Dendam biasanya bermula dengan marah.
Rasa tidak puas hati dan akhirnya syaitan menyalutnya dengan benci. Kadangkala,
suasana ini bermula dengan posisi kita sebagai pesalah. Kita tidak puas hati
ditegur. Kita timbulkan berbagai alasan untuk membuatkan teguran itu sesuatu
yang perlu kita marahkan. Kadangkala, suasana ini bermula dengan posisi kita
sebagai tidak bersalah. Tiba-tiba ada orang aniaya kita, kadang-kadang menerima
kata keji atau segala tindakan sengaja yang membuatkan kita marah. Maka kita
timbulkan berbagai alasan untuk membuatkan situasi itu sebagai untuk
menghamburkan amarah atau memendam rasa marah.
Mungkin kita akan rasa puas hati
selepas menghamburkan segala kata amarah. Tetapi, ia memberikan luka yang
dalam. Baik kepada yang dimarahi, atau kita sebagai pemarah.
Sebab itu, Islam menganjurkan
bermaafan, dengan kemaafan, hati manusia itu akan bahagia.
Memang tidak mudah melafazkan kata maaf
atau meminta maaf. Kita akan rasa diri kita rendah. Kita akan rasa bahawa
kitalah yang kalah. Kita akan rasa bahawa dengan meminta maaf atau memaafkan
maka kita kelihatan seperti pesalah atau kita berasa lemah.
Kita sedar, yang menghadang antara
memaafkan dengan tidak atau melafazkan kata meminta maaf adalah sebuah tembok
bernama EGO!
Kita sentiasa mendambakan kebahagiaan
dan ketenangan hati tetapi, apakah jalan ke arah kebahagiaan itu mudah
sentiasa? Tidak. Ia memerlukan pengorbanan.
Maka, untuk mendapat ketenangan hati
dari tindakan memaafkan atau meminta maaf, kita perlu mengorbankan ego kita.
Percayalah bahawa, Allah akan
memberikan kita sesuatu yang lebih baik, apabila kita memaafkan sesiapa yang
menganiaya kita atau meminta maaf atas kealpaan kita sesama manusia.
“…dan hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang itu;
tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? Dan (ingatlah) Allah
Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” Surah An-Nuur ayat 22.
Ganjarannya adalah keampunan Allah.
Hanya dengan keajaiban kata MAAF. Tidakkah ganjaran itu sangat besar berbanding
kesakitan jiwa memendam amarah?
Memaafkan mempunyai khasiat yang
banyak. Selain menjaga hubungan harmonis antara sesama manusia, ia juga
mengetuk kesedaran jiwa akan kesalahan diri sendiri terhadap orang lain.
Sebagaimana Rasulullah saw yang amat
pemaaf, sifatnya itu mengetuk kesedaran pada ramai musuh-musuhnya. Kita dapat
melihat betapa besarnya peribadi Rasulullah s.a.w apabila baginda memaafkan
seluruh kaum Musyrikin Makkah ketika peristiwa Fathu Makkah.
Betapa memaafkan itu dapat mengurangkan
tekanan, dan mengekalkan kemudaan. Manakala menyimpan dendam, menahan kemaafan
mampu merosakkan sistem tubuh. Hal ini kerana apabila manusia berterusan marah,
maka kitar suhu tubuh dan peraliran darahnya menjadi tidak teratur dan tidak
seimbang.
Sentiasalah kita meminta
maaf dan memaafkan. Jadilah orang yang hebat dan besar jiwanya, bukan orang yang besar egonya. Sesungguhnya kita manusia yang lemah, yang sentiasa diulit keegoan dengan kebolehan, kedudukan dan pangkat diri yang tidak seberapa. MasyaAllah
0 comments:
Post a Comment