Showing posts with label UPSR. Show all posts
Showing posts with label UPSR. Show all posts

Monday, September 28, 2015

Format dan Instrumen Contoh UPSR 2016

Bermula tahun 2016, Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) akan menggunakan format baru, dimana murid Tahun 6 akan menghadapi bentuk dan format yang agak berbeza.

Pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah memaklumkan bahawa Format dan Instrumen Contoh Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi tahun 2016 telah disediakan untuk rujukan awam.

Format dan instrumen contoh UPSR 2016 boleh dimuatturun dengan mengklik subjek-subjek berikut:



- KPM

Wednesday, November 26, 2014

Pencapaian UPSR 2014 Menurun

Pencapaian keseluruhan calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014 menurun sebanyak 0.02 Gred Purata Nasional (GPN) daripada tahun 2013. GPN pada tahun 2013 ialah 2.27 mata manakala GPN tahun ini 2.29 mata. Nilai GPN lebih kecil menunjukkan pencapaian calon yang lebih baik.

Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Seri Dr Khair Mohamad Yusof semasa mengumumkan analisis keputusan UPSR di kementerian itu di PUTRAJAYA hari ini, berkata calon yang mendapat keputusan cemerlang semua gred A tahun ini ialah sebanyak 36,304 orang. Jumlah itu ialah 7.89 peratus daripada 460,407 calon yang menduduki peperiksaan. Pencapaian itu juga menurun sebanyak 1.26 peratus berbanding 2013 yang mencatatkan 42,646 calon mendapat keputusan cemerlang semua gred A, katanya.

Di SARAWAK, sebanyak 1,862 calon berjaya mencapai keputusan cemerlang A dalam semua mata pelajaran yang diduduki mereka, menurun 0.08, peratus berbanding 1,916 orang pada tahun lepas. Pengarah Pendidikan Negeri Serina Sauni berkata jumlah sekolah mencatat pencapaian 100 peratus kelulusan bagaimanapun meningkat kepada 116 buah sekolah berbanding 84 buah sekolah tahun lepas.

Di TERENGGANU, Ketua Sektor Penilaian dan Peperiksaan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) Mohammed Embong berkata pencapaian GPN negeri meningkat sebanyak 0.06 mata iaitu 2.14 berbanding 2.20 pada tahun 2013, dan jumlah ini mengatasi pencapaian peringkat nasional sebanyak 2.29.

Bagaimanapun jumlah pelajar mencapai keputusan cemerlang semua A dalam semua mata pelajaran menurun sebanyak 1.90 peratus atau 476 calon berbanding tahun lepas.

Tahun ini hanya 2,563 pelajar daripada 21,099 iaitu 12.10 peratus yang berjaya memperolehi semua A berbanding 3,039 pelajar tahun lepas, katanya
semasa mengumumkan analisis keputusan UPSR negeri itu di Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu di Kuala Terengganu.

"Berdasarkan analisis yang dibuat, faktor utama penurunan pencapaian calon mendapat semua A adalah disebabkan oleh pencapaian mata pelajaran Sains yang 1,286 orang atau 55.70 peratus murid gagal mendapat A, bermakna mereka memperoleh 4A 1B," katanya.

Sementara itu sebanyak 49 daripada 377 sekolah di negeri itu berjaya memperoleh peratus semua A, dengan Sekolah Kebangsaan Bukit Tadok, Hulu Terengganu merupakan sekolah terbaik berdasarkan nilai Gred Purata Sekolah (GPS) sebanyak 1.23, katanya.

"Bagaimanapun, pencapaian keputusan UPSR pada tahun ini adalah terbaik dalam tempoh 14 tahun dari segi pencapaian Baik (minimum C bagi semua mata pelajaran) dan menunjukkan peningkatan dari segi pencapaian Gred Purata (GP)," katanya,

Di KELANTAN, pencapaian keputusan UPSR mencatatkan pencapaian membanggakan apabila mendapat GPN sebanyak 2.16 mata. Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan Ab Aziz Abdullah berkata pencapaian GPN negeri itu menyamai pencapaian tahun lepas.

Sebanyak 3,600 calon negeri atau 11.15 peratus daripada 31,987 calon yang menduduki UPSR tahun ini, memperoleh A bagi semua mata pelajaran yang diambil, katanya pada majlis pengumuman keputusan UPSR negeri itu di Kota Bharu.

Di PERAK, sebanyak 2,847 atau 7.6 peratus daripada 37,479 murid yang menduduki UPSR lulus cemerlang dengan memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran. Pengarah Pendidikan Negeri Mohd Idris Ramli berkata peratusan calon yang mencapai keputusan cemerlang itu bagaimanapun mengalami sedikit penurunan berbanding 8.49 peratus tahun lepas.

Di NEGERI SEMBILAN, sebanyak 1,833 atau 10.5 peratus daripada 17,510 calon yang menduduki UPSR 2014 mencapai keputusan penuh 5A atau 7A. Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Pkharuddin Ghazali berkata dalam penguasaan semua A, jurang perbezaan antara bandar dan luar bandar berkurangan daripada 4.4 peratus kepada 3.5 peratus.

Di SABAH, pencapaian pelajar yang mendapat semua A dalam peperiksaan UPSR meningkat 0.14 peratus iaitu sebanyak 1,231 daripada 44,427 calon. Pengarah Pendidikan Sabah Datuk Jame Alip memberitahu pemberita di Kota Kinabalu bahawa dari segi GPN juga pencapaian calon UPSR Sabah meningkat  dengan mencatat 2.71, berbanding 2.76 tahun lalu, dan adalah yang terbaik berbanding pencapaian dalam tempoh lima tahun.

Sementara itu, di JOHOR, jumlah pelajar yang mendapat semua A menurun 1.12 peratus berbanding tahun lepas dengan 4,811 pelajar catat keputusan cemerlang.


- Bernama

Thursday, November 20, 2014

Keputusan UPSR 2014 Pada 26 Nov

Keputusan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014 akan dikeluarkan pada 26 Nov.

Menurut kenyataan Lembaga Peperiksaan pada Rabu, calon boleh mendapatkan keputusan mereka daripada sekolah masing-masing selepas pukul 10 pagi pada hari tersebut.

Selain itu, calon juga boleh menggunakan perkhidmatan semakan UPSR 2014 melalui mySMS 15888 dengan perkhidmatan ini akan diaktifkan bermula pukul 10 pagi hari yang sama dan akan ditamatkan pada pukul 11.59 malam, 2 Dis.

Sejumlah 473,175 calon menduduki UPSR di 8,299 pusat peperiksaan di seluruh negara.



-  BERNAMA

Monday, September 22, 2014

UPSR: Kertas Matematik, Bahasa Tamil Dibatalkan, Tarikh Baharu Peperiksaan 9 Okt


Kementerian Pendidikan hari ini mengesahkan kertas peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014 bagi Mata Pelajaran Matematik dan Bahasa Tamil bocor.

Berikutan itu, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Khair Mohamad Yusof berkata, ujian Matematik dan Bahasa Tamil yang berlangsung pada 10 September lalu dibatalkan.

Katanya, tarikh baharu bagi ujian Matematik dan Bahasa Tamil ditetapkan pada 9 Oktober ini.

Kenyataan Akhbar: Klik Gambar Untuk Kelihatan Lebih Jelas

Klik kenyataan di bawah untuk maklumat lanjut:



- Lembaga Peperiksaan Malaysia



Sunday, September 14, 2014

Sedia Beberapa Set Soalan Elak Bocor

Kementerian Pendidikan perlu merangka pelan kontingensi termasuk menyediakan beberapa set soalan sebagai langkah mengelak kebocoran soalan peperiksaan.

Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa Dalam Pendidikan Melaka (Magpie), Mak Chee Kin berkata, selain mengelak kebocoran, tindakan menyediakan beberapa set soalan akan membolehkan murid menduduki semula ujian tanpa perlu menunggu masa lama.

Menurutnya, di bawah perancangan itu, kertas soalan akan disediakan oleh beberapa panel guru selain dicetak oleh pencetak yang berlainan.

Menurutnya, hanya Pengarah Pendidikan yang akan membuat keputusan pada saat akhir set soalan yang akan digunakan untuk ujian sebenarnya dan sekiranya berlaku kebocoran, hanya beliau yang perlu dipertanggungjawabkan.

“Saya terkejut kerana pihak kementerian tidak pernah ada sebarang pelan kontingensi untuk menghadapi kebocoran soalan seperti ini walaupun ini bukan pertama kali berlaku.

“Ini tidak adil untuk ibu bapa dan murid. Bayangkanlah nasib murid yang baru berusia 12 tahun terpaksa berhadapan dengan situasi yang tidak pasti seperti ini,” katanya.

Mengulas mengenai tindakan menggantung Pengarah dan Timbalan Pengarah Operasi Lembaga Peperiksaan, Chee Kin berkata, tindakan itu  adalah tidak adil memandangkan isu ini masih dalam siasatan.

Menurutnya, menyalahkan satu pihak adalah tidak adil kerana keseluruhan proses penyediaan soalan melibatkan banyak pihak.




Thursday, September 11, 2014

Kertas Bahasa Inggeris 1 Dan 2 UPSR Turut Bocor

Kertas peperiksaan Bahasa Inggeris 014/1 dan 014/2 (Kertas 1 dan 2) bagi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) didapati turut bocor dan murid perlu mendudukinya semula pada tarikh yang akan ditetapkan kelak.

Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Seri Idris Jusoh berkata perkara itu disahkan pada 11 pagi tadi selepas kementerian menerima maklumat malam tadi yang disebarkan melalui media sosial.

Beliau berkata kementerian memohon maaf atas insiden kedua itu selepas soalan mata pelajaran Sains 018, 028 dan 038 yang dijadualkan hari ini bocor dan terpaksa ditangguhkan ke 30 Sept.

"Kita akan pastikan mereka yang bertanggungjawab diambil tindakan yang sekeras-kerasnya kerana kita melihat integriti telah dipersoalkan dan perkara ini tidak sepatutnya berlaku.

"Saya sekali lagi merakamkan rasa dukacita tentang apa yang berlaku dan memohon maaf kepada ibu bapa yang terpaksa menanggung kesusahan," katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis menandatangani perjanjian dan pelaksanaan Program Latihan Berteraskan Continuous Professional Development (CDP) di sini pada Khamis.



Wednesday, September 10, 2014

Soalan Sains UPSR Bocor, Peperiksaan Ditangguh

Kertas peperiksaan subjek Sains bagi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014 yang dijadualkan esok terpaksa ditangguh kerana didapati soalannya bocor.

Lembaga Peperiksaan dalam satu kenyataan sebentar tadi memaklumkan, tarikh baharu bagi peperiksaan kertas Sains 018, 028, 038 adalah pada 30 September 2014.

Berdasarkan siasatan awal, pihaknya mendapati kandungan soalan bagi kertas peperiksaan tersebut telah tersebar menerusi media sosial.

"Lembaga Peperiksaan telah membuat laporan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dan mengambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang," menurut kenyataan itu.

Kertas peperiksaan subjek Sains itu sepatutnya diduduki pelajar tahun enam pada jam 8.15 pagi sehingga 9.30 pagi, esok.

Klik kenyataan di bawah untuk maklumat lanjut:



Tuesday, September 9, 2014

472,853 Murid Duduki UPSR Hari Ini

Seramai 472,853 murid menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) selama tiga hari di 8,299 pusat peperiksaan di seluruh negara, bermula hari ini.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meninjau perjalanan peperiksaan UPSR di Sekolah Kebangsaan Presint 16 (2) di Putrajaya hari ini, mengucapkan selamat maju jaya kepada calon berkenaan dan berharap mereka memberi fokus kepada menjawab soalan.
   
Seramai 1,533 calon mengambil UPSR di 11 sekolah di Wilayah Persekutuan Putrajaya manakala 21,455 murid menduduki ujian itu di Kuala Lumpur dan 1,307 orang lagi di Labuan.
   
Di KUALA TERENGGANU, kerajaan negeri akan memberi insentif khas kepada sekolah yang mencapai sasaran 20 peratus calon mendapat 5A dalam UPSR tahun ini.
   
Menteri Besar Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman berkata beliau akan meminta Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains dan Teknologi Ghazali Taib untuk mencadangkan bentuk insentif yang sesuai.
  
Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu Zakaria Hussin pula berkata seramai 21,791 calon menduduki UPSR di 383 pusat peperiksaan di negeri pantai timur itu.
   
Di KOTA BAHARU, seramai 32,926 calon menduduki peperiksaan itu 447 pusat peperiksaan yang dipantau 2,232 petugas, kata Pengarah Pelajaran Kelantan Hussain Awang.
   
Daripada jumlah itu, 32,220 merupakan calon sekolah kerajaan dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan, 418 calon sekolah swasta/persendirian dan 288 calon sekolah Yayasan Islam Kelantan.
   
Di IPOH, seramai 38,556 calon menduduki UPSR tahun ini, kata Ketua Sektor Penilaian dan Peperiksaan Jabatan Pendidikan Perak Muhammad Nawawi Yaakob.
   
Beliau memberitahu Bernama bahawa 876 pusat peperiksaan termasuk 11 pusat peperiksaan sekolah Orang Asli dibuka dengan melibatkan 4,856 petugas.

Di KUANTAN, seramai 25,133 calon menduduki UPSR di 561 pusat di seluruh Pahang melibatkan 561 pusat dengan 2,138 petugas peperiksaan.
   
Pengarah Pendidikan Negeri Rosdi Ismail berkata seramai 106 merupakan calon berkeperluan khas (CBK) manakala enam yang lain menduduki peperiksaan di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan dan Hospital Sultan Ahmad Shah, Temerloh.
   
Di MELAKA, 13,780 calon termasuk 89 CBK menduduki UPSR di 244 pusat peperiksaan di seluruh negeri itu yang melibatkan 1,170 petugas, kata     Exco Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi Melaka Datuk Md Yunos Husin.
   
Di ALOR SETAR, sebanyak 571 pusat peperiksaan dibuka bagi membolehkan 35,769 murid mengambil peperiksaan itu di seluruh Kedah.
   
Seramai 21 calon terpaksa menjawab peperiksaan di hospital kerana masalah kesihatan, menurut kenyataan Jabatan Pendidikan negeri.
   
Di KUALA PERLIS, seramai 4,110 murid termasuk 10 CBK menduduki UPSR di 77 pusat peperiksaan di seluruh negeri itu yang melibatkan 349 pengawas peperiksaan, kata Ketua Sektor Penilaian dan Peperiksaan JPN, Azman Ghazali.


- Bernama

Monday, May 12, 2014

Tanggungjawab Sosial Korporat: Kem UPSR Anjuran Petronas

Seramai 444 murid Tahun Enam dari 18 sekolah di enam negeri menyertai Kem Motivasi Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) anjuran Petronas di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun di sini sejak Jumaat lepas.

Pengurus Besar Pejabat Petronas Wilayah Pantai Timur, Wan Mohd Hasnan Abdullah berkata program empat hari itu membabitkan murid-murid dari Kedah, Perak, Pahang, Terengganu, Melaka dan Johor.

Beliau berkata program itu dijalankan di bawah Program Sentuhan Ilmu Petronas (PSIP) bagi membantu meningkatkan mutu pendidikan para pelajar yang tinggal di kawasan operasi Petronas.

"Ini merupakan satu daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) Petronas dan murid yang dipilih datangnya dari keluarga kurang bernasib baik serta dikategorikan sebagai pelajar 'harapan lulus'," katanya pada sidang media hari ini selepas menutup Kem Motivasi Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).

Melalui program itu, murid-murid itu dilatih dan dibimbing mengenai teknik menjawab soalan oleh perunding khas.

PSIP merupakan program sepanjang tahun anjuran Petronas sejak 2002 yang melibatkan 3,000 pelajar setiap tahun bagi memfokuskan kepada tiga subjek utama iaitu Matematik, Bahasa Inggeris dan Sains.


- BERNAMA

Thursday, November 14, 2013

UPSR: Tahniah Kepada Murid-Muridku

Alhamdulillah, pencapaian UPSR 2013 telah pun keluar. Tahniah kepada murid-murid yang berjaya sama ada memperolehi pangkat A atau lulus dalam mata pelajaran yang diambil. Kepada murid-murid yang gagal, jangan putus asa, perjuangan anda masih jauh. Kumpulkan semangat dan iltizam, kejayaan anda masih menanti dikala berada di peringkat sekolah menengah nanti.

Sebagai seorang guru, saya pernah mengajar mata pelajaran UPSR dibeberapa buah sekolah. Alhamdulillah sepanjang dimana-mana pun sekolah saya mengajar, sama ada diletakkan mengajar di kelas belakang atau hadapan, pencapaian murid-murid yang saya ajar memperolehi keputusan yang memberangsangkan.

Manakala di SK Undang, iaitu mula bertugas tahun 2011 saya diberi tugasan mengajar mata pelajaran Matematik di kelas belakang tetapi pencapaiannya tetap memuaskan. Dari pencaipaian 8% lulus diakhir Tahun 5 (2010), murid saya memperolehi 76% lulus Matematik UPSR pada tahun tersebut.

Analisa Keputusan UPSR Tahun 2011 
(Klik Gambar Untuk Kelihatan Lebih Jelas)


Begitulah juga ditahun berikutnya, iaitu tahun 2012 murid kelas yang diajar (6 Ibnu Majah) juga menunjukkan keputusan yang baik. Seterusnya di tahun 2013 ini, saya ditugaskan mengajar di kelas hadapan, setelah guru Matematik Tahun 6 Ibnu Sina (Kelas hadapan) menyatakan hasrat untuk tidak mahu mengajar lagi di Tahun 6.

Walau pun dengan keterbatasan waktu yang saya hadapi kerana mengikuti kursus NPQEL, beberapa perancangan telah saya buat, seperti menyediakan bahan latihan sepanjang peninggalan saya berkursus dan juga pendaftaran online melalui portal zoom-A. Alhamdulillah, keputusan yang keluar pada tahun ini amat menggembirakan kerana memperolehi 100% lulus dan dapat meningkatkan pencapaian A dalam mata pelajaran Matematik.

Analisa  Keputusan UPSR Kelas 6 Ibnu Majah Tahun 2012
 (Klik Gambar Untuk Kelihatan Lebih Jelas)

Analisa  Keputusan UPSR Kelas 6 Ibnu Sina Tahun 2013 
(Klik Gambar Untuk Kelihatan Lebih Jelas)

Tahniah buat murid-muridku.

Keputusan UPSR 2013 Terbaik Dalam Empat Tahun

Pencapaian keseluruhan calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun ini adalah yang terbaik dalam tempoh empat tahun, kata Ketua Pengarah Pendidikan Tan Sri Abd Ghafar Mahmud.

Beliau berkata seramai 466,167 calon menduduki UPSR pada tahun ini dan pencapaian keseluruhan telah meningkat sebanyak 0.04 mata Gred Purata Nasional (GPN).

"Ini merupakan keputusan UPSR terbaik dalam tempoh empat tahun iaitu sejak tahun 2010 di mana GNP telah meningkat darpadai 2.31 mata pada tahun 2010 kepada 2.30 mata (2011), 2.31 mata (2012) dan 2.27 mata pada tahun ini. (Nilai GPN yang lebih kecil menunjukkan pencapaian lebih baik).

"Ini satu pencapaian yang membanggakan. Saya mengucapkan tahniah kepada semua guru dan pelajar yang telah menunjukkan prestasi yang baik pada tahun ini," katanya ketika mengumumkan analisis keputusan UPSR di sini Khamis.

Abd Ghafar berkata seramai 42,646 calon UPSR tahun ini berjaya memperoleh semua A dalam semua mata pelajaran, peningkatan sebanyak 0.21 peratus berbanding tahun lalu.

Prestasi mata pelajaran Bahasa Melayu (BM) di Sekolah Kebangsaan (SK) meningkat iaitu sebanyak 0.17 mata Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) bagi BM Pemahaman dan 0.03 mata GPMP bagi BM Penulisan berbanding tahun lepas.

Selain itu, beliau berkata mata pelajaran BM di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) turut menunjukkan peningkatan iaitu sebanyak 0.14 mata GPMP (BM Pemahaman) dan 0.19 mata GPMP (BM Penulisan) berbanding tahun lepas.

"Prestasi yang baik dalam mata pelajaran Bahasa Melayu telah menyumbang kepada pencapaian keseluruhan UPSR yang baik pada tahun ini," katanya.

Bagi Bahasa Inggeris (BI) di SK, Abd Ghafar berkata prestasi keseluruhan menurun sebanyak 0.06 mata GPMP berbanding tahun lepas, dengan peratusan calon mendapat Gred A menurun sebanyak 0.2 peratus, Gred ABC menurun sebanyak 2.9 peratus manakala Gred D dan Gred E pula meningkat sebanyak 3.0 peratus berbanding tahun lepas.

Di SJK, katanya prestasi keseluruhan BI meningkat sebanyak 0.12 mata GPMP dan peratusan calon mendapat Gred A dan Gred A,B dan C turut meningkat sebanyak 4.2 peratus dan 2.1 peratus, Gred D meningkat 1.0 peratus dan peratusan calon memperoleh Gred E menurun sebanyak 3.0 peratus berbanding tahun lepas.


- BERNAMA

Tuesday, November 12, 2013

Kenyataan Akhbar: Keputusan UPSR Tahun 2013

Keputusan Peperiksaan UPSR 2013 akan dikeluarkan pada hari Khamis, 14 November 2013.

Pada tahun ini seramai 478,848 orang calon telah mendaftar untuk menduduki UPSR pada tahun ini di 8,268 pusat peperiksaan yang akan dibuka di seluruh negara.

Calon boleh mendapatkan keputusan mereka daripada sekolah masing-masing selepas jam 10.00 pagi pada hari yang sama. Calon juga boleh menggunakan perkhidmatan semakan UPSR 2013 melalui mySMS 15888. Perkhidmatan ini akan diaktifkan bermula jam 10 pagi, 14 November 2013 dan akan ditamatkan pada jam 11.59 malam, 20 November 2013.

Contoh Penghantaran mesej melalui mySMS 
(Klik gambar untuk kelihatan lebih jelas)


- Lembaga Peperiksaan KPM



Wednesday, September 11, 2013

Terengganu Yakin Ulangi Sejarah Negeri Terbaik UPSR 2013

Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) yakin dapat mengembalikan status negeri terbaik dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini.

Pengarahnya Zakaria Husin berkata keyakinan itu berlandaskan komitmen dan persediaan mantap yang dijalankan sebelum calon menduduki peperiksaan itu yang bermula Selasa.

"Kita mensasarkan 20 peratus daripada keseluruhan calon iaitu 22,359 orang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan ini.

"Sebelum ini, kita merupakan negeri yang mencapai keputusan UPSR paling cemerlang selama 11 tahun berturut-turut, namun tahun lepas kita terpaksa akur dengan negeri Kelantan yang mendahului kita," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurutnya pelbagai usaha telah dilaksanakan bagi persediaan UPSR pada tahun ini dan pihaknya sangat berterima kasih atas sokongan kerajaan negeri serta semua pihak terutamanya ibu bapa dalam memastikan calon mendapat keputusan cemerlang.

"Untuk persediaan peperiksaan tahun ini kita memperkenalkan modul pembelajaran yang dipanggil modul 5P2M iaitu Pakej Pentaksiran dan Pecutan Prestasi Pembelajaran Melalui Modular yang mana untuk murid-murid akan mendapat tiga modul satu mata pelajaran yang diambil.

"Modul yang disediakan oleh guru Angkatan Kerja Rajin Mulia (AKRAM) ini mengandungi latihan, ujian formatif dan sumatif, latihan ini berdasarkan pembelajaran dalam kelas," katanya.

Bagi peringkat sekolah, program bimbingan melibatkan semua pelajar diadakan bagi semua sekolah di negeri itu, manakala bagi peringkat daerah, program tutorial melibatkan 20 peratus murid di setiap daerah yang berpotensi untuk mendapat keputusan yang cemerlang dilaksanakan.

"Bagi peringkat negeri pula, kita adakan program yang dipanggil program akademik yang mana seramai 2,500 orang murid yang terbaik di seluruh negeri terlibat dalam 20 siri kem selama 16 jam," katanya.

Zakaria berkata JPNT juga telah mengenal pasti punca kelemahan prestasi UPSR pada tahun lalu iaitu, kelemahan dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris.

"Kita telah mengadakan pelbagai program bagi memastikan mata pelajaran tersebut tidak lagi menjadi subjek yang menjadi penghalang untuk calon mendapat 5A dalam peperiksaan kali ini," katanya.

Tinjauan Bernama ke beberapa sekolah sekitar bandar raya hari ini mendapati surau sekolah dipenuhi ibu bapa yang membaca Al-Quran dan melakukan solat hajat, sebagai usaha akhir meraih kejayaan.

Ada antara ibu bapa yang sanggup mengambil cuti tiga hari untuk membaca Al-Quran dan solat hajat di surau-surau sekolah sementara anak mereka menjawab peperiksaan di dewan peperiksaan.

Salah seorang bapa kepada calon, Mohd Hasyim Sulaiman, 50 berkata beliau sanggup mengambil cuti untuk bersama-sama ibu bapa yang lain membaca Al-Quran di sekolah sementara menunggu anaknya menjawab peperiksaan.

"Segala usaha telah dilaksanakan oleh pihak sekolah dan anak saya, ini sahaja yang dapat saya bantu anak saya dan ini merupakan usaha terakhir saya sebagai seorang bapa yang sangat mengharapkan anak saya mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan ini," katanya.

- BERNAMA

Monday, September 9, 2013

Selamat Menghadapi Peperiksaan UPSR 2013

Segala puji bagi Allah. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a,w, guru yang paling baik dan penunjuk kebenaran kepada jalan ilmu.

Kecemerlangan dalam pelajaran mempunyai kepentingan yang amat besar dalam kehidupan muslimin. Oleh itu, setiap orang daripada kita hendaklah bertanya dirinya: Kenapa aku perlu cemerlang? Dia juga hendaklah bertanya, kenapa aku tidak cemerlang?

Bagi menjawab soalan ini, kita mendengar banyak jawapan yang dikemukakan. Tetapi seorang muslim mempunyai jawapannya yang tersendiri kerana dia memiliki objektif yang mulia:

  • Saya mahu cemerlang kerana Allah: Allah s.w.t berfirman dalam surah al-An‘am ayat 162 yang bermaksud: “Katakanlah: “Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.” Maka seseorang muslim mengetahui bahawa seluruh kehidupannya adalah kerana Allah. Antara kehidupannya ialah pelajaran, ilmu dan kecemerlangannya.
  • Saya mahu cemerlang kerana keluarga dan kedua ibu bapa saya: Antara cara saya berbuat baik kepada kedua ibu bapa saya ialah dengan menggembirakan mereka. Alangkah besarnya kegembiraan dan kebahagiaan mereka jika saya cemerlang dan berjaya.
  • Saya mahu cemerlang kerana diri saya sendiri: Setiap muslim mempunyai matlamat dalam kehidupannya. Jika dia mempunyai matlamat dan cita-cita yang tinggi, maka matlamat dan cita-citanya itu tidak akan tercapai melainkan dengan kecemerlangan.
  •  Saya mahu cemerlang kerana ingin mengembalikan keagungan Islam: Keagungan Islam dahulu adalah melalui ilmu dan para ulama. Keagungan ini tidak akan datang kembali melainkan melalui para ulama yang benar, beriman dan ikhlas mempelajari dan mendalami dalam pelbagai bidang yang bermanfaat.

Selamat menduduki peperiksaan UPSR pada 10 hingga 12 September 2013, setelah berusaha dan berdoa, segalanya terserah kepada Qadar dan Qadha Allah s.w.t. Semoga kejayaan bersama kalian. InsyaAllah.

Penafian: Pihak admin tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan dan kerosakan yang dialami semasa/selepas melayari blog ini atau menggunakan sebarang maklumat dari dalam blog ini. Komen-komen yang dikirimkan diblog ini juga adalah menjadi tanggungjawab pengirim itu sendiri. Terima kasih.

ENGLAND PREMIER LEAGUE

 
Please use Google Chrome to get the best view with 1280 x 800 resolution and above | Thanks for visiting cgazmi.blogspot.com | Bloggerized by Cg Azmi