Apakah punca kegagalan? Punca paling
besar adalah selalu membuat alasan.
Jadi, penyakit yang selalu ada dalam kalangan orang yang gagal adalah orang
yang selalu beralasan untuk berjaya dan melaksanakan tugasnya.
Tahukah anda bahawa orang yang bijak
tidak menggunakan alasan yang sama yang dibuat oleh orang yang gagal walaupun
mereka boleh melakukannya. Kadang-kadang, mereka juga sakit, keletihan, buntu
dan tiada idea tetapi mereka tidak menjadikan perkara ini sebagai penamat atau
penghalang daripada terus berusaha sebaliknya mereka menjadi lebih ghairah
untuk mencari penyelesaiannya.
Suatu perkara yang lebih buruk lagi,
orang yang selalu beralasan dengan sesuatu alasan, katakanlah dia selalu
beralasan bahawasanya dia tidak sihat, maka sebenarnya dia telah memfokuskan
dirinya dalam keadaan sakit dan tidak bermaya. Walaupun, dia tahu itu hanyalah
alasan yang dibuat pada sesuatu ketika tetapi dia lupa bahawasanya perkara itu
sedang berakar umbi dalam dirinya. Seluruh tubuh sedang berusaha untuk
menjadikan dirinya lemah dan tidak bermaya kerana dia telah memikirkan
demikian.
Apakah alasan yang sering orang gagal
gunakan ?
1. Saya tidak sihat - Ini alasan yang paling banyak sekali digunakan.
Bayangkan, kita banyak gunakan alasan ini dan hasilnya kita tidak ke kelas atau
tempat kerja berhari-hari. Katakanlah dalam setahun, kita telah menggunakan
alasan ini 5 kali bermakna kita telah menghabiskan diri masa kita untuk berada
dalam alasan ini selama 5 hari. Dan 5 hari bermakna 5 x 24 jam = 120 jam. Lama
tu!
Apakah sakit yang bermasalah? Tidak.
Sakit tidak bermasalah tetapi yang bermasalah adalah menggunakan alasan sakit
untuk duduk dan berbaring semata-mata tanpa melakukan apa-apa kerja. Anggapkan
hari sakit anda seperti hari-hari biasa. Lakukan kerja harian seperti biasa dan
abaikan fikiran kita daripada mengingati sakit. Jangan bercakap dengan orang
lain tentang sakit dan keadaan anda kerana ianya hanyalah menambahkan lagi
kesakitan dan anda lebih tidah bermaya. Syukurlah dengan apa yang anda hadapi
sekarang. Berapa lama anda mengecapi nikmat kesihatan sebelum Allah berikan
kesakitan? Pastinya kesakitan ini hanyalah sekejap jika dibandingkan dengan
kesihatan.
2. Saya tidak cukup pandai - Ini adalah sikap orang yang terlalu
merendah diri. Puncanya, anda terlalu memandang rendah terhadap keupayaan diri
sendiri dan memandang tinggi keupayaan orang lain. Pandanglah diri kita sebagai
insan yang luar biasa dan mempunyai kemampuan yang istimewa yang belum kita
cungkilkan lagi. Cari peluang untuk mencungkil bakat yang terpendam itu.
Ingatlah bahawa ilmu bukanlah kuasa
atau penyebab seseorang itu berjaya kerana ramai orang yang berilmu tetapi
tersungkur di tengah jalan menuju kejayaan. Ilmu adalah potensi kuasa sahaja,
sebaliknya yang menjadikannya berkuasa adalah mengaplikasikan ilmu.
3. Saya terlalu muda/ tua - Faktor umur dalam menggapai kejayaan
adalah tidak penting. Semua orang mampu berjaya. Tiada istilah terlewat dalam
berjaya. Selagi mana anda ada keinginan untuk berjaya maka anda mampu
melakukannya. Ramai orang muda yang mengetuai organisasi yang kebanyakan
ahlinya adalah orang tua. Yang penting bukan tua atau muda tetapi bagaimana
anda menguruskannya dan menghargai orang lain yang lebih tua daripada anda.
4. Saya sentiasa bernasib malang - Siapakah yang tahu
nasib anda? Allah sahaja yang Maha Mengetahui. Apakah kerja anda? Usaha dan
tawakkal kepada Allah s.w.t. Mengharapkan nasib semata-mata adalah seperti
mengharapkan bulan jatuh ke riba.
Buatlah perubahan. Pasti di sana ada
sedikit kekurangan yang perlu diperbaiki. Tingkatkan diri anda kepada yang
lebih baik. Banyakkan membaca dalam bidang yang diceburi serta buat sedikit
kajian tentang kelebihan dan kelemahan diri sendiri dalam bidang tersebut serta
kelebihan dan kekurangan pihak lain. Insya Allah, pastinya anda akan mendapat
peluang yang diharapkan.
0 comments:
Post a Comment