Friday, November 15, 2013

Motivasi: Tip Memimpin Di Tempat Baru

Sebagai penjawat awam dalam kategori dan posisi mana pun kita seringkali menerima arahan untuk berpindah dari satu tempat ke satu tempat. Terutama apabila kita ditempatkan untuk memimpin sesuatu organisasi di tempat baru seperti sekolah atau institusi pendidikan lainnya, kepimpinan kita akan dilihat berkesan atau sebaliknya sedikit sebanyak bergantung kepada bagaimana kita meletakkan diri kita di tempat baru itu.

Tulisan ini cuba menyingkap saranan pakar dan pengalaman orang-orang lama yang boleh dijadikan tip bagi pemimpin baru di sesuatu tempat yang dipimpin. Tip-tip yang dikemukakan bukanlah satu-satunya saranan yang mesti dipatuhi oleh setiap pemimpin kerana ia bergantung kepada gaya atau model kepimpinan seseorang. Semua gaya atau model kepimpinan ada kekuatan namun tiada yang bebas daripada kelemahan dan kekurangan.

Beberapa tip memimpin di tempat baru agar kepimpinan anda diterima, memberi kesan dan impak yang tinggi kepada organisasi yang anda pimpin:

1. Dapatkan serba sedikit maklumat tentang organisasi yang anda hendak pimpin sekurang-kurangnya latar belakang, fungsi dan peranannya dalam masyarakat.

2. Jadikan diri anda sebagai sebahagian daripada warga organisasi yang anda pimpin. Terima semua orang yang anda hendak pimpin seadanya. Elakkan tanggapan awal apatah lagi prejudis terhadap subordinate sama ada yang anda dengar daripada dirinya sendiri apatah lagi daripada orang lain.

3. Elakkan menyebut kelemahan atau kekurangan organisasi yang anda baru pimpin dan berjanji hendak memperbaikinya. Walaupun mungkin memang ada kelemahan yang hendak anda perbaiki, menyebutnya di hadapan subordinate anda yang baru atau yang lama tidak membawa apa-apa keuntungan. Laksanakan sahaja perubahan yang hendak anda lakukan tanpa mempertikai usaha yang telah dibuat pemimpin sebelum anda.

4. Elakkan seringkali menyebut pengalaman anda di tempat lama. Selain ianya selalu dianggap sensitif oleh subordinate anda yang baru apa yang berlaku di tempat lama dan baru adalah berbeza. Jika pun perkara tersebut sama, nyatakan sahaja dasar dan peraturan yang sepatutnya dipatuhi.

5. Membawa orang kepercayaan anda di tempat lama ke tempat baru  terutama dalam bilangan yang ramai seringkali mengundang ketidakpercayaan di kalangan orang baru yang anda pimpin. Anda akan dianggap tiada kekuatan membina kepimpinan di tempat baru.

6. Walau bagaimapun hebatnya kita dalam bidang yang kita ceburi dengan pengalaman luas berkaitan tetapi baru dalam organisasi yang kita pimpin, pasti banyak perkara yang tidak diketahui. Oleh itu, lebih baik anda ikut nasihat berikut untuk membina hubungan di tempat baru: 
  • Masuk ke dalam organisasi dengan setting yang baru dengan berhati-hati dengan langkah yang betul.  
  • Dengar dan belajar daripada orang yang telah lama di dalam organisasi itu.
  • Libatkan diri dalam usaha mencari fakta, menyelesai masalah dan membuat keputusan secara bersama.
  • Berhati-hati (bukan tergopoh-gapah) dalam membuat diagnosis ke atas sesuatu situasi. 
  • Ambil perhatian secara berkala (forthnightly) keprihatinan dan permasalahan orang bawahan. 
  • Enthusiastik, asli dan ikhlas apabila membuat perubahan. 
  • Dapatkan buy-in bagi apa sahaja pembetulan yang perlu anda lakukan. 
  • Bangunkan suatu perancangan rapi dan berkredibiliti tinggi sebarang penambahbaikan atau pembetulan atau perubahan yang anda hendak lakukan, bukan secara adhoc.  
7. Mengubah tingkalaku manusia tidak semudah menukar baju. Untuk mengubah tingkahlaku manusia ubah situasi persekitaran kerjanya. Kemudahan tempat kerja, kebajikan dan hubungan sesama pekerja membantu mengubah tingkahlaku ke arah yang lebih baik mengikut kehendak pemimpin.

8. Pelajari secara berterusan dengan amalan terbaik. Perhatikan ke dalam diri anda. Cari kekuatan yang boleh dibangun dan diguna untuk manfaat semua.

9. Sikap anda tentang ‘melakukan kesilapan’ seharusnya berbeza sama sekali dengan sikap orang yang telah ada mindset yang tetap atau negatif terhadap kesilapan. Baca John Baldoni atau Paul Speigelman.

10. Jika anda ingin menjadi pemimpin perubahan yang berkesan di tempat baru perhatikan 7 saranan Fullan yang berikut:
  • The effective change leader actively participate as a learner in helping the organization improve.
  • Effective change leaders combine resolute moral purpose with impressive empathy. 
  • Realized effectiveness is what motivates people to do more. 
  • Collaborative competition is the yin and yang of successful change. Collaborate and compete.
  • Change leaders are more confident than the situation warrants but more humble than they look. 
  • Statistics are wonderful servant and an appelling master. 
  • Simplexity is salvation for an intricate world. 
11. Semasa anda mengendali perbincangan dalam bentuk mesyuarat atau bengkel, elakkan tergesa-gesa membuat keputusan tanpa memahami isu sebenar. Sebaliknya jangan mengambil masa terlalu lama membuat keputusan apatah lagi tiada keputusan dibuat.

12. Jika keputusan telah dibuat oleh pemimpin terdahulu dalam mesyuarat, elakkan membuat keputusan sebaliknya kecuali anda benar-benar memahami isu sebenar dan konsekuen keputusan yang anda ambil.

13. Jika anda terperangkap di dalam perbezaan pendapat antara dua atau lebih orang yang anda kendalikan perbincangannya dan anda perlu membuat keputusan sedangkan anda tidak pasti yang mana paling tepat, elakkan memberi pandangan menyebelahi mana-mana pihak. Dengar dengan sabar dan teliti lebih baik daripada bercakap tetapi salah. Setelah masing-masing habis bercakap, anda bebas membuat keputusan tanpa menyebut anda menyebelahi mana-mana pihak. Allahyarham Datuk Yaakub pernah membuat keputusan yang menyebelahi pegawai kanannya yang lebih senior terlebih dahulu walaupun ternyata kurang tepat. Keesokan harinya dia menukar keputusan yang menyebelahi pegawainya yang lebih junior. Tindakannya adalah untuk menjaga hati pegawai kanannya. Ternyata kepimpinanmya yang halus disanjung tinggi subordinatenya.

14. Elakkan memperkecilkan kewibawaan dan kebolehan subordinate di hadapan mereka apatah lagi di hadapan orang lain. Jika pun anda mendapati ada kelemahan dan kekurangan pada diri mereka, mengajak mereka untuk memperbaiki dan meningkat kekuatan lebih baik daripada memperkecil apatah lagi menghina.

15. Segala perkara yang berlaku di dalam organisasi anda, anda bertanggungjawab ke atasnya walaupun anda baru dalam organisasi itu atau anda mungkin belum tahu mengenainya. Elakkan berkata “saya tidak tahu perkara itu” sebaliknya “bantu saya menyelesaikan masalah”.

Semoga tulisan ini ada manfaatnya kepada pembaca dan diri saya sendiri. Pastinya tip-tip yang disenaraikan tidak bebas daripada kesilapan dan kekurangan jauh daripada kesempurnaan. Oleh itu, teguran dan pandangan pembaca amatlah dialu-alukan.


- drjamiladimin

0 comments:

Post a Comment

Penafian: Pihak admin tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan dan kerosakan yang dialami semasa/selepas melayari blog ini atau menggunakan sebarang maklumat dari dalam blog ini. Komen-komen yang dikirimkan diblog ini juga adalah menjadi tanggungjawab pengirim itu sendiri. Terima kasih.

ENGLAND PREMIER LEAGUE

 
Please use Google Chrome to get the best view with 1280 x 800 resolution and above | Thanks for visiting cgazmi.blogspot.com | Bloggerized by Cg Azmi