Ibadah berasal dari Bahasa Arab yang
bererti ketaatan, penghambaan dan penyembahan/ pengagungan. Menurut Ibnu
Taimiyyah, ibadah mengabungkan setiap perkara yang disukai dan diredhai Allah
dari jenis perkataan atau perbuatan lahir dan batin. Ibadah dalam Islam
bukanlah terhad kepada amalan ibadah ritual semata-mata seperti sembahyang,
puasa, haji dan sebagainya (ibadah khusus), malah ibadah merangkumi,
kerja-kerja kemasyarakatan dan sosial, mencari rezeki, sehinggalah kepada
mengurus dan mentadbir negara. Kerja pula merupakan kesungguhan seseorang
melakukan sesuatu perkara bagi mendapatkan upah atau ganjaran. Manakala amanah
pula bermaksud memenuhi dan mematuhi segala apa yang telah dipertanggungjawabkan.
Konsep kerja, ibadah dan amanah adalah
merupakan tugas atau tanggungjawab untuk meraih pendapatan yang dilakukan oleh
seseorang untuk mencari keredhaan Allah SWT. Ia berkaitan dengan apa yang boleh
dan apa yang tidak boleh dilakukan, halal dan haram, syurga atau neraka. Di
antara ciri-ciri pekerja dan pekerjaan yang dianggap sebagai ibadah adalah:-
- Pekerjaan yang disertakan dengan niat mendapat keredhaan Allah;
- Pekerjaan itu mestilah perbuatan yang harus atau boleh dikerjakan menurut syarak;
- Tidak meninggalkan perkara-perkara wajib.
- Menghasilkan kerja yang berkualiti.
- Dilaksanakan dengan tekun, cekap dan bersungguh-sungguh;
- Berasaskan prinsip syariah seperti amanah, adil dan bertanggungjawab;
Menghindarkan diri dari perasaan riak,
(menunjuk-nunjuk), ingin dipuji dan terkenal sebagai orang yang rajin, tekun,
orang baik dan ingin disebut-sebut sebagai ahli ibadah oleh orang ramai, suka
berbangga dengan memberitahu kepada orang lain akan amal kebajikannya dan
menghindarkan diri dari merasa bangga kerana ia telah banyak berbuat kebajikan
dan amal ibadah.
Islam mengajar umatNya agar sentiasa
berusaha mengamalkan budaya kerja yang cemerlang dengan bertunjangkan iman dan
akhlak. Sentiasa memenuhi tuntutan kerja dan tidak lalai atau sambil lewa melaksanakannya.
Bagi yang menyedari hakikat ini, mereka akan sentiasa berusaha meningkatkan
kualiti dan produktiviti pada setiap masa tanpa rasa jemu. Mereka sedar bahawa
bekerja itu bukan sekadar mendapat upah atau gaji malah tanggungjawab terhadap
diri, keluarga, masyarakat dan negara, lebih-lebih lagi ia merupakan amanah Allah SWT.
Berapa ramai di antara kita (pekerja)
yang sedar tentang perkara ini. Berapa ramai komuniti pekerja yang memandang
remeh mengenai kerja, bekerja dengan sambil lewa, curi tulang, menggunakan
peralatan pejabat untuk kepentingan peribadi, banyak berbual kosong, lewat
memulakan tugasan, sengaja menangguhkan kerja dan berbagai lagi amalan atau
sikap buruk yang ditunjukkan. Apabila ditegur, timbul pulak rasa tidak puas
hati dan marah atau memberi pelbagai alasan bagi menutup kelemahan diri.
“Makanlah (wahai orang-orang yang beriman) dari apa yang telah dikurniakan
oleh Allah kepada kamu dari benda-benda yang halal lagi baik dan bersyukurlah
akan nikmat Allah, jika benar kamu hanya menyembah Allah semata-mata.” (Surat
An-Nahl, ayat 70)
Justeru, marilah sama-sama kita
bermuhasabah dan istiqamah pada niat seawal melangkah keluar dari rumah bahawa
semua kerja yang dilaksanakan kerana Allah SWT. Mudah-mudahan setiap pergerakan
dari mula hingga pulang ke rumah dikira sebagai ibadah dan rezeki yang diterima
penuh dengan keberkatan.
SubhanaAllah.
0 comments:
Post a Comment