Guru;
Apabila disebut saja perkataan ini secara tidak langsung akan mengimbas kembali
memori mengenai sesuatu yang sangat terkesan di dalam minda dan hati kita.
Ada
yang apabila disebut perkataan ini, akan terpacul di mindanya gambaran sekolah.
Ada juga apabila disebut perkataan ini tergambar di ingatannya wajah guru yang
pernah mendidiknya.
“Masa
ayah kat sekolah dulu cikgu suruh berdiri tengah panas sebab lupa buat kerja
rumah.” Dialog seperti ini hampir kebanyakan daripada kita dengar daripada ibu,
ayah atau datuk kita yang mengimbas kembali zaman dan kenangan persekolahan
mereka satu ketika dulu. Pendek kata, setiap orang pasti ada memori ‘indah’
atau tidak dapat dilupakan bersama guru mereka.
Perkataan
‘guru’ ini umpama ‘keramat’ yang pasti tersemat dalam sanubari kita hingga
bila-bila. Setiap daripada kita pasti pernah melalui zaman persekolahan
hinggalah ke universiti.
Sepanjang
hidup kita, pasti pernah melalui proses menuntut ilmu daripada mereka yang
dipanggil guru ini. Pasti ada sesuatu yang istimewa dengan profesion ini
hinggakan dunia mengkhaskan satu hari yang digelar ‘Hari Guru’ pada 16 Mei
setiap tahun.
Memang
sukar untuk dinafikan betapa rapatnya kehidupan kita pada hari ini dengan jasa
guru sebelum ini. Profesion seorang peguam, arkitek, jurutera, doktor dan
sebagainya pada asalnya dibentuk oleh guru dari zaman persekolahan lagi.
Kita
mampu membaca dan mengira, pasti juga hasil daripada tunjuk ajar guru. Tiada
manusia yang mampu membaca dan mengira jika tiada guru yang sanggup mengajar
mereka mengenal satu demi satu huruf dan mengajar kita formula demi formula
untuk mengira.
Saya
terkenang zaman persekolahan dulu. Ketika bersekolah di Sekolah Menengah Agama
Izzuddin Shah, Ipoh antara subjek yang sangat saya tidak gemar adalah mata
pelajaran Matematik.
Memang
satu ketika saya berasakan subjek berkenaan adalah yang paling sukar di dunia
untuk saya fahami. Setiap kali ujian atau peperiksaan, saya antara pelajar yang
mendapat markah terendah dalam kelas. Hinggakan saya berasa benci atau ‘alergik’
dengan mata pelajaran ini.
Sampai
saya masuk ke tingkatan lima, subjek Matematik kelas saya ketika itu diajar
oleh guru penolong kanan yang terkenal dengan sifat tegasnya. Setiap kali
subjek Matematik, semua murid diminta fokus dengan apa yang diajar olehnya.
Jangan
sekali-kali cuba melihat buku rujukan atau membuat perkara lain ketika dia mengajar,
nescaya akan ada ‘objek’ terbang yang hinggap di muka atau kepala.
Formula
yang diajarnya pula luar daripada kebiasaan. Formulanya tidak dapat ditemukan
dalam mana-mana ‘kitab’ matematik.
Apa
yang menghairankan, akhirnya kami pasti menemukan jawapan sama dengan cara
perkiraan yang menggunakan cara ‘standard’ walaupun jalan kiranya agak
istimewa.
Namun
kadangkala guru saya ini agak pelik. Pelik kerana membuat kelas tambahan pada
waktu yang luar daripada kebiasaan. Kadang-kadang buat selepas Subuh. Ada waktu
dibuat pada waktu petang (di mana waktu petang adalah waktu pelajar asrama
bermain) dan adakalanya pada hari bercuti.
Memang
saya dan kawan agak tertekan ketika itu untuk membiasakan cara luar biasa yang
diamalkan oleh guru Matematik saya ini.
Namun
selepas beberapa bulan, saya mula berminat dengan subjek Matematik dan teruja
untuk menjawab soalan latihan. Hasilnya, saya dapat merasakan ada peningkatan
daripada ujian ke ujian dan akhirnya saya berjaya melepasi markah gagal.
Alhamdulillah,
daripada sering mendapat gred ‘D’ dan ‘E’, saya berjaya mendapat gred A pada
peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun berkenaan dan sehingga kini
saya masih terhutang budi dengan beliau kerana membantu ‘mengeluarkan’ saya
dari zon bahaya ini.
Begitu
juga dengan guru subjek lain ketika itu yang bersungguh-sungguh membantu kami
untuk cemerlang dalam peperiksaan SPM tahun sama. Hingga kini, jika ada peluang
pasti saya akan menziarah mereka setiap kali menjelang Syawal.
Namun
akhir-akhir ini, hati ini sering tersentak setiap kali membaca laporan akhbar
mengenai mereka yang bernama ‘guru’. Tersentak apabila membaca berita ada murid
yang kurang adab dan tidak menghormati guru mereka.
Begitu
juga dengan sesetengah ibu bapa yang terlalu ‘protektif’ terhadap anak mereka
sehinggakan langsung tidak boleh disentuh oleh guru di sekolah. Malah ada juga
yang mengeluarkan kenyataan di media seolah-olah memandang rendah profesion
yang mulia ini.
Ada
pula yang sanggup membuat laporan polis hanya kerana perkara remeh-temeh.
Justeru tidak hairanlah kita menghadapi dilema masalah sosial yang serius dalam
kalangan remaja akhir-akhir ini.
Pada
saya, kita mungkin perlu memberikan golongan guru ini sedikit ruang dan tidak
terlalu menekan mereka dalam usaha mereka mendidik anak kita ini. Insya-Allah,
saya berasakan setiap guru pasti mahu melihat setiap anak didiknya menjadi ‘manusia’
pada masa hadapan.
Bak
kata Saidina Ali, “Jika kamu mahu melihat bagaimana masa hadapan sesebuah
bangsa (negara), maka lihatlah anak-anak muda mereka ketika itu.”
-
hmetro
0 comments:
Post a Comment