Pelan
Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM) yang dilancar hari ini dilihat
sebagai pelan holistik yang mampu mentransformasi pendidikan negara ke
peringkat global.
Pelbagai
pihak berpendapat ia satu anjakan bestari kerajaan dalam usaha membangunkan
sistem pendidikan negara bagi melahirkan pelajar dan guru yang mampu menghadapi
cabaran abad ke-21.
Ini
terutama usaha kerajaan memperketat pengambilan guru yang diharapkan dapat menjadikan
profesion itu sebagai kerjaya yang dipandang tinggi dan berprestij, khususnya
pengambilan yang akan dibuat dalam kalangan graduan 30 peratus terbaik negara,
menurut Presiden Persatuan Kumpulan Ibu Bapa Bertindak Untuk Pendidikan (Page)
Datin Noor Azimah Abdul Rahim.
Beliau
berkata peraturan itu juga dapat mengelak berlakunya profesion perguruan
dijadikan tempat pilihan terakhir bagi mereka yang sukar mencari pekerjaan
hingga menyebabkan terdapat pihak yang memandang rendah profesion itu.
"Ini
berbeza dengan masa dahulu. Profesion sebagai guru amat disanjungi kerana tugas
mereka mendidik anak bangsa," katanya ketika dihubungi Bernama di sini
Jumaat.
Noor
Azimah berkata peraturan yang ketat dalam pengambilan guru dapat memastikan
beberapa masalah akibat pengambilan guru secara 'tangkap muat', iaitu tanpa
mengambil berat mengenai kelayakan atau kemahiran mengajar, dapat diselesaikan.
Sementara
itu Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Pendidikan Universiti Putra Malaysia
(UPM) Dr Wan Marzuki Wan Jaafar optimis pelan pembangunan pendidikan itu dapat
membantu melahirkan golongan berpengetahuan luas serta melahirkan golongan
pelajar berdaya saing, sesuai dengan keperluan negara pada masa hadapan.
Beliau
bagaimanapun berkata dalam memilih graduan berkelayakan untuk menjadi guru,
pihak Kementerian Pendidikan juga perlu mengambil mereka yang berminat kerana
bidang pendidikan menuntut komitmen yang amat tinggi.
"Bukan
mudah untuk mendidik anak bangsa terutama pada zaman teknologi tinggi ini
kerana mereka lebih terdedah, menyebabkan kesabaran yang sangat tinggi
diperlukan, dan mereka yang benar-benar berminat dan mempunyai komitmen yang
dapat melakukan tugasan itu dengan sepenuh hati," katanya.
Sementara
itu, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Lok Yim
Peng berkata dari segi dasar, pelan pembangunan pendidikan itu sangat baik
secara keseluruhannya, namun beliau sedikit bimbang dengan pelaksanaannya yang
perlu diberi perhatian oleh kepimpinan sekolah.
Katanya
kepimpinan sekolah perlu mantap dari segi persediaan guru dan kemudahan
infrastruktur supaya pengajaran dan pembelajaran berlangsung dengan efektif.
"Di
sini guru-guru bukan hanya perlu memahami pelan pendidikan ini tetapi sanggup
melaksanakan serta menggembleng tenaga untuk menjayakan aspirasi
kerajaan," katanya.
PPPM
mempunyai 11 anjakan untuk transformasi sistem pendidikan negara antaranya
mentransformasi profesion perguruan menjadi profesion pilihan dan memastikan
setiap murid menguasai kemahiran dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris serta
digalakkan mempelajari bahasa tambahan lain.
-
BERNAMA
Klik Bahan Di Bawah Untuk Muat Turun Dokumen Pelan
Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM):
·
PPPM
0 comments:
Post a Comment