YOGYAKARTA,
5 Julai (Bernama) -- Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pendidikan tingkatan enam
akan melalui penjenamaan semula bagi meningkatkan imejnya sejajar dengan sistem
pendidikan pra universiti seperti di kolej matrikulasi dan pusat asasi sains.
Timbalan
Perdana Menteri berkata antara langkah-langkah yang akan diambil ialah
memisahkan para pelajar berkenaan dari sekolah-sekolah biasa dan menempatkan
mereka di pusat-pusat pengajian khas untuk tingkatan enam.
"Kami
sedang memikirkan untuk menyatukan tingkatan enam, menggunakan pakaian yang
berbeza, jadual waktu yang tidak sama, guru yang tidak sama, kategori yang lain
sedikit (secara perbandingan dengan sekolah biasa)," katanya kepada
wartawan Malaysia di sini, pada Khamis.
Muhyiddin,
yang juga Menteri Pelajaran berada di sini sejak semalam kerana menghadiri
mesyuarat Menteri-menteri Pelajaran Asean dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan
dengannya yang berakhir Khamis.
Timbalan
Perdana Menteri berkata bagi menjayakan cadangan itu, pelajar-pelajar tingkatan
enam wajar ditempatkan di pusat-pusat pengajian khas kerana bilangan mereka
kini bertaburan di seluruh negara belajar dalam satu atau dua kelas di
sekolah-sekolah tertentu.
Pada
tahun ini, ada sejumlah 83,000 pelajar tingkatan enam dan 26,000 pelajar
matrikulasi di seluruh negara.
Langkah
untuk memisahkan pelajar tingkatan enam dari sekolah biasa juga selaras dengan
kedudukan mereka sebagai pelajar pra universiti.
Umum
pada masa ini melihat pendidikan tingkatan enam adalah kesinambungan daripada
pendidikan tingkatan lima sedangkan mereka enam adalah dalam kategori yang
berbeza dan lebih matang daripada segi pemikiran, katanya.
Muhyiddin
berkata penjenamaan semula itu perlu untuk memperlihat bahawa tingkatan enam
memang sebenarnya adalah pendidikan pra universiti yang setanding dengan
peringkat kolej matrikulasi Kementerian Pelajaran dan pusat asasi sains anjuran
universiti-universiti awam tempatan.
Persepsi
masyarakat sekarang ialah pendidikan di kolej matrikulasi adalah lebih baik
daripada di tingkatan enam, sedangkan kelulusan dan kelayakan mereka untuk
bersaing masuk ke universiti awam adalah sama.
Masyarakat,
katanya, tidak harus melihat bahawa pendidikan matrikulasi mempunyai kelebihan
kerana ada masanya, pencapaian pelajar tingkatan enam malah lebih cemerlang
daripada pelajar matrikulasi.
Sehubungan
itu pelajar-pelajar lepasan SPM harus juga melihat bahawa pendidikan tingkatan
enam juga merupakan antara pilihan terbaik untuk pendidikan pra universiti.
Timbalan
Perdana Menteri berkata, perubahan dalam sistem pendidikan tingkatan enam
telahpun dimulakan tahun ini melalui sistem pembelajaran tiga semester namun
secara perbandingan pelajar matrikulasi menamatkan pengajian mereka enam bulan
lebih awal.
Ditanya
tentang kemungkinan pendidikan tingkatan enam dipendekkan enam bulan lebih awal
supaya bersamaan dengan tempoh pembelajaran di kolej matrikulasi, beliau
berkata perkara itu akan dikaji oleh Kementerian Pelajaran.
-
BERNAMA
0 comments:
Post a Comment