Thursday, November 28, 2013

Pengambilan Guru Ikut Keperluan Negeri

Kementerian Pendidikan kini menghadapi masalah lambakan permohonan pertukaran guru yang meruncing untuk ditukarkan ke negeri asal masing-masing khususnya Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, Kelantan mencatatkan permohonan pertukaran guru tertinggi iaitu seramai 2,483 orang berbanding 173 kekosongan yang ada.

Bagi Kedah pula katanya, seramai 1,523 orang guru kelahiran negeri itu memohon ditukarkan ke negeri asal berbanding hanya 200 kekosongan manakala Terengganu menerima permohonan pertukaran seramai 1,267 orang guru berbanding 200 kekosongan.

"Di Kelantan terdapat lebih 30,000 orang guru dan ada lagi 2,483 orang yang memohon balik ke negeri itu sedangkan hanya ada 179 kekosongan, ini bermakna seramai 2,304 orang gagal mendapat tempat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas diberikan taklimat sempena lawatan rasmi beliau ke Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di Gong Badak dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, Naib Canselor UniSZA, Prof. Dr. Yahaya Ibrahim.

Idris diminta mengulas keluhan seorang guru yang disiarkan dalam ruangan Cuit di Utusan Malaysia hari ini yang masih gagal ditukarkan ke negeri asalnya, Terengganu meskipun beberapa kali memohon sejak lapan tahun lalu berkhidmat di sebuah sekolah di Batu Pahat, Johor.

Guru itu, Farita Idayu Jusoh yang amat menyintai profesion itu kini dalam keadaan kemurungan dan berkemungkinan terpaksa menamatkan kerjayanya setelah berjauhan dengan suami yang bertugas di Terengganu sejak sekian lama.

Idris seterusnya berkata, berdasarkan masalah lambakan permohonan pertukaran guru itu, Kementerian Pendidikan tidak mampu menampung hasrat guru terbabit memandangkan jumlah kekosongan yang begitu terhad.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak tidak menyalahkan kementeriannya berhubung perkara itu.
 
"Kita sebenarnya bukan tidak izinkan guru bertukar ke negeri asal masing-masing tetapi permohonan yang diterima terlampau ramai sedangkan jumlah kekosongan amat kecil," ujarnya.

Idris bagaimanapun mengakui wujud masalah 'keciciran' membabitkan guru yang berkali-kali memohon ditukarkan ke negeri asal dan beliau memberi jaminan, pihaknya akan memberi perhatian mengenainya.

Katanya, Kementerian Pendidikan akan cuba sedaya upaya menangani masalah tersebut dan bersedia mengambil tanggungjawab sepenuhnya bagi membantu guru-guru terbabit.

"Sebab itulah, selepas ini kita akan membuat pengambilan guru baharu mengikut keperluan negeri masing-masing," tambahnya.

 
- Utusan

0 comments:

Post a Comment

Penafian: Pihak admin tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan dan kerosakan yang dialami semasa/selepas melayari blog ini atau menggunakan sebarang maklumat dari dalam blog ini. Komen-komen yang dikirimkan diblog ini juga adalah menjadi tanggungjawab pengirim itu sendiri. Terima kasih.

ENGLAND PREMIER LEAGUE

 
Please use Google Chrome to get the best view with 1280 x 800 resolution and above | Thanks for visiting cgazmi.blogspot.com | Bloggerized by Cg Azmi