Sunday, November 17, 2013

Program Penilaian Berasaskan Sekolah Akan Terus Dilaksanakan Dengan Penambahbaikan

Program Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS) yang sedang dilaksanakan di sekolah-sekolah di seluruh negara akan diteruskan dengan penambahbaikan bagi setiap kekurangannya mulai Januari tahun depan.

Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh berkata satu mesyuarat khas yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Datuk Dr Madinah Mohamad diadakan semalam bagi melihat semua bentuk kekurangan dan masalah agar ia dapat dilaksanakan dengan lebih cekap dan tidak membebankan guru.

Katanya antara perkara yang diberikan penekanan termasuk membaiki pelaksanaannya dengan memberi penumpuan kepada sistem PBS itu yang didakwa oleh para guru tidak berupaya digunakan kerana terdapat kelemahan dalam penggunaan sistem talian dan program pengisian yang dikatakan tiada penyelarasan.

"Kali ini kita akan pastikan sistem pengisian markah para pelajar dapat digunakan oleh guru dengan lebih mudah melalui penggunaan tidak banyak sistem bagi semua mata pelajaran secara integrasi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis berkhatan dan bertindik peringkat Parlimen Besut anjuran Majlis Kebudayaan Daerah Besut di Balai Budaya di Kampung Raja di sini Sabtu.

Menurutnya kementerian juga akan cuba melaksanakan PBS dengan tidak menggunakan terlalu banyak modul penilaian malah akan dicadangkan dengan hanya satu sahaja nanti.

Idris bagaimanapun kesal dengan tindakan sesetengah pihak termasuk parti pembangkang yang cuba memainkan isu PBS tanpa mendalami dengan lebih halus akan objektif pelaksanaannya.

Katanya sebelum ini pelbagai pihak menyatakan yang sistem pelajaran di negara ini lebih berorentasikan peperiksaan yang menyebabkan ramai pelajar bosan dan tercicir dalam pelajaran.

"Bertindak balas atas pandangan rakyat itu kerajaan telah memperkenalkan PBS yang menilai dan mendidik pelajar secara menyeluruh dalam semua aspek tetapi kini mereka tetap menyatakan ia tidak bersesuaian," kata Idris yang juga anggota Parlimen Besut.

Justeru Idris meminta semua pihak supaya memahami betul-betul apa itu PBS yang diwujudkan daripada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) yang mencakupi semua aspek pendidikan serta berupaya memastikan kadar akses sejagat dalam kalangan kanak-kanak dari peringkat prasekolah hingga ke peringkat menengah atas (Tingkatan 5) menjelang 2020.

- BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

Penafian: Pihak admin tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan dan kerosakan yang dialami semasa/selepas melayari blog ini atau menggunakan sebarang maklumat dari dalam blog ini. Komen-komen yang dikirimkan diblog ini juga adalah menjadi tanggungjawab pengirim itu sendiri. Terima kasih.

ENGLAND PREMIER LEAGUE

 
Please use Google Chrome to get the best view with 1280 x 800 resolution and above | Thanks for visiting cgazmi.blogspot.com | Bloggerized by Cg Azmi