Manusia dikurniakan Allah dengan
pelbagai nikmat. Ada yang diberikan potensi dan daya intelek yang tinggi, ada
pula mempunyai rupa paras cantik dan banyak lagi. Jika hendak menghitungnya,
nescaya kita tidak termampu.
Allah berfirman dalam surah an-Nahl,
ayat 18 bermaksud: “Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, tiadalah kamu dapat
menghitungnya, sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” Oleh
kerana itu, manusia tidaklah harus taasub dan mengagumi kelebihan yang ada pada
diri sendiri kerana semua itu datangnya daripada Allah. Jangan sesekali berasa
bangga dan berasakan ‘aku yang lebih’.
Ingatlah, manusia yang mempunyai
perasaan sebegitu sebenarnya sudah terpedaya dengan sifat ujub atau bangga
diri. Ia satu sifat tercela yang amat dimurkai Allah dan sewajarnya kita
membuangnya sejauh mungkin.
Imam Sufyan ats-Tsauri pernah
memberitahu bahawa: “Sifat ujub adalah kekagumanmu terhadap dirimu sendiri,
sehingga kamu berasa bahawa kamu lebih mulia dan lebih tinggi darjatnya
daripada saudara kamu. “Padahal boleh jadi kamu tidak beramal dengan benar
seperti dia atau barangkali dia lebih warak daripada kamu terhadap hal yang
diharamkan Allah dan lebih tulus amalannya.” Sifat ujub adalah sifat iblis dan
ia sangat berbahaya kerana dengannya akan membentuk jaringan sifat mazmumah
lain seperti sombong. Sebab itulah Allah mengingatkan kita agar tidak
sekali-kali membiarkan penyakit ujub berkembang biak dalam diri. Firman-Nya
dalam surah Saad, ayat 76 bermaksud: “Iblis menjawab: Aku lebih baik
daripadanya; Engkau ciptakan aku daripada api, sedang dia Engkau ciptakan
daripada tanah.” Sebenarnya perasaan ujub adalah strategi syaitan dalam
meruntuhkan iman seseorang Muslim kerana penyakit itu mudah dipasang di dalam
hati meskipun dia seorang yang berilmu pengetahuan agama luas dan mendalam.
Imam Ibnu al-Mubarak ada mengungkapkan: “Perasaan ujub adalah ketika engkau
berasakan dirimu memiliki kelebihan tertentu yang tidak dimiliki oleh insan
lain.” Jadi, apa pun kelebihan yang kita miliki, ingatlah semuanya itu adalah
anugerah Allah dan tidak seharusnya dibanggakan sangat. Ambillah iktibar
bagaimana buruk dan teruknya perasaan ujub Qarun yang sanggup mengatakan bahawa
kekayaan harta dimilikinya adalah atas usaha dan kebijaksanaan akalnya, sekali
gus menafikan Allah sebagai pemberi nikmat berkenaan. Lalu dengan penuh takbur
dia menghebahkan bahawa segala kekayaannya adalah atas kegigihan dan
kecekapannya mencari rezeki sehingga menjadi seorang yang kaya raya. Apakah
kesudahannya terhadap Qarun? Ya, kita sedia maklum bahawa Allah timpakan bala
terhadapnya sebagai balasan keujuban dan kesombongan dirinya.
Dalam surah Luqman ayat 18, firman-Nya
bermaksud: “Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah)
kepada manusia dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong.
Sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong, takbur lagi
membanggakan diri.” Inilah nasihat dan inilah juga amaran Allah kepada kita
yang tidak seharusnya diketepikan kerana implikasinya amat buruk sama ada di
dunia ini, mahupun di akhirat kelak.
Tanggapan bahawa diri sendiri yang
lebih berbanding orang lain adalah petanda penyakit hati kronik dan seandainya
seseorang itu tidak menyedari bahawa dirinya sudah hanyut dalam sifat keji itu,
dibimbangi segala amal ibadah dan kebajikannya menjadi sia-sia.
Hal ini kerana orang yang melakukan
amal ibadah dengan perasaan ujub sesuatu yang dibenci oleh Allah. Jadi, tidak
mungkin dia akan mendapat ganjaran pahala kerana Allah hanya memandang kepada
amalan yang ikhlas.
Firman-Nya dalam surah al-Bayyinah,
ayat 5 bermaksud: “Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya
menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya...” Berhati-hatilah
kerana penyakit ujub ini meskipun bersarang di hati, tetapi kelibat karakternya
jelas menerusi lidah dan perbuatan seseorang.
Ia boleh menyerang sesiapa saja
termasuklah ustaz, ahli agama ataupun pendakwah. Misalnya si dia berasa sangat
gembira dan selesa dengan pujian dan populariti yang diperoleh sehingga
mengalahkan yang lain. Tambahan pula dengan adanya laman sosial seperti
Facebook dan blog peribadi yang mendapat ‘like’ terbanyak boleh menyebabkan
seseorang itu syok sendiri.
Ingatlah Islam sejak awal lagi sentiasa
bertindak menutup segala ruang walaupun ia kecil kerana bermula daripada yang
kecil akan mencetuskan kerosakan yang besar pada jiwa dan hati seseorang.
Rasulullah SAW sendiri pernah melarang sahabatnya berdiri dari tempat duduk
sebagai tanda hormat ketika menyambut dan meraikan kedatangan baginda. Ini
diperakui sendiri oleh Anas bin Malik yang mengatakan: “Tidak seorang pun yang
lebih dicintai oleh kalangan sahabat berbanding Rasulullah SAW (kehadirannya),
mereka tidak berdiri untuk baginda. Ini adalah kerana mereka mengetahui bahawa
baginda membenci perkara berkenaan.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi) Imam Ibnu
Qayyim pernah mengungkapkan: “Satu tanda kebahagiaan dan kejayaan apabila
seseorang itu makin bertambah ilmunya, maka makin bertambah pula tawaduk dan
kasih sayangnya. Makin bertambah amalnya, makin meningkat pula rasa takut dan
waspadanya.”
- hmetro
0 comments:
Post a Comment