Thursday, December 20, 2012

Ambil Guru Bahasa Inggeris Dari India?

NEW DELHI: Malaysia berminat untuk mengambil guru dari India yang mahir dalam bahasa Inggeris untuk mengajar mata pelajaran itu di tanah air, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Salah satu cadangan yang saya telah bawa untuk pertimbangan kepada Perdana Menteri India, Dr Manmohan Singh pada pagi tadi ialah untuk kita menerima sejumlah guru-guru dari India yang mahir dalam bahasa Inggeris untuk mengajar pelajar-pelajar kita di Malaysia," katanya.

Beliau berkata Manmohan menyambut baik cadangan itu dan akan mengarahkan menteri yang berkenaan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pelajaran untuk merealisasikan hasrat itu.

"Ia sebagai menokok tambah usaha-usaha yang kita telahpun jalankan dengan pihak Amerika Syarikat yang telah menghantar sebanyak 75 guru dari sana untuk mengajar Bahasa Inggeris," katanya kepada pemberita Malaysia selepas mesyuarat dua hala selama 30 minit dengan Manmohan di sini, pada Khamis.

Ditanya bila penyumberan guru itu akan bermula, Najib berkata :"Kami akan bincangkannya kemudian. Perlu ada perjanjian terlebih dahulu. Kemudian saya perlu rujuk kepada Kementerian Pelajaran dan ia bergantung kepada terma dan syarat, kami akan rumuskannya dan beritahu jumlahnya kemudian."

Turut hadir pada mesyuarat dua hala itu ialah Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Duta Khas (Infrastruktur) Malaysia ke India dan Asia Selatan Datuk Seri S. Samy Vellu dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke India Datuk Tan Seng Sung.

Malaysia mahu kerjasama dengan India bersifat pelbagai dan komprehensif, kata Najib yang berada di New Delhi untuk menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan Asean-India selama dua hari bermula Khamis.

"Memandangkan bahawa mereka menghantar begitu ramai pelajar-pelajar mereka ke luar negara, ada kemungkinan mereka boleh melihat pada Malaysia sebagai alternatif untuk menghantar pelajar-pelajar mereka.

"Malaysia juga perlu adakan lebih banyak promosi "Pameran Pendidikan" dan sebagainya kerana mereka kurang pengetahuan mengenai kemampuan kita menyediakan pendidikan berkualiti dengan kos yang begitu kompetitif", kata Najib.

- BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

Penafian: Pihak admin tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan dan kerosakan yang dialami semasa/selepas melayari blog ini atau menggunakan sebarang maklumat dari dalam blog ini. Komen-komen yang dikirimkan diblog ini juga adalah menjadi tanggungjawab pengirim itu sendiri. Terima kasih.

ENGLAND PREMIER LEAGUE

 
Please use Google Chrome to get the best view with 1280 x 800 resolution and above | Thanks for visiting cgazmi.blogspot.com | Bloggerized by Cg Azmi