Urusan
pentadbiran sekolah akan diambil alih oleh pembantu pentadbiran secara
berperingkat bagi mengurangkan bebanan tugas guru, kata Timbalan Perdana
Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau
berkata sekurang-kurangnya seorang pembantu pentadbiran akan ditempatkan di
setiap daripada 10,000 buah sekolah di negara ini secara berperingkat.
"Kita
sudah putuskan 10,000 petugas dihantar secara berperingkat supaya beban guru
dapat diserahkan kepada petugas baharu ini bagi menguruskan hal berkaitan
pentadbiran.
"Soal
pengajaran dan pembelajaran itu masih tanggungjawab guru," katanya dalam
rancangan 'Soal Jawab' terbitan TV3 yang dikendalikan oleh Pengarah Eksekutif
Berita dan Operasi Editorial Media Prima Bhd, Datuk Ahmad Talib di sini Rabu
malam.
Muhyiddin,
yang juga Menteri Pendidikan, berkata langkah bagi mengurangkan bebanan guru
itu terkandung di dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025
yang akan dilancarkan Jumaat ini.
Beliau
berkata pelan itu adalah hasil gabungan pandangan dari semua kelompok termasuk
pelajar, pihak berkepentingan dan kumpulan ekstrim bagi memastikan ia dapat
meningkatkan pencapaian pelajar dan sistem pendidikan negara setanding dengan
negara maju.
"Ini
semua terhasil dari kehendak masyarakat dan pakar-pakar pendidikan baik di
dalam mahupun di luar negara iaitu dari Korea Selatan, Singapura dan Kanada
yang kita jemput untuk berikan pandangan," katanya.
Muhyiddin
berkata ada sesetengah pihak yang kurang bersetuju dengan beberapa perkara yang
terkandung di dalam pelan itu, tetapi setelah diberikan penjelasan mereka akur
dan menyokong pelaksanaan PPPM.
"Dua
hari lepas saya ada berjumpa dengan Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Hua
Zong), mereka bertanyakan apakah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Tamil
(SJKT) ada lagi lepas pelaksanaan pelan ini, saya jawab ya ada.
"Persekutuan
Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) pula
kata kami nak hapuskan Bahasa Cina, saya kata mana ada di dalam laporan itu
yang menyatakan sedemikian," katanya.
Mengenai
tuntutan Dong Zong yang tidak mahu menambah waktu pembelajaran Bahasa Melayu di
SJKC kerana khuatir pembelajaran bahasa Cina akan terhapus, Muhyiddin berkata
bahasa ibunda mereka itu tidak akan terhapus kerana hasrat kerajaan adalah
untuk merapatkan jurang penguasaan Bahasa Melayu di antara pelajar Cina di SJKC
dengan pelajar Cina yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan.
"Kita
hendak rapatkan jurang sebab itu ditambah waktu, kita cadangkan supaya buat
jadual waktu yang sesuai untuk menampung kekurangan dan kelemahan mereka,
mereka boleh gunakan kelas peralihan untuk perbaiki penguasaan Bahasa Melayu.
"Kelompok
ini bukannya menentang dan tidak bersetuju dengan PPPM, ada beberapa perkara
yang tidak jelas dan mereka fikir kita abaikan tetapi sebenarnya tidak,"
katanya.
Beliau
berkata walaupun 'ribut dan taufan' pelan itu akan dilaksanakan kerana ia
adalah hak rakyat dan untuk kebaikan mereka.
"Kita
hendak pastikan apa yang telah dirancang jangan ada penghalang ataupun
gangguan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pun sudah menyatakan
sokongan 100 peratus dengan PPPM dan sudah dimulakan dengan
peruntukan-peruntukan khas tambahan," katanya.
Muhyiddin
berkata beliau akan menyediakan laporan tahunan untuk mengetahui sejauh mana
pencapaian pelan itu dalam pelaksanaannya bagi tempoh setahun.
"Kita
mahu ketelusan, supaya rakyat tahu apa kemajuan dan kekurangan kita, apa yang
saya harapkan dari pelan ini ialah supaya pelajar terdidik dengan ilmu menerusi
sistem yang berkualiti serta pembentukan sahsiah bagi melahirkan modal insan
yang dapat memberikan bantuan kepada proses pembangunan negara," katanya.
Muhyiddin
berkata menerusi pelan itu juga, peranan ibu bapa melalui Persatuan Ibu Bapa
dan Guru (PIBG) akan diperkukuhkan kerana mereka juga memainkan peranan penting
dalam memastikan kecemerlangan pendidikan anak mereka.
"Peranan
ibu bapa dalam pelan ini diiktiraf, baru-baru ini kita lancarkan Sarana iaitu
toolkit panduan bagaimana ibu bapa boleh memberikan sumbangan dalam membantu
sekolah dan anak mereka dalam pembelajaran," katanya.
Beliau
berkata kementerian juga akan mengadakan latihan dan kursus kepada PIBG supaya
ibu bapa tidak melepaskan sepenuhnya proses mendidik anak mereka kepada guru di
sekolah.
Beliau
berkata menerusi sistem Bestari Net iaitu sistem internet yang sudahpun
diaplikasikan di sekolah-sekolah, ibu bapa juga boleh mengakses internet untuk
mengetahui pencapaian anak mereka dalam semua mata pelajaran.
-
BERNAMA
0 comments:
Post a Comment