar sekolah mampu
menyelesaikan masalah dengan cekap tanpa memerlukan guru meninggalkan kelas
untuk menghadiri mesyuarat.
“Kalau
dapat agihkan tugas sama rata kepada semua guru dan kendalikan sekolah secara
lebih profesional serta ada strategi, saya rasa kita dapat kurangkan terlalu
kerap sangat mesyuarat. Sekarang s ada e-mel, WhatsApp, banyak perkara boleh
dapat maklum balas dan bincang (tanpa mesyuarat),” katanya.
Beri Cikgu Rehat Secukupnya
Katanya,
tanggapan lapuk guru hanya bekerja separuh hari tidak tepat kerana kajian
dibuat NUTP menunjukkan guru bagi sekolah sesi pagi yang hadir ke sekolah pada
jam 7 pagi hanya pulang paling awal jam 2 petang malah, ada yang perlu bertugas
pada waktu petang atau malam untuk program tambahan atau mesyuarat.
“Pada
waktu mereka tidak ada kelas, mereka gunakan masa itu untuk tanda buku, buat
persediaan mata pelajaran seterusnya, masukkan data dalam e-sistem. Sekarang kita ada terima aduan ada
sekolah yang ingin memasukkan kelas tambahan dalam jadual tetap guru. Jadi bila
guru nak rehat?,” katanya.
Katanya,
guru juga kurang rehat apabila perlu ke sekolah pada Sabtu dan Ahad serta cuti
umum disebabkan pelbagai aktiviti luar, program tambahan dan mesyuarat.
Selain
itu katanya, kajian NUTP mendapati sesetengah guru terutama guru muda mempunyai
masalah keyakinan diri semasa pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas, tidak
tahu berkomunikasi dengan ibu bapa serta tiada kemahiran menyelesaikan masalah
pelajar di dalam kelas.
“Itu
yang kadang-kala timbul isu guru pukul pelajar sampai cedera. Ini semua
disebabkan tekanan. Jadi kita cadangkan Kementerian Pendidikan buat kursus
psikologi untuk ajar guru imbangi emosi semasa mereka tertekan,” katanya.
Selain
itu, dasar pendidikan yang kerap berubah punca tekanan guru meningkat, termasuk
sistem PBS yang diperkenalkan empat tahun lalu.
Ada
sekolah balik kepada budaya peperiksaan apabila diberi kelonggaran adakan ujian
bawah PBS.
“Kita
cadang kepada kementerian, sekolah mesti hanya ada peperiksaan pertengahan dan
akhir tahun. Ibu bapa mesti ada keyakinan terhadap sekolah. Jangan bila tiada
ujian, ibu bapa kata anak tak belajar. Itu masih terikat mentaliti peperiksaan,”
katanya.
Katanya,
apa yang guru mahukan adalah masa mencukupi dengan anak murid supaya mereka
dapat mengembangkan potensi pelajar dan melahirkan modal insan yang baik.
“Saya
nampak Timbalan Perdana Menteri (yang juga Menteri Pendidikan) Tan Sri
Muhyiddin Yassin cukup prihatin terhadap beban kerja guru. Tetapi belum ada
penyelesaian,” katanya.

Tuesday, January 27, 2015
Urusan Kenaikan Pangkat Secara TBBK 2015
Urusan
Kenaikan Pangkat Secara Timed-Based Berasaskan Kecemerlangan (TBBK) bagi Pegawai
Perkhidmatan Pendidikan (PPP) yang mempunyai pengalaman sebagai Pegawai
Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma (PPPLD) di Kementerian Pendidikan
Malaysia (KPM) calon yang berkelayakan Tahun 2015.
Muat turun
pekeliling: Urusan Kenaikan Pangkat Secara TBBK 2015
-
Kementerian Pendidikan Malaysia

Tuesday, November 18, 2014
Guru Lewat Ke Sekolah, Kesilapan Libatkan Integriti
Kehadiran
lewat ke sekolah secara berterusan hampir setiap hari walaupun hanya satu atau
dua minit adalah antara kesilapan melibatkan integriti dalam kalangan warga
sekolah termasuk guru, kata anggota Exco Perak Datuk Dr Muhammad Amin Zakaria.
Pengerusi
Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri itu
berkata dalam persekitaran pendidikan, terdapat sebilangan warga sekolah yang
masih tidak mengendahkan isu integriti.
Beliau
berkata banyak contoh kesilapan kecil yang dilakukan itu, kemudian mendatangkan
masalah kepada guru atau penjawat awam berkenaan.
"Kes
seperti lewat masuk ke kelas, guru masuk kelas tetapi pembelajaran dan
pengajaran tidak berlaku, tidak memeriksa buku latihan murid, tidak menulis
Buku Rekod Mengajar dan sebagainya masih berlaku.
"Kes-kes
ini sebenarnya termasuk dalam tafsiran ketiadaan integriti yang boleh mendorong
seseorang itu melakukan salah laku yang lebih besar selepas itu," katanya
ketika merasmikan Hari Integriti Jabatan Pendidikan (JPN) Perak di sini hari
ini.
Muhammad
Amin berkata integriti penting dalam membina jati diri insan sebagai komponen
kekuatan sesebuah negara bangsa.
"Semua
agama, kerajaan, masyarakat, jabatan serta perniagaan melihat integriti sebagai
elemen yang sangat penting untuk dipelihara kerana ketiadaan integriti akan
menyebabkan negara menjadi huru hara, perniagaan menjadi bankrap dan masyarakat
akan hilang norma kemanusiaan," katanya.

Tuesday, September 30, 2014
Semakan Penempatan Guru DG41 - (Menengah) Bil. 7/2014
Semakan
Penempatan Baharu Bagi Guru yang dilantik sebagai Pegawai Perkhidmatan
Pendidikan (PPP) DG41 boleh disemak bermula semalam iaitu 29 Oktober 2014 di
Portal KPM di ruangan aplikasi berkala atau klik pautan berikut: SEMAKAN PENEMPATAN PEGAWAI PERKHIDMATANPENDIDIKAN (PPP) DG41-(MENENGAH) BIL 7/2014
Setelah
dibuat semakan, diminta untuk
menghubungi Jabatan Pendidikan Negeri/ Bahagian untuk mendapatkan maklumat
lanjut berkenaan penempatan tuan/puan.
-
Portal KPM

Tuesday, September 2, 2014
Warga Pendidik Harus Guna Pendekatan Inovatif Dalam Proses Pembelajaran
Warga pendidik di sekolah mahupun di
institut pengajian tinggi perlu sentiasa mencari pendekatan inovatif bagi
menggalakkan penyertaan pelajar sewaktu proses pembelajaran, kata Tan Sri
Muhyiddin Yassin.
Timbalan perdana menteri berkata antara
kaedah yang mungkin boleh diterokai bagi tujuan itu ialah kursus terbuka dalam
talian iaitu akses penyertaan dan interaksi pengajar dan pelajar melalui web
dan 'flipped classroom' iaitu penyediaan bahan pengajaran juga yang boleh
dicapai melalui web.
"Pengisian media (dan nota) yang
diintegrasikan berupaya tingkatkan akses kepada pembelajaran tanpa batasan masa
dan ruang, di samping mampu mengurangkan kos serta menjimatkan masa.
"Ia juga dapat membantu pelajar
kuasai kaedah alternatif dalam memahami sesuatu konsep dan teori serta mencapai
standard keberhasilan pembelajaran yang kompeten," katanya ketika berucap
pada Majlis Anugerah Akademik Negara 2013 edisi kelapan Kementerian Pendidikan
di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini Selasa.
Dalam majlis itu, Perdana Menteri Datuk
Seri Najib Tun Razak menyampaikan anugerah Tokoh Akademik Negara 2013 kepada
Naib Canselor Universiti Putra Malaysia yang pertama iaitu Prof Emeritus Tan
Sri Dr Mohd Rashdan Baba.
Prof Mohd Rashdan juga merupakan naib
canselor pertama Universiti Kebangsaan Malaysia sebelum ini.
Anak kelahiran Rembau, Negeri Sembilan
berusia 79 tahun itu, menerima sebuah piala pusingan, wang tunai RM200,000
serta sijil penghargaan atas sumbangan cemerlang beliau dalam bidang agronomi.
Berucap lebih lanjut, Muhyiddin yang
juga Menteri Pendidikan berkata sekiranya warga pendidikan mengambil inisiatif
untuk menggunakan pendekatan itu, beliau percaya pendidikan negara mampu
diperkasa lagi ke tahap yang lebih baik.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru
ahli akademik serta warga pendidik untuk menjadikan anugerah ini sebagai
pembakar semangat dan pemangkin kepada kecemerlangan diri dan institut
pengajian tinggi masing-masing.
"Anugerah ini bukan sekadar suatu
pengiktirafan untuk mereka yang telah capai kecemerlangan dalam aspek
pengajaran, tapi juga buat penyelidik, penulis buku, penggiat seni, usahawan
dan juga warga akademik harapan yang telah pamerkan kecemerlangan dalam
penjanaan dan pengkongsian ilmu," katanya.
Muhyiddin berkata pendekatan yang lebih
inovatif dalam perkongsian dan penjanaan ilmu adalah perlu memandangkan zaman
kini telah menyaksikan trend pembelajaran yang berubah serta kian mencabar.
- BERNAMA

Tuesday, August 12, 2014
Semak Keputusan Program Transformasi Minda
Keputusan
Program Transformasi Minda (PTM) Kohort 1 (8-12 April 2014 - Perdana Resort,
KB) dan PTM Kohort 2 ( 17-21 Jun 2014-Perdana Resort, KB) telah pun dapat
dicetak sijil kelulusannya.
Guru-guru yang terlibat boleh menyemak
keputusan PTM masing-masing dengan klik pautan berikut: Semak Keputusan PTM
-
Kementerian
Pendidikan Malaysia

Sunday, March 30, 2014
Urusan Kenaikan Pangkat Ke Gred DG42 Di Kementerian Pendidikan Malaysia
Kementerian
Pendidikan Malaysia (KPM) akan melaksanakan urusan kenaikan pangkat PPP Gred
DG29, DG32, DG34 dan DG38 yang memperolehi ijazah semasa dalam perkhidmatan ke
Gred DG42. Mana-mana pegawai yang berminat hendaklah tersebut hendaklah
mengemukakan permohonan yang lengkap melalui Ketua Jabatan untuk pertimbangan
Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pelajaran (LKPPP) di KPM bagi tujuan
kenaikan pangkat tersebut.
Perlu
diingatkan bahawa kenaikan pangkat oleh LKPPP ke Gred DG42 dan urusan lantikan
ke DG41 oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) adalah dua urusan yang
berlainan. Mana-mana pegawai yang berminat bagi memohon bagi urusan kenaikan
pangkat ke Gred DG42 tetapi pernah memohon ke SPP bagi urusan lantikan ke Gred
DG41 perlu mengemukakan permohonan yang berasingan.
Sebarang
permohonan perlu dikemukakan menerusi JPN / Bahagian masing-masing. Sebarang
permohonan yang tidak dibuat menerusi JPN / Bahagian tidak akan diproses.
Keterangan
lanjut sila rujuk pada lampiran Surat Makluman Kenaikan Pangkat ke DG42.
Muat
Turun:
- Kementerian
Pendidikan Malaysia

Saturday, February 22, 2014
Gaji Gred DG41 Dan DG42 Adalah Sama
Info
yang diperolehi dari Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (KPPK)
memaklumkan bahawa guru-guru baru yang keluar dari IPGM atau Universiti
(sepenuh masa) yang memperolehi Ijazah akan dianggap sebagai lantikan baru dan ditawarkan ke gred DG41.
Manakala
bagi guru-guru yang telah berada dalam sistem atau telah dilantik oleh SPP dan
melanjutkan pelajaran (PJJ/OUM) akan ditawarkan gred naik pangkat DG42.
Gred
DG41 dan DG42 gaji adalah sama.
Untuk
kumpulan guru yang tamat PJJ/OUM yang belum dilantik oleh SPP boleh menunggu
iklan pada bulan April untuk memohon kegred DG42.
-
KPPK

Tuesday, February 11, 2014
Khidmat Kaunseling, Kuasai Kemahiran Psikologi Bantu Guru

Kerjaya
sebagai seorang guru, suatu profesion mulia yang dihormati masyarakat dalam
melahirkan modal insan berkualiti, kini semakin mencabar dan berhadapan dengan
pelbagai tekanan.
Seperti
bidang kerjaya lain, tekanan yang mereka hadapi perlu diberi perhatian bagi
memastikan mereka tidak mengalami stres dan menyebabkan mereka mengambil
tindakan di luar jangkaan.
Mungkinkah
insiden melibatkan guru lelaki mendenda dua murid Tahun Empat kerana tidak
menyiapkan kerja sekolah di Perak baru-baru ini berlaku akibat tekanan kerja?
KUASAI KEMAHIRAN PSIKOLOGI
KANAK-KANAK
Pakar
Perunding Psikiatri Universiti Malaya Dr Muhamad Muhsin Ahmad Zahari
berpendapat golongan pendidik kini bukan sahaja perlu menangani tekanan tetapi
juga perlu diterapkan dengan kemahiran menangani psikologi kanak-kanak.
"Setiap
pelajar mempunyai masalah dan perwatakan yang berbeza. Dalam konteks ini guru
perlu 'up-to-date' dengan perkembangan semasa malah guru perlu menjadi model contoh
terbaik kepada para pelajar.
"Jika
seseorang guru gagal menangani tekanan ia akan memberi kesan buruk dan segala
masalah itu akan dilepaskan kepada murid-murid yang tidak berupaya berbuat
apa," katanya kepada Bernama.
Sependapat
dengan Dr Muhamad Muhsin, seorang guru muda Nur Syahirah Nur Khuzaizi, 23,
berkata kerjaya perguruan memerlukan kesabaran yang tinggi dan pendekatan
psikologi adalah satu alternatif yang boleh dipraktikkan bagi memastikan para
pelajar mematuhi peraturan di sekolah.
TANGANI TEKANAN DAN KAWAL
DIRI
Berikutan
cabaran dan faktor bebanan tugas serta tanggungjawab yang berat, Dr Muhamad
Muhsin berkata ramai guru hari ini menghadapi tekanan dalam kerjaya mereka.
Meskipun
tidak mempunyai data tepat bilangan guru yang mendapatkan khidmat kaunseling,
beliau berkata pertambahan bilangannya dapat dilihat berdasarkan kekerapan
mereka datang untuk mendapatkan rawatan.
"Tanda-tanda
am seperti sakit badan, pening kepala dan jantung berdebar-debar adalah
sebahagian daripada tekanan secara fizikal. Jika tekanan keterlaluan seseorang
individu akan tidak cukup tidur, suka menyendiri dan hilang selera makan.
"Oleh
itu, mereka (guru) perlu menjalani cara hidup sihat dan terapi terbaik apabila
berasa tertekan adalah meluahkan masalah kepada seseorang yang
dipercayai," katanya.
Presiden
Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) Hashim Adnan
berpendapat guru-guru mesti bijak mengawal diri kerana sebarang tindakan
melampau boleh memberi kesan kepada mutu pengajaran dan pembelajaran, dan
akhirnya menjejaskan hubungan antara guru dan pelajar.
"Hal
ini terutamanya apabila melibatkan emosi dan kelakuan pelajar. Tugas sebagai
seorang guru tidak habis setakat di kelas, ada kala mereka terpaksa berdepan
dengan kerenah ibu bapa yang mudah 'melenting' sekiranya anak mereka 'ditegur'.
"Justeru
ibu bapa perlu membuat pertimbangan dan jangan terus menghukum guru andai kata
mereka menegur atau memarahi anak-anak mereka ini kerana sudah menjadi tugas
seorang guru untuk mendidik supaya menjadi insan berguna," katanya.
IBU BAPA DAN GURU PERLU
DIBERI KAUNSELING
Apakah
tindakan yang perlu diambil bagi menangani masalah seperti insiden yang berlaku
seperti di Perak itu? Apakah jaminan insiden seumpamanya tidak berulang lagi?
Presiden
Majlis Permuafakatan PIBG Nasional Prof Madya Dr Mohd Ali Hassan berkata dalam
isu ini satu tindakan menyeluruh perlu diadakan supaya keputusan dibuat secara
adil dan saksama tanpa menjejaskan kredibiliti mana-mana pihak.
Menganggap
hukuman yang dikenakan ke atas murid terbabit tidak munasabah dan menjejaskan
reputasi guru di kalangan masyarakat, beliau mengesyorkan guru berkenaan
menjalani pemeriksaan kesihatan mental dan sesi kaunseling bagi memastikan
beliau tidak mengalami tekanan emosi.
Bukan
hanya melibatkan guru berkenaan, Dr Mohd Ali berkata sesi kaunseling mestilah
juga membabitkan ibu bapa pelajar bagi membantu pelajar terbabit menjalani alam
persekolahan seperti biasa.
Mengenai
tindakan Kementerian Pendidikan menukarkan guru terbabit ke sekolah lain,
beliau berkata kementerian perlu mempertimbangkan semula tindakan bagi mengenal
pasti punca dan langkah terbaik yang perlu diambil terhadap guru itu.
"Kalau
dihantar ke sekolah lain, bagaimana dengan penerimaan pelajar dan guru di
sekolah baru itu? Kita tidak mahu guru berkenaan akan berasa terasing
disebabkan isu ini. Itu bukan tindakan yang baik...kementerian perlu sediakan
platform khusus untuk menangani isu seperti ini," katanya.
PERTUKARAN GURU JEJAS
PROSES PEMBELAJARAN PELAJAR LAIN
Berkongsi
pendapat dengan Mohd Ali, Hashim berkata keputusan menukarkan guru terbabit
bukanlah satu tindakan yang tepat sebaliknya mengganggu proses pembelajaran di
sesebuah sekolah.
"Proses
pertukaran seseorang guru itu bukan mudah. Ia memerlukan masa
sekurang-kurangnya enam bulan atau setahun untuk proses dilakukan kerana
kebiasaannya proses pertukaran berlaku pada awal dan akhir tahun sahaja.
"Namun
disebabkan insiden ini, murid-murid terpaksa menunggu guru baharu bagi
menggantikan guru tersebut dan ini boleh menjejaskan pencapaian murid-murid
lain," katanya.
-
BERNAMA

Tuesday, December 3, 2013
Tempoh Mengajar Guru Di Pedalaman Tak Ditetapkan
Tempoh
perkhidmatan guru yang berkhidmat di kawasan pedalaman tidak ditetapkan pada
satu jangka waktu tertentu kerana mereka bebas untuk memohon bertukar ke tempat
lain.
Timbalan
Menteri Pendidikan Datuk Mary Yap Kain Ching berkata, adalah menjadi hak, tanggungjawab
dan inisiatif guru yang berkhidmat di pedalaman untuk memohon bertukar ke
sekolah lain sama ada di kampung atau bandar.
“Guru
yang berkhidmat di kawasan pedalaman mendapat beberapa keistimewaan, antaranya
elaun khas mengikut lokasi dan tahap kesusahan atau bayaran insentif pedalaman,
bayaran insentif tetap perumahan dan elaun balik kampung.
“Insentif berkenaan bertujuan menampung
kehidupan mereka di kawasan pedalaman yang kemudahannya tidak sebaik di kawasan
pekan atau bandar,” katanya di Dewan Rakyat, semalam.
Beliau
berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz
(BN-Tanah Merah) yang bertanyakan sama ada Kementerian Pendidikan menetapkan
tempoh khidmat guru di kawasan pedalaman.
Selain
itu, guru yang berkhidmat di kawasan pedalaman turut tidak terkecuali menerima
pelbagai anugerah seperti guru cemerlang dan diberi peluang pembangunan kerjaya
melalui penyertaan dalam forum dan seminar.
- hmetro

Thursday, November 28, 2013
Pengambilan Guru Ikut Keperluan Negeri
Kementerian
Pendidikan kini menghadapi masalah lambakan permohonan pertukaran guru yang
meruncing untuk ditukarkan ke negeri asal masing-masing khususnya Kelantan,
Terengganu dan Kedah.
Menteri
Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, Kelantan mencatatkan permohonan
pertukaran guru tertinggi iaitu seramai 2,483 orang berbanding 173 kekosongan
yang ada.
Bagi
Kedah pula katanya, seramai 1,523 orang guru kelahiran negeri itu memohon
ditukarkan ke negeri asal berbanding hanya 200 kekosongan manakala Terengganu
menerima permohonan pertukaran seramai 1,267 orang guru berbanding 200
kekosongan.
"Di
Kelantan terdapat lebih 30,000 orang guru dan ada lagi 2,483 orang yang memohon
balik ke negeri itu sedangkan hanya ada 179 kekosongan, ini bermakna seramai
2,304 orang gagal mendapat tempat," katanya.
Beliau
berkata demikian kepada pemberita selepas diberikan taklimat sempena lawatan
rasmi beliau ke Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di Gong Badak dekat
sini hari ini.
Yang
turut hadir, Naib Canselor UniSZA, Prof. Dr. Yahaya Ibrahim.
Idris
diminta mengulas keluhan seorang guru yang disiarkan dalam ruangan Cuit di
Utusan Malaysia hari ini yang masih gagal ditukarkan ke negeri asalnya,
Terengganu meskipun beberapa kali memohon sejak lapan tahun lalu berkhidmat di
sebuah sekolah di Batu Pahat, Johor.
Guru
itu, Farita Idayu Jusoh yang amat menyintai profesion itu kini dalam keadaan
kemurungan dan berkemungkinan terpaksa menamatkan kerjayanya setelah berjauhan
dengan suami yang bertugas di Terengganu sejak sekian lama.
Idris
seterusnya berkata, berdasarkan masalah lambakan permohonan pertukaran guru
itu, Kementerian Pendidikan tidak mampu menampung hasrat guru terbabit
memandangkan jumlah kekosongan yang begitu terhad.
Sehubungan
itu, beliau menyeru semua pihak tidak menyalahkan kementeriannya berhubung
perkara itu.
"Kita
sebenarnya bukan tidak izinkan guru bertukar ke negeri asal masing-masing
tetapi permohonan yang diterima terlampau ramai sedangkan jumlah kekosongan amat
kecil," ujarnya.
Idris
bagaimanapun mengakui wujud masalah 'keciciran' membabitkan guru yang
berkali-kali memohon ditukarkan ke negeri asal dan beliau memberi jaminan,
pihaknya akan memberi perhatian mengenainya.
Katanya,
Kementerian Pendidikan akan cuba sedaya upaya menangani masalah tersebut dan
bersedia mengambil tanggungjawab sepenuhnya bagi membantu guru-guru terbabit.
"Sebab
itulah, selepas ini kita akan membuat pengambilan guru baharu mengikut
keperluan negeri masing-masing," tambahnya.
-
Utusan

Tuesday, November 26, 2013
Kementerian Pendidikan Tidak Janjikan Penempatan Kepada Graduan
Kementerian Pendidikan tidak
menjanjikan penempatan kepada graduan Ijazah Sarjana Muda Perguruan Institusi
Pengajian Tinggi Awam (IPTA), kata Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Mary Yap
Kian Ching.
Beliau berkata ini kerana sebahagian
besar daripada mereka bukan ditaja oleh Kementerian Pendidikan dan tidak ada
sebarang ikatan perjanjian dengan pihak kementerian.
"Penempatan graduan adalah
berdasarkan kepada kekosongan perjawatan yang ada. Apabila bekalan diterima,
penempatan dilaksanakan mengikut kekosongan perjawatan dan keperluan
opsyen," katanya.
Yap berkata demikian ketika menjawab
soalan Datuk Abdul Rahman Mohamad (BN-Lipis) pada sesi soal jawab di Dewan
Rakyat di sini hari ini. Abdul Rahman bertanyakan mengenai mekanisme
Kementerian Pendidikan dalam mengatasi kelewatan penempatan graduan Ijazah
Sarjana Muda Pendidikan sejak akhir-akhir ini.
Beliau menambah kata, mulai tahun 2012,
pelantikan dan penempatan graduan pendidikan keluaran IPTA dan Institut
Pendidikan Guru (IPG) tidak lagi secara automatik, tetapi secara lantikan tetap
dan tidak lagi lantikan secara sandaran.
"Kementerian Pendidikan
berpandangan bahawa tidak timbul isu kelewatan dalam penempatan guru baharu
memandangkan semua graduan pendidikan perlu menjalani prosedur pelantikan dan
penempatan yang telah ditetapkan," kata Yap.
Jelasnya, graduan pendidikan yang tamat
pengajian dan diperakukan oleh senat IPTA/IPG perlu memohon di portal
www.jobsmalaysia.com bagi tujuan panggilan temuduga oleh Suruhanjaya
Perkhidmatan Pelajaran (SPP).
Yab berkata bakal guru hanya akan
ditempatkan di sekolah-sekolah setelah mereka lulus temuduga dan diperakui oleh
pihak SPP.
"Ini bertujuan untuk memastikan
guru-guru yang dilantik berkualiti dan memenuhi standard guru Malaysia. Mereka
akan ditempatkan ke sekolah dengan tawaran jawatan Pegawai Perkhidmatan
Pendidikan Siswazah (PPPS) Gred DG41," katanya.
- BERNAMA

Keputusan Pertukaran Guru Antara Negeri Bagi Sesi Januari 2014

Keputusan
Pertukaran Guru bagi sesi Januari 2014 boleh disemak di Sistem Maklumat Guru
Modul e-GTukar mulai jam 9.00 malam pada 25 November 2013, Isnin.
Berikut
adalah Analisa Pertukaran Guru Antara Negeri Sesi Januari 2014 bagi sekolah
menengah dan rendah (Klik gambar untuk kelihatan lebih jelas):
Statistik Pertukaran Antara Negeri Bagi Sekolah Menengah
Statistik Pertukaran Antara Negeri Bagi Sekolah Rendah
Klik
di sini untuk layari: e-GTukar
-
Portal KPM

Thursday, November 21, 2013
Urusan Pemangkuan PPPLD Bagi Mengisi Jawatan Guru Besar 2014

Kementerian
Pendidikan Malaysia (KPM) akan mengadakan urusan pemangkuan PPLD Gred DGA32 ke
Gred DGA34 dan Gred DGA29 ke DGA32 (Bidang Umum, Cina dan Tamil) bagi mengisi
kekosongan jawatan kenaikan pangkat Guru Besar di Kementerian Pendidikan
Malaysia pada tahun 2014.
Pemangkuan
ini adalah terbuka kepada semua PPLD Gred DGA32 dan Gred DGA29 termasuk pegawai
yang sedang cuti belajar, cuti separuh gaji, cuti tanpa gaji, pegawai-pegawai
yang dipinjamkan/tukar sementara ke agensi lain atau yang sedang mengisi
jawatan kader dan pegawai yang dimasukkan ke dalam jawatan kumpulan.
Sehubungan
dengan itu, bersama-sama ini dilampirkan Surat siaran urusan pemangkuan PPPLD
ke Gred DGA34 ke Gred DGA32 bagi mengisi jawatan Guru Besar tahun 2014 di
Kementerian Pendidikan Malaysia melalui sistem kenaikan pangkat (ePANGKAT).
Klik Gambar untuk Akses Ke Portal e-Pangkat
Muat
Turun: Surat siaran urusan pemangkuanPPPLD ke Gred DGA34 ke Gred DGA32 bagi mengisi jawatan Guru Besar tahun 2014.

Penafian: Pihak admin tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan dan kerosakan yang dialami semasa/selepas melayari blog ini atau menggunakan sebarang maklumat dari dalam blog ini. Komen-komen yang dikirimkan diblog ini juga adalah menjadi tanggungjawab pengirim itu sendiri. Terima kasih.