Isu
mengenai kredibiliti guru tidak pernah selesai walaupun pelbagai usaha
dilakukan bagi memperkukuh dan meninggikan taraf guru pada alaf baru.
Antara
pertikaian yang sering dipersoalkan ialah sejauh mana kemampuan golongan itu
menjalankan tanggungjawab serta tekanan dunia pekerjaan yang semakin
meningkat.
Biarpun
banyak pembaharuan dibuat bagi menangani masalah ‘kelemahan’ guru terutama guru
baru, banyak kepincangan yang menyebabkan golongan itu mendapat kritikan.
Persoalannya,
apakah kualiti guru baru yang dihasilkan hari ini masih rendah dan jauh
daripada piawaian ditetapkan, sekali gus menunjukkan kegagalan institusi
menyediakan guru berprestasi tinggi?
Apakah
sistem yang diguna pakai tidak relevan dan memerlukan pendekatan terkini bagi
menyaingi kemajuan pendidikan global?
Atau
adakah guru berkenaan yang bermasalah?
Seterusnya,
mengapa sebahagian guru baru masih gagal mengaplikasikan ilmu diperoleh di
institusi untuk mempertingkatkan kualiti diri sesudah menceburi alam pekerjaan?
Pengarah
Pusat Latihan Mengajar dan Industri, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)
Prof Madya Dr Ahmad Jazimin Jusoh berkata, kegagalan guru baru mengaplikasi
ilmu diperoleh tidak boleh diletakkan di bawah tanggungjawab institusi
semata-mata.
Beliau
berkata, institusi sudah menyediakan modul lengkap bagi melahirkan kalangan
guru terbaik sebelum memasuki pasaran kerjaya.
“Namun,
ada sebilangan mereka ‘gagal’ mengaplikasikannya kerana menyangka dunia
kerjaya sebenar hanya memerlukan kekuatan teori semata-mata.
“Mereka
masih teraba-raba menyesuaikan diri dengan bidang perguruan yang dipilih.
“Mereka
juga mungkin beranggapan, dunia pendidikan masih sama seperti dulu sedangkan
bidang ini melalui pelbagai transformasi yang memerlukan guru bertindak di luar
kepompong lama,” katanya.
Beliau
berkata, setiap guru atau bakal guru perlu bersedia menunjukkan tanggungjawab
yang dituntut bagi mengelak imej mereka dipertikaikan.
Menurutnya,
biar apapun status guru sama ada berpengalaman atau tidak, mereka perlu
‘membiasakan’ diri dengan perubahan dunia pendidikan moden seperti dikehendaki
persekitaran semasa.
“Tuntutan
untuk berubah atau menerima pembaharuan boleh dijadikan pemangkin guru terus
memperbaiki diri atau kelemahan mengajar.
“Ia
juga sebagai isyarat memberitahu masyarakat bahawa guru bukan sentiasa
ketinggalan dengan cara pengajaran lapuk, tapi sebaliknya mengikuti perubahan
semasa.
“Jika
ia ditonjolkan, saya yakin isu pertikaian mengenai kemampuan guru masa kini
dalam apa jua aspek mampu dikurangkan, sekali gus mengubah pandangan
persekitaran,” katanya.
Beliau
berkata, guru perlu komited untuk melaksanakan tugasan dan tidak harus
tertakluk pada aspek pengajaran berbentuk tradisional.
“Cara
pengajaran seperti itu sudah kurang relevan kini kerana pelajar moden
mengkehendaki satu elemen pembelajaran yang berupaya mencabar kemampuan mereka
dari pelbagai sudut.
“Jika
guru mengajar dengan hanya duduk dan berpandukan buku semata-mata, percayalah
hanya segelintir kecil pelajar yang mengikuti proses pembelajaran.
“Tapi,
jika guru aktif, mempunyai daya tarikan dalam pembelajaran seperti penggunaan
bahan interaktif, saya percaya pelajar lebih bersemangat dan mampu menguasai
pembelajaran dengan baik,” katanya yang tidak menafikan guru baru berdepan
masalah ketika memulakan kerjaya.
“Itu
tidak dapat dielak kerana mereka belum mempunyai pengalaman mantap dalam
pengajaran. Tapi, ia juga bukan alasan untuk tidak berusaha memperbaiki
kelemahan.
“Ya
benar, mereka ada ilmu yang dipelajari di universiti dan sedikit pengalaman
ketika menjalani latihan industri.
“Tapi,
berada dalam dunia pendidikan sebenar tidak sama dengan belajar atau menjalani
latihan. Jika tidak berusaha, perubahan tidak mungkin boleh berlaku,” katanya.
Pada
masa sama, guru baru juga perlu akur mereka memerlukan bimbingan dan tunjuk
ajar guru lama manakala guru lama juga perlu menerima hakikat bahawa cara
pengajaran lama perlu berubah.
Menurutnya,
konflik pasti timbul andai kata cara pengajaran dan pembelajaran tidak diselarikan
dengan perubahan semasa.
“Sekarang
abad baru yang memerlukan tindakan aktif, pantas, menarik dan pelbagai lagi
pendekatan untuk mendekati pelajar.
“Tetapi,
ada lagi guru yang menggunakan pendekatan sehala selain mengabaikan penggunaan
teknologi dalam pengajaran sehingga menimbulkan konflik yang lain pula.
“Cara
pengajaran tradisi itu bukan saja dilakukan guru lama, malah ada juga guru baru
melakukan perkara sama sedangkan ketika di institusi sudah diajar bagaimana
cara pengajaran yang betul,” katanya.
Latihan
praktikal yang diterapkan institusi, katanya, hanya sebagai pemangkin kepada
bakal guru untuk merasai suasana pekerjaan sebenar, namun tindakan lanjut
bergantung kepada usaha guru bagaimana mahu memperbaiki kelemahan atau
melonjakkan kemampuannya.
“Sebab
itu, guru kena berusaha sendiri untuk mengolah cara pengajaran supaya sesuai
dengan kehendak pelajar kerana matlamat akhirnya sudah tentu kepada pelajar.
“Saya
tidak salahkan masyarakat sepenuhnya andai kata mereka mempertikaikan kewibawaan
guru kerana akui ada guru walaupun sudah lama berkhidmat masih tidak mampu
‘mengikat’ pelajar dengan sesi pembelajaran bagus.
“Justeru,
jalan penyelesaian perlu dicari supaya senario ini tidak mengganggu guru lain
yang komited melaksanakan tanggungjawabnya,” katanya.
-
Harian Metro
1 comments:
good luck
Post a Comment