Dua minggu lagi cuti sekolah bermula.
Biasanya guru-guru cukup gembira dengan
percutian ini kerana mereka mempunyai masa untuk berehat dan bercuti bersama
keluarga.
Tapi kali ini kegembiraan tersebut
suram kerana ramai dari mereka tertekan dengan sistem baru yang digunakan oleh
Kementerian, iaitu Sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).
Betul sistem ini diperkenalkan oleh
Kementerian setelah beberapa kali mesyuarat diadakan.
Betul sistem ini diperkenalkan kerajaan
setelah mengambil kira kebaikannya untuk guru, murid-murid dan sistem
pendidikan negara.
Betul tujuan sistem ini baik untuk
transformasi sistem pendidikan negara, iaitu “untuk menilai potensi murid dan
kesediaan untuk belajar, selain menguji penguasaan dan pencapaian.”
Tetapi apakah sistem ini betul-betul
baik untuk meningkatkan mutu pendidikan negara? Apakah sistem ini betul-betul
boleh diterima oleh para guru? Pertanyaan ini perlu diteliti sebelum mendapat
jawapannya.
Saya sudah mendengar lama rungutan para
guru tentang hal in sejak ia mula dilaksanakan pada tahun 2011 di peringkat
sekolah rendah dan pada tahun lepas bagi peringkat sekolah menengah.
Ada yang menulis secara peribadi
meminta saya membangkitkan hal ini.
Tetapi saya diam sehinggalah saya
dapati kelemahan pelaksanaan sistem ini semakin ketara.
Apa yang lemahnya dengan sistem ini?
Lemahnya bukanlah pada tujuannya yang
baik:
(i) untuk menilai potensi murid,
(ii) memantau pertumbuhan dan membantu
meningkatkan potensi murid; dan
(iii) membuat pelaporan bermakna
tentang pembelajaran individu.
Tetapi lemahnya sistem ini adalah pada
penggunaan sistem memasukkan datanya yang tidak boleh ‘comply’ dengan beban
data semasa.
Sistem Pangkalan Data PBS Lemah Justeru
lemahnya sistem data PBS ini, maka guru perlu memasukkan data pada waktu lewat
malam.
Akibatnya, pada waktu pagi guru
mengantuk menyebabkan mutu mengajar menjadi lemah, sekali gus menjejas mutu
pengajaran dan pembelajaran.
Akibatnya, murid tidak mendapat
pembelajaran yang sempurna kerana waktu guru dihabiskan pada tugas perkeranian,
bukan pada tugas hakikinya. Ini kerana selain sibuk memasukkan data, guru juga
sibuk mengemaskan rekod.
Aduh!!! Apa lagi? Guru juga terpaksa
menyiapkan kerja-kerja PBS sendiri seperti membina instrumen soalan, menanda
dan menyemak kertas soalan.
Selepas itu, guru perlu mengadakan
aktiviti bilik darjah untuk menyelesaikan segala keperluan kurikulum dan
kemahiran insaniah yang lain.
Guru kadang-kadang terpaksa lepaskan
murid ke aras band yang lebih tinggi biarpun arasnya belum dicapai.
Selain itu, guru perlu mengurus fail
pelajar yang mungkin mencecah angka ribu dan puluhan unit almari untuk
penyimpanan fail berkenaan serta memasukkan ratusan band pelajar ke dalam
sistem.
Bayangkan bagaimana susah dan
tertekannya guru jika internet hang?
Bayangkan bagaimana lelahnya guru
setelah disemak semula dalam sistem, data yang dimasukkan sebelum ini tidak ada
dalam pangkalan?
Maka dari sinilah, guru selalu
bertanya, siapakah yang membangunkan sistem ini?
Mengapa diberi kepada pembekal yang
tidak berkelayakan untuk menyediakan sistem ini kepada sekolah dan guru?
Mengapa kerajaan boleh melaksanakan
sistem ini dikala sistem ini masih belum mesra pengguna? Bilakah mutu sistem
ini akan dipertingkatkan? Dan bermacam persoalan lagi.
Saya pernah menceritakan kelemahan
sistem ini kepada kawan saya, seorang pegawai di PPD.
Beliau kata kepada saya guru yang
merungut dengan sistem PBS ini adalah guru yang malas dan tidak ada semangat
untuk berjaya dalam bidang keguruan.
Maka beliau pun mulalah bercerita
kepada saya tentang kejayaan sistem ini di negara-negara lain.
Saya tidak nafikan kejayaan sistem ini
di negara lain, tetapi saya katakan sistem di sini tidak mesra guru kerana
sistemnya selalu 'hanged' sehingga menyebabkan guru tertekan.
Ada guru yang terpaksa bangun pada jam
3 pagi semata-mata untuk memasukkan data. Jadi kata saya, sistem PBS ini
mungkin sesuai di negara lain, tapi belum tentu sesuai di negara kita.
Anggur yang sesuai ditanam di Perancis
belum tentu sesuai ditanam di Cameron Highlands.
Akhirnya, setelah mendengar keluhan
para guru sejak sistem ini diperkenalkan, saya cuma ingin katakan guru yang
mengeluh bukan kerana mereka tidak ‘love teaching’. Tapi mereka mengeluh kerana
sistem PBS ini membebankan dan tidak mesra pengguna.
Oleh itu, jika kerajaan mahu juga
meneruskan penggunaan sistem ini, teruskanlah dengan membaiki dan meningkatkan
sistemnya supaya para guru tidak lagi tertekan dengan sistem yang tidak mesra
pengguna.
Tugas mengajar ini seronok dan mulia.
Maka, jangan bebankan para guru dengan perkara yang tidak sepatutnya.
0 comments:
Post a Comment