Showing posts with label Renungan. Show all posts
Showing posts with label Renungan. Show all posts

Thursday, November 24, 2022

INDAHNYA PERPADUAN

 'Mereka mungkin jiran terbaik di dunia'

Berkongsi makanan halal, sanggup menunggu sehingga selesai solat Maghrib untuk keluar makan bersama dan tidak pernah lokek menghulur bantuan.

 

Itu keprihatinan ditunjukkan suami isteri berbangsa Cina tinggal di Taman Tehel Impian, Bemban di sini yang membuatkan jirannya berbangsa Melayu berasa 'istimewa' biarpun berbeza agama dan bangsa.

 

Hubungan akrab Gan Tiong Guey, 43, dan isterinya, Goh Pei Chen, 40, dengan Noor Faiezah Mohd Ali, 31, dan suami, Nur Shahariz Abdul Rais, 31 diibaratkan seperti aur dengan tebing apabila mereka menjalani kehidupan berjiran dengan muafakat dan saling membantu.

 

Noor Faiezah berkata, hubungan erat itu terjalin sejak hampir dua tahun lalu dan mereka selalu membantu satu sama lain, keluar makan dan bercuti bersama.

 

Malah katanya, keluarga sahabat baiknya itu juga pernah mengikutnya pulang ke kampung di Kota Tinggi, Johor untuk merasai suasana kampung.

 

"Hubungan baik ini terjalin selepas Tiong Guey membantu menyelesaikan kerja mengubahsuai dan pemasangan jubin di tempat parkir kereta yang ditinggalkan kontraktor lama biarpun sudah selesai membuat pembayaran.

 

"Ketika itu kami terkilan melihat hasil kerja tukang lama yang tidak kemas dan ada yang tidak betul. Tiong Guey kemudiannya dan menawarkan bantuan untuk menyelesaikan kerja yang masih berbaki kira-kira 20 peratus itu.

 

"Apabila kami mahu membayar upah kerjanya, Tiong Guey tidak mahu dan cakap dia mahu membantu saja sebab kami jirannya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

 

Ibu kepada seorang anak itu berkata, dia terharu dengan bantuan itu biarpun ketika itu mereka tidak saling mengenali kerana pasangan terbabit baru berpindah ke kawasan perumahan itu.

 

Katanya, kejiranan berkenaan berbilang kaum dan semua penduduknya hidup harmoni dan bermuafakat serta saling bertegur sapa.

 

"Tiong Guey dan isterinya, Pei Chen selalu ajak kami makan bersama dan dia selalu periksa dulu kalau restoran itu ada sijil halal kerana katanya dia bawa kawan Muslim.

 

"Kalau dia yang ajak pergi makan, mesti dia akan tunggu kami sehingga selesai solat Maghrib dan kami menaiki keretanya. Dia faham orang Muslim perlu solat dulu.

 

"Jika suami bekerja di luar kawasan, mereka akan membantu dan tengokkan kami dan selalu cakap kita hidup berjiran sudah seperti keluarga perlu saling bantu-membantu," katanya yang berniaga aiskrim.

 

Noor Faiezah berkata, dia tidak menyangka bermula dengan bantuan itu (pasang jubin), membuka ruang untuk dua keluarga menjalin hubungan erat seperti keluarga biarpun berbeza agama dan bangsa.

 

"Mereka melayan kami dengan baik dan itu buat saya rasa 'special' terutama apabila dia sangat bersungguh-sungguh memastikan restoran yang kami singgah itu halal. Saya sudah menganggap mereka seperti abang dan kakak sendiri," katanya

 

Sementara itu, Pei Chen berkata, mereka tidak menganggap agama dan bangsa sebagai pengukur untuk menjalinkan persahabatan kerana apa yang diutamakan adalah saling hormat menghormati dan budi yang baik.

 

Katanya, setiap kaum perlu ada sikap hormat menghormati dan menjaga sensitiviti agama masing-masing supaya dapat hidup harmoni.

 

"Setiap hari saya berjumpa dengan Noor Faiezah kerana rumahnya di hadapan rumah saya saja dan menyukainya sebab dia baik serta peramah.

 

"Setiap kali jumpa kedai makan yang sedap, kami mesti ajak mereka tetapi pastikan ia halal dulu kerana mereka Muslim," katanya sambil memberitahu suaminya berkerja sebagai kontraktor membina rumah.

 

Terdahulu, video mengenai hubungan baik dua keluarga yang bersahabat baik itu mendapat perhatian netizen apabila dikongsikan Noor Faiezah di akaun TikToknya.

 

 

 

Sumber: https://www.hmetro.com.my

Disiarkan pada: November 23, 2022 @ 7:09pm



Sunday, April 12, 2020

Kisah Wanita Bekerja Di Kilang Daging

Suatu hari, semasa dia hendak menyelesaikan tugasan harian, dia masuk ke bilik daging sejuk beku untuk memeriksa baki stok bekalan daging, akan tetapi nasib nya tidak baik, tiba-tiba pintu bilik sejuk itu tertutup dan dia terkunci dari dalam tanpa apa-apa alat untuk membantunya.

Dia berusaha menolak pintu bilik sejuk namun tidak berganjak, pintu setebal 10 inci itu terlalu utuh baginya. Walaupun dia menjerit dan mengetuk pintu sekuat hati, tiada seorang pun yang dapat mendengarnya. Dia mulai panik. Kebanyakan pekerja sudah lama pulang, dan adalah mustahil untuk mendengar apa-apa di dalam bilik sejuk pada kawasan di luar bilik sejuk.

Satu jam berlalu dia mencari apa-apa alat yang dapat membantunya keluar namun sia-sia, dalam bilik itu hanya terdapat daging semata-mata, badannya semakin lemah kerana kesejukan.

Tiga jam kemudian dia semakin hampa, badannya semakin lemah dan suhu badannya turun mendadak. Muka semakin pucat, tangan menggeletar nak berdiri pun tak mampu.

Lima jam kemudian, dia mula berfikir akan mati kesejukan dalam bilik sejuk itu, air matanya menitis memikirkan nasibnya, adakah begini cara kematiannya? Nafasnya mula tercungap-cungap, sedang dia dalam helaan nafas kematian, tiba-tiba tuppp.....terdengar pintu bilik terbuka, seorang security guard di kilang tersebut membuka pintu bilik sejuk itu. Nasib nya baik kerana dia terselamat dari kematian pada hari itu.

Pak guard terkejut melihat wanita itu terbaring kaku kesejukan, lantas membawanya keluar dan menyelimutinya.

Beberapa ketika, setelah itu, perempuan itu pun bertanya pada pak guard itu bagaimana dia boleh membuka pintu bilik sejuk itu walaupun ia bukan rutin pekerjaan hariannya.

Pakcik itu menjawab : "Saya telah bekerja di kilang ini selama 35 tahun, dan terdapat ratusan pekerja keluar dan masuk setiap hari, tetapi kamu adalah segelintir yang akan menyapa saya pada sebelah pagi dan akan menyapa selamat tinggal kepada saya pada sebelah malam setiap hari kamu meninggalkan kerja. Kebanyakan dari mereka melayan saya seperti saya tidak pernah wujud.

Hari ini, sebagaimana kamu bila masuk ke kerja dan juga hari-hari sebelumnya menyapa saya dengan sapaan ringkas "Assalamualaikum". Tetapi malam ini selepas waktu kerja, saya berasa pelik kerana saya tidak mendengar sapaan "Bye. Jumpa lagi esok". Jadi, saya merasakan saya perlu check di sekitar kilang.

Setiap hari saya akan mengharap sapaan "salam" dan "bye" dari kamu kerana kamu mengingatkan bahawa saya masih seorang insan dan saya masih rasa dihargai oleh seseorang. Dengan tidak mendengar ucapan selamat tinggal hari ini, saya dapat mengagak mungkin ada sesuatu yang telah terjadi.

Sebab itu, saya mencari kamu di merata tempat. Syukurlah Allah telah menggerakkan hati saya untuk memeriksa bilik sejuk itu, sebab saya pernah melihat kamu di situ, dan saya bertindak dengan naluri yang Allah cetuskan, kalau ikutkan logik memang tidak masuk akal, tambah lagi tengah malam begini.

Wanita itu sujud syukur kerana Allah masih meminjamkn nyawa padanya.

Pengajaran untuk diri:
Jadilah seorang yang merendah diri, penyayang dan hormat pada setiap individu di sekeliling. Cubalah untuk memberi kesan kepada setiap orang yang melalui perjalanan hidup dengan anda, kerana anda tidak tahu apa akan terjadi di masa depan. Biarlah cerita ini menjadi satu inspirasi. Tak hilang bisa ular yg menyusuri akar!!!




Tuesday, July 30, 2019

APA ITU SABAR?

Apa itu SABAR?

Okay. Sabar tu ialah....

Ia hanya perkataan yang ringkas yang memberi impak yang besar pada diri manusia. Sifat ini berjaya "memandu" tindakan manusia dalam kehidupan seharian..

Nak tahu tak apa bukti orang yang ada sifat sabar ni?

Okay.

Bayangkan, seorang guru mampu terus menjadi guru walaupun berhadapan dengan berbagai karenah pelajar.

Ibubapa, mampu besarkan anak-anak yang ramai.. Walaupun masa kecil, anak-anak sangat nakal dan tak dengar cakap ibubapa mereka.. Allahu.

Dengan sifat sabar juga, hubungan persahabatan terus berkekalan walaupun kita selalu diuji dengan sikap kawan yang membuat kita sakit hati.

Dengan sabar, ramai manusia mampu berjaya menjadi orang hebat kerana berjaya lalui pelbagai kesusahan ketika menuntut ilmu.

OK,

Cuba bayangkan kalau sifat sabar ni dah langsung takde dalam diri manusia, apa akan jadi? Persoalannya bagaimana??

:-) Tanpa sifat sabar, bilangan guru pasti akan berkurangan betul tak?

Sebab ramai tak sanggup jadi cikgu terpaksa melayan pelbagai ragam anak murid mereka.

Anak-anak kecil juga pasti akan terbiar kerana kurangnya kasih sayang ibubapa yang takde sifat sabar.

Persahabatan? Hubungan persahabatan juga pasti akan porak peranda kerana dah takde kawan yang mampu bersabar dgn sikap kita.

P/s : Hargailah sahabat anda sebelum mereka meninggalkan kita. Bimbinglah sahabat ke jalan Allah. Sekiranya sahabat anda berada di neraka tarik mereka. Tarik mereka supaya sama-sama masuk syurga

Kalau takde sifat sabar juga, pasti tiada orang yang lebih hebat, sebab tak sanggup menghadapi kesukaran ketika kita belajar.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud :-

"Maka bersabarlah ( Wahai Muhammad terhadap ejekan yang kafir itu ) , dengan cara kesabaran yang sebaik-baiknya. (Surah Al Ma'arij ayat 5)

Ayat yang sering kita lempar bila sedih atau marah ia juga boleh memberikan motivasi pada kita. Memang, kita rasa sabar ini sesuatu yang sangat perit hingga kadang-kadang tu kita asyik mengeluh " asyik sabarrrr jeeee, penat lahhh !! " .

Tahu tak kamu semua, apabila kita bersabar, kita dianugerahkan rasa yang tak semua dapat rasa, iaitu ketenangan. Percayalah, dengan adanya sifat sabar dalam keadaan tak sedar, kita telah selamatkan banyak hubungan persahabatan daripada terputus, dengan sifat sabar kita boleh hidup aman damai sehingga sekarang dan dengan sifat sabar ni juga kita menjadi seorang yang matang dan lebih dewasa. Nampak tak? Betapa besarnya impak sabar dalam kehidupan kita kan?


- facebook ustaz

Friday, November 16, 2018

Jauhi Dari Fitnah

Saya terbaca kisah seseorang yang memfitnah, lalu dia menyesal dan bertemu dengan orang tersebut dan ingin memohon maaf.

Lalu orang kena fitnah itu berkata... "dengan syarat, esok kamu datanglah ke rumahku dan bawalah penyapu bulu ayam".

"Dalam perjalananmu datang itu, kamu cabutlah bulu-bulu ayam itu sampai habis". Si Fitnah itu merasa pelik untuk apa perbuatan itu tapi tetap melakukannya kerana niat ingin memohon maaf. Lalu dia melakukannya hingga sampai ke rumah orang yang dia fitnah tersebut.

"Wahai tuan….aku telah buat seperti yang tuan suruh. Hanya tinggal rotan saja, bulu-bulu ayam itu aku cabut dan buang sepanjang perjalanan datang tadi. Apakah tuan telah memaafkan saya?"

Orang yang kena fitnah itu berkata..."nanti bila kamu balik...kutip kembali bulu-bulu ayam yang kamu buang tadi dan bawa pada ku esok". Si Fitnah itu bertambah pelik. Tadi suruh buang, kini suruh diambil kembali. Tapi kerana ingin memohon maaf lalu dia melakukannya.

Keesokan hari dia berjumpa dengan orang yang kena fitnah itu. "Tuan...saya hanya mampu kutip 2..3 helai saja daripada banyak yang aku telah buang. Semua telah di terbangkan angin entah ke mana".

Lalu orang yang kena fitnah itu berkata.... "BEGITULAH DENGAN FITNAH yang kamu lakukan pada ku. Orang yang mendengar akan menyebarkan hingga ia sampai entah kemana. Jika kamu ingin menarik kembali kamu tidak akan berdaya...ia tersebar dan terus tersebar".

"Aku maafkan kamu. Bertaubatlah...lakukanlah apa yang harus kamu lakukan.
Nah.... itulah DOSA JARIAH ....dosa fitnah terus berjalan disaat ia tersebar dan tersebar. Hingga tunggulah bala dunia atau azab akhirat yang akan menimpa".

Pada si pelaku... USAHALAH... temuilah orang-orang yang kau sebarkan fitnah untuk membetulkan kembali maruah orang yang difitnah.

Wallahua’lam...renungkanlah sebelum ajal datang menjemput, bertaubatlah sebelum kamu meninnggal..ingat siksa neraka..kalau ALLAH tak balas balasan kamu di dunia, di akhirat pasti ada balasanya.

Friday, August 5, 2016

PdP Menyeronokan dan Menarik Untuk Memberi Pengajaran Berguna


Setiap guru pasti ada cara tersendiri untuk mengajar murid-muridnya, pelbagai gaya pembelajaran digunakan sehinggakan ada yang sanggup mengorbankan wang sendiri membuat 'prop' untuk dibawa ke sekolah demi menarik minat muridnya untuk belajar.

Bagi seorang guru sejarah bernama Rysherz Rayn, beliau mempunyai cara tersendiri mengajar anak muridnya disamping mempunyai pengajaran dari pembelajarannya yang cukup berguna kepada anak-anak muridnya, sesuai dengan subjek Sejarah yang mengajar kita kenal erti jati diri dan semangat patriotism. Mari kita sama-sama mengambil manafaat dari cara PdP yang disampaikannya;


Kelas sejarah saya hari ini mudah. (Tapi nak mengolahnya jadi karangan yang payah). Cerita ini panjang. Kalau nak tahu, baca. Tak nak pun tak apa.

Hari ini saya buat kuiz dengan pelajar tingkatan 1UKM di dataran. Saya tanya soalan2 berkaitan bab yang dipelajari, siapa angkat tangan dulu dia boleh cuba jawab. Kalau jawapan dia tepat, dia boleh langkah satu step ke depan. Tapi kalau jawapan dia salah, dia perlu undur satu step ke belakang.

Lebih banyak soalan yang berjaya dijawab, makin majulah pelajar itu ke depan. Kalau asek salah je, makin mengundur lah dia ke belakang. Atau kalau takut nak ambil risiko sangat, play safe, maka kekallah mereka di garisan yang sama sampai habis masa.

Dan di hari ini, pelajar dapat lebih dari sekadar siapa bendahara Melaka yang terbilang? Atau di tahun bila Portugis mula menyerang?

Hari ini mereka dapat merasa secubit asam garam kehidupan.

*****

"Tak aci lah teacher ni, asek orang yang sama je dapat jawab!"

Well, kalau dah orang yang sama je yang berani sahut peluang, orang yang sama je lah yang akan mendapat keuntungan. Hidup ni macamtu jugak. Peluang depan mata tapi ditengokkan saja, memang tak dapat apa2.

*****

"Kami bukan tak tau jawapan, teacher. Tapi tak sempat nak jawab, orang lain dah jawab dulu."

Hidup ni memang macamtu. Siapa yang lambat / melembik / lemah gemalai bagai memang susah nak kejar peluang. Semua benda kat zaman ni kena pantas. Kena cepat. Kena segera. Sampul raya kat bank pun habis kalau datang last2 minit! Kita kena alert!

*****

"Tapi mana aci teacher. Saya ni at least try jugak. Aleh2 dok belakang. Lagi belakang dari orang yang tak try. Aduhai.. baik takyah jawab!"

Siapa suruh angkat tangan tapi tak betul2 tahu jawapan? Main bedal je jawab. Padan muka! Macamtu jugak dengan hidup.

Dah nama pun peluang. Mestilah ada risiko. Setiap risiko yang kita ambil tapi gagal, kita akan jatuh lebih teruk dari asal. Kerja kalau semberono, tak study dulu, pakai buat asal siap, memang melingkup. Orang nak bisnes, awak nak bisnes. Orang nak kawin awak nak kawin. Orang bukak butik awak bukak butik. Orang main saham awak pun sibuk main saham. Tapi tak bersedia, tak prepare. Last2 hutang keliling pinggang. Hidup dari senang jadi tak senang.

Ambil peluang yang ada. Gapai. Capai. Do it. But do it wisely!

Ingat, hidup ni memang tak adil. Sebab kadang2 orang pengecut survive lama. Tapi kekal kat level tu je lah sampai bila2.

*****

"Teacher makin ke depan-ke depan, kami yang belakang ni tak boleh nak dengar sangat soalan teacher. Sebab tu orang depan je dapat jawab."

That's what I called 'privilege'. Kelebihan. Makin kita berjaya dalam hidup, makin banyak kelebihan yang kita dapat. Dan dengan kelebihan tu lah, orang kaya, orang pandai, orang femes akan terus kaya, pandai dan femes. Dan yang mundur akan terus mundur sebab makin lama makin luas jarak dia dengan sumber dan peluang yang jauuuuuuhhh nun di depan.

*****

"Teacher, kami tak boleh borak dah sebab dia kat depan sana!" buat muka sedih sambil tunjuk rakan yang berada di depan.

To be honest. berapa banyak dalam hidup ni contoh hubungan yang mula-mula akrab lepastu sepi? Berapa banyak kawan yang dah tak jadi kawan sebab perbezaan status dan ekonomi?

*****
Welcome to a real life gambling, my dear!



- RR
  Kuala Kurau

Monday, May 16, 2016

Berkurangnya Nilai-Nilai Murni Dalam Kehidupan Kita


Amalan hormat menghormati adalah satu perkara yang harus kita amalkan dalam kehidupan harian kita, lebih-lebih lagi bila bercampur dengan masyarakat.

Seperti di dalam pengankutan awam, selalu kita dengar dan baca di media sosial kisah pengajaran atau kempen mengenai budaya hormat menghormati di dalam pengankutan awam.

Utamakan mereka yang lebih memerlukan, tetapi rupanya rakyat Malaysia masih sedikit mempunyai kesedaran dalam hal ini.

Dikisahkan sebuah cerita oleh seorang pengguna Facebook bernama  Muhamad Safwan MY tentang seorang lelaki warga tua yang tidak dipedulikan orang ramai semasa menaiki LRT;

Semalam, saya ada mesyuarat dengan pihak Petrosains di Menara Kembar Petronas(KLCC). Saya telah bertolak kira-kira jam 8.30 pagi, meredah jalan yang mempunyai pelbagai ragam pemandu, sambil mendengr berita pagi dengan penuh perhatian sambil melayan muzik di aplikasi Spotify.

Saya ambil keputusan untuk naik LRT dari Bandar Puteri Puchong untuk ke KLCC, bermakna saya perlu tukar ke RapidKL dari Puchong, transit di Sri Petaling di Star LRT dan transit yang seterusnya di Masjid Jamek ke KLCC.

Seperti biasa, tren akan dipenuhi dengan ratusan penumpang yang duduk, berdiri dan memegang palang besi untuk untuk mengelakkan mereka jatuh.

Bila sampai di stesen Bukit Jalil, seorang wanita mengandung masuk dan saya terus menawarkan tempat duduk kepadanya kerana tiada lagi tempat duduk yang kosong. Saya sumbat earphone ke telinga untuk layan lagu.

Apabila tiba di stesen LRT Sungai besi, lebih ramai penumpang mulai amsuk ke gerabak kami termasuklah seorang pak cik tua.

Dia kelihatan memakai kain batik lama yang agak lusuh, seluar panjang dan memakai sepasang selipar itu melangkah masuk dengan perasaan dan wajah yang amat hampa sekali.

Saya memangdang kiri dan kanak untuk mencari tempat duduk kosong, tetapi malangnya tiada tempat duduk yang kosong.

Lelaki berkenaan dilihat  berdiri di sana sambil memegang tiang besi di tengah gerabak, saya hanya senyum dan menyambung membaca berita di telefon.

Sebaik tiba di stesen Chearas, Seorang penumpang lelaki muda berdiri untuk turun dan meninggalkan tempat duduk itu kosong.

Saya segera menghalang seorang lelaki lain yang cuba mahu merebut kerusi itu dan menawarkannya kepada pakcik tua tadi dan kemudian berlaku sesuatu di luar jangkaan.
"Uncle, mari duduk di sini. You sudah lama berdiri,"

"Tak perlu. Saya 60 tahun dan masih kuat untuk kelihatan bodoh memegang tiang besi ini sementara generasi muda kita sedang duduk dengan selesa sambil mendengar muzik mereka.

"Mentaliti apa yang orang muda sekarang pakai? Tiada seorang pun yang menawarkan tempat duduk pada saya hanya kerana saya kelihatan buruk atau kerana saya lelaki tua, bukannya wanita tua?

"I dulu kerja askar menjaga negara tapi sekarang saya sedih tengok orang Malaysia langsung takde hati perut mahu offer a seat. Bukan mahu minta simpati, tapi bagilah empati sikit. Saya bukan orang bodoh. Saya memang perhatikan je semua orang, Selepas tiga stesen, masih tiada yang mahu menawarkan saya tempat duduk. Tak apalah nak, pakcik masih boleh berdiri lagi. Ini tazkirah pagi untuk semua orang dalam gerabak ini. Saya akan keluar di stesen seterusnya," katanya.

Luahan berkenaan membuakan orang ramai di dalam gerabak berkenaan menoleh ke arahnya, ada antara mereka rasa bersalah telah mula berdiri dan menawarkan tempat duduk itu kepada dua wanita berusia yang telah berdiri sekian lama. Yang selebihnya hanya memandang kami.

Saya ingatkan, saya sudah menunjukkan contoh kepada mereka dengan membantu menawarkan tempat duduk saya kepada wanita hamil. Saya ingatkan dengan melaksanakan tanggungjawab sosial itu boleh memberikan contoh kepada yang lain agar melakukan perkara yang sama terhadap golongan yang berusia pakcik dan makcik berusia 60 tahun.

Saya ingat saya sudah melakukan perkara yang betul namun saya gagal untuk menyedarkan orang lain ke arah lebih positif dan gagal menyuarakan perkara yang betul.

Saya percaya kebanyakan daripada kita menilainya terlalu awal. Hakikatnya dia seorang lelaki Melayu yang cukup prihatin untuk meneliti trend dan sikap dalam masyarakat kita sendiri.

Pakcik itu telah mengajar saya satu pengajaran yang bermakna iaitu salah tetap salah walaupun semua orang melakukannya dan benar tetap benar walaupun tiada sesiapa yang melakukannya.

Jika anda anda seorang yang prihatin dan menjunjung tinggi nilai-nilai murni, marilah kita membantu seberapa ramai orang yang mungkin. Bersama-sama kita mewujudkan kesedaran dan mendidik orang ramai mengenai pentingnya mempunyai secubit rasa empati dan rasa ingin membantu orang lain.




- Siakapkeli.my

Friday, March 18, 2016

Renungan – Kenapa Cepat Marah?

Mari kita bermuhasabah diri, kenapa kita cepat marah atau cepat naik darah atau baran? Sebelum mendidik hati supaya tidak cepat marah, kita perlu tahu puncanya supaya mudah ditangani atau dirawat.

Di antara punca cepat marah yang biasa ialah:

1. Tidak dapat mengawal emosi
Orang yang cepat marah adalah orang yang tidak dapat mengawal emosi dan membiarkan perasaan marah menguasai dirinya. Orang yang cepat marah mudah diperbodoh-bodohkan atau dimain-mainkan oleh orang lain, iaitu dengan tidak keruan dan tidak lagi berfikir panjang.

2. Kurang sabar
Hati yang kurang sabar selalu cepat saja melenting apabila berhadapan dengan kata-kata atau tindakan-tindakan pihak lain mencabar kesabarannya. Oleh itu, perlulah dilatih hati supaya lebih bersabar dan berfikir berulang-ulang kali sebelum mengeluarkan kata-kata kesat bagi memuaskan hati yang sedang marah.

Orang yang kurang sabar mengidap sesuatu penyakit yang kronik atau orang yang kemahuan/kehendak yang tidak kesampaian juga boleh menyebabkan seseorang itu cepat marah atau baran.

3. Ego, bangga diri, riak dan merasa diri lebih hebat daripada orang lain
Orang yang cepat marah juga disebabkan oleh ego. Orang ini akan rasa tercabar apabila dipersenda-sendakan. Ia akan rasa kalah dan tidak dihormati. Orang yang mempunyai sifat-sifat ego, bangga diri dan riak merasa dirinya lebih hebat daripada orang lain. Oleh itu, ia akan cepat marah sebab ia tidak mahu dipandang rendah, benci apabila tidak dihormati, merasa terhina apabila terjumpa orang yang lebih hebat daripadanya. Marah sebegini biasanya wujud dalam bentuk emosi tidak puas hati.

4. Berfikiran negatif
Orang yang berfikiran negatif ialah orang yang memandang buruk terhadap sesuatu, bersangka buruk pada orang lain serta bertanggapan buruk terhadap apa jua perkara. Orang seperti ini cepat marah kerana dihatinya tidak wujud istilah maaf. Ia tidak mahu memberi maaf dan malu untuk meminta maaf kerana merasa ia saja yang betul, walaupun kadang-kadang dalam hati kecilnya mengaku akan kelemahan diri, tapi disebabkan ego diri atau takut maruah tercabar, ia tiak akan minta maaf walaupun berada di pihak yang salah.

5. Berdendam
Jika seseorang itu masih menyimpan perasaan dendam atau irihati kepada seseorang lain, ia akan cepat naik darah atau marah walaupun hanya disebabkan oleh kesilapan yang sedikit, yang pada mata kasar boleh dimaafkan saja.

Waallahuaklam



- sitik.wordpress

Tuesday, September 1, 2015

Berfikir dan Bertindak

Dalam kehidupan harian berfikir dan bertindak merupakan amalan yang berkait rapat dengan ciri peribadi dan kejayaan dalam hidup apatah lagi dalam konteks kepimpinan dan pengurusan. Amalan berfikir dan bertindak mempengaruhi peribadi seseorang. Orang yang berfikir sebelum bertindak berkemungkinan besar berjaya. Namun nilai fikir dan bila masa perlu atau boleh bertindak selepas berfikir juga menyumbang kejayaan tindakan.

Ada orang bertindak tanpa atau kurang berfikir. Tindakan seperti ini dipanggil melulu, terburu-buru atau sembrono. Tindakan seperti ini juga dikatakan tindakan orang tidak bijak, tidak matang, keanak-anakan malah boleh dikatakan tidak siuman, Bertindak yang saya maksudkan boleh jadi dalam bentuk lisan, tulisan dan perbuatan. Orang sedemikian juga sering kali mudah terlajak-laku, kata atau bicara. Dikatakan terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata rosak binasa. Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan merana. Apakah fenomena seperti ini semestinya benar dalam konteks pengurusan dan kepimpinan moden?

Orang yang bertindak tanpa berfikir atau singkat fikiranya tidak semestinya salah hasilnya, Namun apakah yang memandu atau mendorongnya melakukan tindakan itu? Bolehkah misalnya tangan atau mulut melakukan sesuatu tanpa didahului otak yang berfikir sekurang-kurangnya mencetus idea jikapun tidak menimbang baik dan buruk apa yang hendak dilakukan? Jawapannya boleh kerana selain akal manusia dibekalkan nafsu, perasaan, kepercayaan (iman), tindakan pantulan (refleks), ilham, nurani dan kemuliaan seperti karomah dan wahyu (bagi para Nabi).

Bagaimana kita boleh menjelaskan keadaan dimana seorang yang boleh dengan pantas menjawab persoalan atau menyelesai masalah atau mengambil keputusan yang sukar seolah-olah orang itu bertindak tanpa berfikir atau berfikiran singkat. Sebenarnya orang itu mungkin telah berfikir tetapi mengambil masa yang singkat atau pantas sepantas kilat sebelum bertindak. Hal ini kerana akal dijadikan Tuhan daripada nur atau cahaya yang kelajuannya bergerak ialah 3.8 kali sepuluh kuasa sembilan meter sesaat. Orang yang mampu berfikir dan bertindak dengan pantas sebenarnya bukan sahaja telah melalui pendidikan, latihan, amalan atau pengalaman yang panjang tetapi mengguna segenap potensi, pancaindera dan bantuan yang diperoleh.

Mengikut Mintzberg (1973) dalam the nature of managerial work, ada tiga cara orang membuat keputusan untuk bertindak. Pertama, lihat dahulu sama ada dengan pandangan mata atau pandangan hati yang dipanggil ‘insight’. Bergantung kepada maklumat luaran, pengalaman atau gerak hati masa diambil sebelum bertindak berubah-ubah. Cara membuat keputusan seperti ini dipanggil induktif.

Kedua, berfikir dahulu menggunakan otak atau akal fikiran. Proses yang berlaku dalam kotak fikiran atau fakulti akal ialah diagnose, design, deside and do. Orang itu memerlukan maklumat seperti fakta, data, statistik, teori, dasar dan peraturan untuk dijadikan panduan membuat diagnosis, mereka bentuk keputusan sebelum membuat keputusan dan bertindak. Kaedah ini dipanggil membuat keputusan secara deduktif.

Ketiga, buat atau bertindak dahulu kemudian baru lihat atau fikir akan kesan atau akibatnya. Pastinya kesan atau akibatnya juga bergantung kepada pengetahuan dan kemahiran sedia ada serta pengalaman dalam bidang yang berkaitan. Selalunya orang seperti ini tidak takut membuat kesilapan tetapi belajar daripada kesilapan dia memperbaikinya untuk membuat yang lain sehingga berjaya. Kaedah bertindak seperti ini dipanggil iteratif.

Townsend menyarankan pemimpin yang berjaya yang tidak boleh atau sukar dipertikai keputusanya melangkaui alasan munasabah adalah pemimpin yang boleh mengguna lima tenaga dalaman iaitu nilai (values), fikiran (thought), emosi, perhubungan (relationship) dan perubahan (transformation).

Untuk mengambil jalan pertengahan marilah kita berfikir sebelum membuat keputusan untuk bertindak supaya orang tidak tertunggu-tunggu keputusan kita atau sebelum tindakan ditinggal masa. Sebaliknya janganlah pula terburu-buru apabila mengambil tindakan ditakuti tersalah langkah atau tindakan kita separuh masak. Banyak panduan ke arah ini boleh dibaca dan dipelajari.



- drjamiladimin

Tuesday, August 25, 2015

Renungan: Berhati-hati Menerima Pandangan


Seekor arnab melihat gagak yang sedang bersenang lenang hinggap di dahan pokok sambil berbunyi bising tanpa haluan. Timbul rasa iri hati, arnab bertanya gagak sama ada boleh atau tidak dia duduk bersenang-senang di bawah dahan pokok tempat gagak hinggap.

Tanpa banyak soal gagak membolehkan arnab berbuat apa yang dia suka. Gagak sememangnya tiada apa-apa kepentingan terhadap arnab. Dia tidak kisah apapun akan terjadi kepada arnab,

Maka arnab pun duduklah bersenang lenang di bawah pokok itu tanpa berbuat apa-apa sehingga tidak menyedari kehadiran pemburu yang sememangnya datang secara perlahan. Gagak yang duduk di tempat tinggi menyedari kehadiran pemburu segera pergi tanpa mengendahkan keselamatan arnab yang akhirnya menjadi habuan pemburu.

Nasib arnab lebih kurang sama dengan nasib ayam belanda yang merasakan dirinya rendah kerana tidak boleh terbang dan hinggap di pohon yang tinggi. Dia mengadu nasib kepada lembu. Lembu memberi nasihat agar ayam belanda itu makan najisnya yang banyak khasiat.

Ayam belanda mengambil nasihat lembu menyebabkan dia mendapat kekuatan setelah hari demi hari makan najis lembu sehingga dia boleh memanjat pokok dari dahan yang rendah ke dahan paling tinggi. Apabila sampai ke dahan paling tinggi dia berasa seronok tetapi tidak lama kerana pemburu dengan mudah menembaknya jatuh untuk dijadikan hidangan.

- Cerita dikutip dan ubahsuai dari buku The 360 degree Leader oleh John Maxwell

Friday, May 15, 2015

Khutbah Tegur Sikap Salahkah Guru


Khutbah Jumaat di Selangor hari ini menyeru supaya ibu bapa tidak menyalahkan guru sekiranya terdapat masalah yang berlaku ke atas pelajar.

Sempena Hari Guru, mimbar mengatakan, pada masa kini sikap berterima kasih kepada guru semakin berkurangan dan segelintir ibu bapa pula suka menuding jari kepada guru.

Sikap itu boleh membantutkan peranan sebenar guru dalam mendidik pelajar, menurut teks khutbah Jumaat Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) hari ini.

"Sikap ini boleh membantutkan peranan sebenar guru dalam mendidik dan menyemat keperibadian unggul para pelajar.

“Ibu bapa sewajarnya berperanan membimbing anak-anak, agar lebih menghormati seorang insan yang bernama guru, bahkan menghormati siapa sahaja yang berada di sekeliling mereka.

"Kerana dengan penghormatan tersebut, akan lebih berkatlah ilmu yang diperolehinya," menurut teks khutbah itu.

Sambutan hari guru tahun ini jatuh pada 16 Mei (esok). Pada tahun ini, tema hari guru ialah "Membina Ilmu Menyempurnakan Akhlak".


Friday, December 19, 2014

Monday, December 1, 2014

Kisah Sedih Disebalik Keputusan UPSR

Mari kita sama-sama membaca kisah ini, Bacalah walaupun panjang kerana cerita ini pasti menyentuh hati anda. Semoga kisah ini menjadi pembakar semangat buat anak-anak yang akan mengambil UPSR ditahun yang mendatang;

Ayub bin Mohadjar, anak orang kampung sahaja. Adik beradiknya sangat ramai. Pernah dahulu saya mengajar abangnya Syuaib dan tahun lalu kakaknya Siti Khadijah.

Ayub mempunyai dua lagi adiknya di Tahun 5, 3 dan 2. Masih ada kakak yang bersekolah di sekolah menengah harian. Bermakna tujuh kesemuanya.

Ayahnya bekerja kampung sahaja; sesekali saya melihat abangnya Syuaib atau Ayub membantu ayahnya di kampungnya. Rumah yang didirikan tanpa cat yang indah dan berhias. Tahun lalu, rumah mereka antara yang dipukul ribut.

Allah mentakdirkan waktu itu saya masuk ke rumah bersama suri saya, anak lelaki saya dan sahabat saya pensyarah di IPG Puan Umaimah Mohd Idris. Kami memberikan bantuan sedaya yang mampu.

Hati saya pilu dan sebak melihat pingat kebanggaan yang dicapai di sekolah digantung tepi almari rak yang usang, begitu juga itulah sahaja rak yang menempatkan semua buku dan alatan tulis.

Masih ingat lagi, senarai barangan Hari Raya yang belum dibeli yang saya nampak di atas meja untuk setiap adik -beradiknya. (Yes, i cried )

Lawatan sekolah ke Seremban menaiki komuter dan ETS baru-baru ini sebetulnya dibayar sepenuhnya oleh seorang guru (diminta untuk dirahsiakan) kerana pada awalnya dia sudah berkata dia tidak mampu untuk pergi berhibur walau sekali dalam hidupnya. Bukan keperluan mengikut kata keluarganya.

Ayub; saya sifatkan seorang anak yang pemalu, sekadar ‘pengikut – follower’, tidak tahu apa yang dimahukannya. Periang dan potensi diri belum diluahkan lagi.

Sepanjang tahun sekadar paling kuat 2A atau 1A. Saya sentiasa menitipkan nasihat di telinganya. Malah, leteran itu sentiasa dan acap kali tanpa jemu. Tanggungjawab saya.

“Ayub, ingatlah , emak ayah bukan orang senang”
“Ayub, kurangkan main”
“Ayub, kalahkan kakak Siti yang dapat 3A2B tu”
“Ayub, tengok ayah, kesiankan kerja susah”
“Ayub, dirikan solat”

Ayub hanya sekadar senyum tersengih. Tapi, saya tahu ayat-ayat saya sampai masuk ke dalam hatinya. Saya selalu teringatkan emaknya menghantar mereka adik-beradik satu motor beramai-ramai. Kadangkala Ayub atau kakaknya berjalan kaki dahulu sebelum diambil ibunya. Ia seperti adegan drama yang amat melekat dalam hati saya. Begitu jugalah gambaran dalaman rumah Ayub.

Kelmarin, selaku guru kelas saya memanggil nama Ayub untuk keputusan UPSRnya, saya tahu saya akan ‘banjir’ dengan air mata. Saya melihat ayah Ayub sendiri sedang berdiri berdebar.

“Bahasa Melayu Pemahaman A. Bahasa Melayu Penulisan A”

Saya lihat riak mukanya lagi.

”Matematik A dan, Sains A”

Saya lihat air mata Ayub sudah mengalir. Ya, dia tidak percaya. Kejutan buat dirinya. Kejutan buat warga guru. Kejutan buat keluarganya juga.

Ketika mahu menyebut keputusan Bahasa Inggerisnya ialah B, saya sudah menangis hiba. Saya lihat ayahnya menangis kegembiraan. Anaknya tidak mendapat 5A tetapi dia gembira anaknya memperoleh 4A 1B. Suatu yang tidak disangka selama ini.


Saya menangis kerana terkenangkan keluarganya yang susah. Betapa sukarnya saya selaku cikgu mahu menyuruh anak murid lelaki untuk berubah dan konsisten belajar.

Saya membayangkan juga rumahnya yang dipukul ribut. Saya terkenangkan ‘senarai’ itu. Saya terkenangkan rak almari itu. Saya terkenangkan atap rumah yang terbang hampir hilang semuanya.

Saya terkenangkan Ayub yang membantu bapanya di kebun atau kerja-kerja kampung. Saya terkenangkan Ayub yang sentiasa pemalu dan tersenyum, tidak pernah menangis selama ini, tiba-tiba menangis dengan hiba dan sebak atas kejayaan yang tidak disangkanya sendiri.

Masyaallah. Kisah keluarga ini benar-benar satu inpirasi buat saya. Tentang percaya kepada misi mendidik anak bangsa hingga ke semangat yang terakhir.

Akhirnya, hampir semua warga guru dan ibu bapa turut menangis mengikut air mata saya, apalagi selepas itu ayahnya datang memeluk erat anaknya. Ayahnya yang garang dan tegas – sentiasa ditakuti anak-anaknya. Ayahnya yang selalu berharap dari jauh. Namun, kasihnya hari itu telah ditunjukkan.

Allah. Allah. Allah. Allahuakbar. Saya tidak akan lupakan kemanisan ini sepanjang hidup. Ia lebih bererti menjadi seorang ‘cikgu kampung’ daripada menjadi orang yang berbaju kemas, bertali leher di pejabat berhawa dingin.

Hidup saya lebih bermakna di sini. Ia menambah nilai kepada diri keseluruhannya. Demi Allah. Untuk tuhanku.

Tahniah Ayub, cikgu belajar sesuatu daripada kamu tentang hidup.



- Facebook

Penafian: Pihak admin tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan dan kerosakan yang dialami semasa/selepas melayari blog ini atau menggunakan sebarang maklumat dari dalam blog ini. Komen-komen yang dikirimkan diblog ini juga adalah menjadi tanggungjawab pengirim itu sendiri. Terima kasih.

ENGLAND PREMIER LEAGUE

 
Please use Google Chrome to get the best view with 1280 x 800 resolution and above | Thanks for visiting cgazmi.blogspot.com | Bloggerized by Cg Azmi