KUALA LUMPUR, 11 Dis (Bernama) --
Seorang anggota Dewan Negara Selasa mencadangkan Dasar Pendidikan Vokasional
diwujudkan dalam usaha menampung dan memberi pendidikan yang relevan kepada
pelajar yang kurang berminat atau rendah prestasi akademiknya.
Senator Datuk Dr Firdaus Abdullah
berkata ia juga perlu untuk memenuhi keperluan tenaga kerja negara dalam
pelbagai bidang teknikal seperti pembinaan, elektrik dan komputer supaya
kebergantungan kepada sumber tenaga asing dapat dikurangkan.
"Saya mencadangkan pendidikan
vokasional diberi perhatian lebih serius dengan mewujudkan satu dasar yang
komprehensif. Pendidikan vokasional perlu dijadikan satu komponen utama dalam
sistem pendidikan negara yang dirancang secara teratur dan sistematik,
dilengkapi dengan tenaga pengajar mahir serta peralatan moden terkini,"
katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2013 pada Persidangan
Dewan Negara di sini.
Beliau berkata bagi tujuan yang sama,
sekolah vokasional dan latihan vokasional sedia ada bukan sahaja perlu
diteruskan, malah diperkasa dan diperbanyakkan lagi.
"Galakkan pelajar mengenal pasti
minat dan kecenderungan dalam bidang tertentu dan wujudkan kerjasama sinergi
dengan pihak industri untuk melatih mereka," katanya.
-- BERNAMA
0 comments:
Post a Comment