Mari
kita sama-sama membaca kisah ini, Bacalah walaupun panjang kerana cerita ini
pasti menyentuh hati anda. Semoga kisah ini menjadi pembakar semangat buat
anak-anak yang akan mengambil UPSR ditahun yang mendatang;
Ayub
bin Mohadjar, anak orang kampung sahaja. Adik beradiknya sangat ramai. Pernah
dahulu saya mengajar abangnya Syuaib dan tahun lalu kakaknya Siti Khadijah.
Ayub
mempunyai dua lagi adiknya di Tahun 5, 3 dan 2. Masih ada kakak yang bersekolah
di sekolah menengah harian. Bermakna tujuh kesemuanya.
Ayahnya
bekerja kampung sahaja; sesekali saya melihat abangnya Syuaib atau Ayub
membantu ayahnya di kampungnya. Rumah yang didirikan tanpa cat yang indah dan
berhias. Tahun lalu, rumah mereka antara yang dipukul ribut.
Allah
mentakdirkan waktu itu saya masuk ke rumah bersama suri saya, anak lelaki saya
dan sahabat saya pensyarah di IPG Puan Umaimah Mohd Idris. Kami memberikan
bantuan sedaya yang mampu.
Hati
saya pilu dan sebak melihat pingat kebanggaan yang dicapai di sekolah digantung
tepi almari rak yang usang, begitu juga itulah sahaja rak yang menempatkan
semua buku dan alatan tulis.
Masih
ingat lagi, senarai barangan Hari Raya yang belum dibeli yang saya nampak di
atas meja untuk setiap adik -beradiknya. (Yes, i cried )
Lawatan
sekolah ke Seremban menaiki komuter dan ETS baru-baru ini sebetulnya dibayar
sepenuhnya oleh seorang guru (diminta untuk dirahsiakan) kerana pada awalnya
dia sudah berkata dia tidak mampu untuk pergi berhibur walau sekali dalam
hidupnya. Bukan keperluan mengikut kata keluarganya.
Ayub;
saya sifatkan seorang anak yang pemalu, sekadar ‘pengikut – follower’, tidak
tahu apa yang dimahukannya. Periang dan potensi diri belum diluahkan lagi.
Sepanjang
tahun sekadar paling kuat 2A atau 1A. Saya sentiasa menitipkan nasihat di
telinganya. Malah, leteran itu sentiasa dan acap kali tanpa jemu. Tanggungjawab
saya.
“Ayub,
ingatlah , emak ayah bukan orang senang”
“Ayub,
kurangkan main”
“Ayub,
kalahkan kakak Siti yang dapat 3A2B tu”
“Ayub,
tengok ayah, kesiankan kerja susah”
“Ayub,
dirikan solat”
Ayub
hanya sekadar senyum tersengih. Tapi, saya tahu ayat-ayat saya sampai masuk ke
dalam hatinya. Saya selalu teringatkan emaknya menghantar mereka adik-beradik
satu motor beramai-ramai. Kadangkala Ayub atau kakaknya berjalan kaki dahulu
sebelum diambil ibunya. Ia seperti adegan drama yang amat melekat dalam hati
saya. Begitu jugalah gambaran dalaman rumah Ayub.
Kelmarin,
selaku guru kelas saya memanggil nama Ayub untuk keputusan UPSRnya, saya tahu
saya akan ‘banjir’ dengan air mata. Saya melihat ayah Ayub sendiri sedang
berdiri berdebar.
“Bahasa
Melayu Pemahaman A. Bahasa Melayu Penulisan A”
Saya
lihat riak mukanya lagi.
”Matematik
A dan, Sains A”
Saya
lihat air mata Ayub sudah mengalir. Ya, dia tidak percaya. Kejutan buat
dirinya. Kejutan buat warga guru. Kejutan buat keluarganya juga.
Ketika
mahu menyebut keputusan Bahasa Inggerisnya ialah B, saya sudah menangis hiba.
Saya lihat ayahnya menangis kegembiraan. Anaknya tidak mendapat 5A tetapi dia
gembira anaknya memperoleh 4A 1B. Suatu yang tidak disangka selama ini.
Saya
menangis kerana terkenangkan keluarganya yang susah. Betapa sukarnya saya
selaku cikgu mahu menyuruh anak murid lelaki untuk berubah dan konsisten
belajar.
Saya
membayangkan juga rumahnya yang dipukul ribut. Saya terkenangkan ‘senarai’ itu.
Saya terkenangkan rak almari itu. Saya terkenangkan atap rumah yang terbang
hampir hilang semuanya.
Saya
terkenangkan Ayub yang membantu bapanya di kebun atau kerja-kerja kampung. Saya
terkenangkan Ayub yang sentiasa pemalu dan tersenyum, tidak pernah menangis
selama ini, tiba-tiba menangis dengan hiba dan sebak atas kejayaan yang tidak
disangkanya sendiri.
Masyaallah.
Kisah keluarga ini benar-benar satu inpirasi buat saya. Tentang percaya kepada
misi mendidik anak bangsa hingga ke semangat yang terakhir.
Akhirnya,
hampir semua warga guru dan ibu bapa turut menangis mengikut air mata saya,
apalagi selepas itu ayahnya datang memeluk erat anaknya. Ayahnya yang garang
dan tegas – sentiasa ditakuti anak-anaknya. Ayahnya yang selalu berharap dari
jauh. Namun, kasihnya hari itu telah ditunjukkan.
Allah.
Allah. Allah. Allahuakbar. Saya tidak akan lupakan kemanisan ini sepanjang
hidup. Ia lebih bererti menjadi seorang ‘cikgu kampung’ daripada menjadi orang
yang berbaju kemas, bertali leher di pejabat berhawa dingin.
Hidup
saya lebih bermakna di sini. Ia menambah nilai kepada diri keseluruhannya. Demi
Allah. Untuk tuhanku.
Tahniah
Ayub, cikgu belajar sesuatu daripada kamu tentang hidup.
-
Facebook
0 comments:
Post a Comment