KUALA LUMPUR 24 Julai - Majlis
Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) menggesa kerajaan
membuat keputusan tegas berhubung cadangan membenarkan pelajar membawa telefon
bimbit dan iPad ke sekolah.
Presidennya, Prof. Madya Datuk Mohd.
Ali Hassan berkata, selain mengganggu proses pembelajaran, ia juga boleh
mewujudkan budaya tidak sihat dalam kalangan pelajar.
"Langkah membenarkan pelajar
membawa telefon bimbit hanya akan menganggu tumpuan mereka pada sesi
pembelajaran ketika berada di dalam kelas.
"Langkah itu juga dikhuatiri akan
mengundang beberapa masalah lain seperti kecurian, penyalahgunaan dan wujud
jurang antara berkemampuan dan kurang berkemampuan dalam kalangan
pelajar," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Timbalan
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin Khamis lalu yang menegaskan, belum
ada sebarang keputusan dibuat terhadap cadangan membenarkan pelajar membawa
telefon bimbit dan iPad ke sekolah.
Jelas Muhyiddin yang juga Menteri
Pelajaran, perkara tersebut hanya salah satu cadangan yang diusulkan dalam
mesyuarat Jawatankuasa Disiplin peringkat kementerian yang dipengerusikan oleh
timbalannya, Datuk Dr. Wee Ka Siong beberapa minggu lalu setelah mengambil kira
perkembangan teknologi terkini.
Mohd. Ali berkata, penggunaan peralatan
alat komunikasi itu turut dilihat akan membebankan pihak sekolah daripada aspek
kos dan masa.
"Saya bimbang ia akan meningkatkan
kos pihak sekolah dalam menyediakan lokar khas untuk menyimpan peralatan
elektronik itu kepada pelajar serta menambahkan beban guru untuk memantau
sewaktu proses pembelajaran," ujarnya.
Justeru jelasnya, kerajaan harus mengkaji
perkara tersebut secara mendalam terlebih dahulu sebelum membuat sebarang
keputusan agar ia tidak mendatangkan kesan negatif terhadap institusi
pendidikan negara.
- UTUSAN ONLINE
0 comments:
Post a Comment