Kementerian
Pelajaran sedang dalam usaha menambah baik perlaksanaan Sistem Pengurusan dan
Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SPPBS) bagi memudahkan penggunaannya oleh
kira-kira 412,000 guru sekolah rendah dan menengah seluruh negara.
Ketika
ini, kementerian dalam tindakan menyediakan hosting baharu bagi memudahkan guru
mengakses ke dalam sistem yang sebelum ini menimbulkan rungutan dalam kalangan
guru yang terpaksa memperuntukkan masa agak lama untuk mengakses sistem
tersebut.
Menurut
Unit Komunikasi Korporat Kementerian, tindakan yang diambil Bahagian Pengurusan
Maklumat kementerian adalah dengan memindahkan SPPBS ke hosting baharu dalam
usaha mengatasi tersebut pada masa ini.
Tindakan
itu adalah bagi menampung bilangan pengguna yang mengakses secara serentak
sehingga 40,000 orang pada satu-satu masa untuk mengakses sistem berkenaan.
''Pihak
kementerian juga telah menggandakan bilangan server daripada 4 kepada 20 buah
server mulai November lalu bagi mengurangkan kesesakan pengguna yang ramai'',
kata kenyataan itu di sini hari ini.
Kenyataan
tersebut sebagai reaksi kepada Ruangan SMS Utusan Malaysia baru-baru ini
mengenai rungutan 'Guru Kini' yang mendakwa PBS menambah bebanan guru kerana
sukar memasuki laman web sistem tersebut walaupun pada waktu awal pagi.
Menurut
kenyataan itu lagi, kementerian amat prihatin dengan kesukaran dan masalah yang
terpaksa dihadapi guru berhubung perlaksanaan sistem baharu itu namun yakin
masalah yang timbul akan dapat diatasi dalam tempoh terdekat ini.
Kira-kira
5,272,478 pelajar terdiri daripada 2,804,405 murid sekolah rendah dan 2,281,775
pelajar sekolah menengah terlibat dalam perlaksanaan sistem PBS membabitkan
7,723 sekolah rendah dan 2,296 sekolah menengah.
Melalui
sistem baharu ini, guru tidak lagi perlu meramal bentuk soalan dan topik yang
akan diuji dan pada masa yang sama, tidak perlu melaksanakan latih tubi
terhadap topik tertentu.
Sebaliknya,
pelajar akan dilatih untuk berfikir secara kritis dan mengaplikasi ilmu yang
dipelajari dalam pelbagai konteks keperluan malah format pentaksiran baharu itu
membolehkan murid dinilai berdasarkan hasil lebih luas dalam jangka masa yang
lebih panjang.
Ia
bertujuan untuk menambah baik sistem penilaian ke atas pelajar dengan
menggunakan standard prestasi kerana sebelum ini penilaian terhadap pencapaian
pelajar terlalu berorientasi peperiksaan sejajar usaha kerajaan menambah baik
Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan memansuhkan peperiksaan Penilaian
Menengah Rendah (PMR) menjelang 2014.
Ia
merupakan satu pentaksiran bersifat holistik yang mampu menilai aspek kognitif
(intelek), efektif (emosi dan rohani) dan psikomotor (jasmani) selaras dengan
Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR).
Secara
spesifik, PBS dioptimumkan bagi mentaksir bidang akademik dan bukan akademik,
memberi pengiktirafan dan autonomi kepada guru untuk melaksanakan pentaksiran
formatif (pentaksiran yang dijalankan semasa proses pembelajaran berlangsung)
dan sumatif (pentaksiran yang dijalankan di akhir satu unit pembelajaran)
berasaskan sekolah.
Komponen
PBS dalam sistem pentaksiran kebangsaan merangkumi Pentaksiran Sekolah (PS),
Pentaksiran Pusat (PP), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum dan
Pentaksiran Psikometrik.
PS
dirancang, dibina, ditadbir, diperiksa, direkod dan dilapor oleh guru sekolah
di sekolah iaitu contoh instrumen pentaksiran yang boleh digunakan ialah
lembaran kerja, pemerhatian, kuiz, senarai semak, laporan tugasan, tugasan
rumah dan ujian.
Bagi
PP pula ditadbir, diperiksa, direkod dan dilapor di peringkat sekolah oleh guru
berdasarkan tugasan dan skema pemarkahan yang dikeluarkan oleh Lembaga
Peperiksaan dalam tempoh yang ditetapkan mengikut mata pelajaran.
Pentaksiran
Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) dilaksanakan di peringkat
sekolah dan ditadbir, direkod dan dilaporkan melalui penyertaan, penglibatan
dan pencapaian murid dalam aktiviti jasmani dan kesihatan.
Selain
itu, sukan dan permainan, aktiviti kokurikulum dan aktiviti ekstrakurikulum
(contohnya penglibatan sebagai ahli kumpulan marhaban yang dianjurkan oleh JK
Surau tempat murid tinggal dan aktiviti bermanfaat lain yang dianjurkan oleh
pihak luar selain sekolah).
Pentaksiran
Pkisometrik pula dilaksanakan di peringkat sekolah atau pusat untuk mengukur
kebolehan (innate ability and acquired ability) semulajadi murid, kemahiran
berfikir, kemahiran menyelesaikan masalah, minat, kecenderungan, sikap dan
personaliti murid. Pentaksiran ini tidak berasaskan kurikulum.
-
Utusan
0 comments:
Post a Comment