Monday, September 23, 2013

Guru Perlu Berubah Selari Transformasi

Isu mengenai kredibiliti guru tidak pernah selesai walaupun pelbagai usaha dilakukan bagi memperkukuh dan meninggikan taraf guru pada alaf baru.

Antara pertikaian yang sering dipersoalkan ialah sejauh mana kemampuan golongan itu menjalankan tanggung­jawab serta tekanan dunia pekerjaan yang semakin meningkat.

Biarpun banyak pembaharuan dibuat bagi menangani masalah ‘kelemahan’ guru terutama guru baru, banyak kepincangan yang menyebabkan golongan itu mendapat kritikan.

Persoalannya, apakah kualiti guru baru yang dihasilkan hari ini masih rendah dan jauh daripada piawaian ditetapkan, sekali gus menunjukkan kegagalan institusi me­nyediakan guru berprestasi tinggi?

Apakah sistem yang diguna pakai tidak relevan dan memerlukan pendekatan terkini bagi menyaingi kemajuan pendidikan global?

Atau adakah guru berkenaan yang bermasalah?

Seterusnya, mengapa sebahagian guru baru masih gagal mengaplikasikan ilmu diperoleh di institusi untuk mempertingkatkan kualiti diri sesudah menceburi alam pekerjaan?

Pengarah Pusat Latihan Mengajar dan Industri, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Prof Madya Dr Ahmad Jazimin Jusoh berkata, kegagalan guru baru mengaplikasi ilmu diperoleh tidak boleh diletakkan di bawah tanggungjawab institusi semata-mata.

Beliau berkata, institusi sudah menyediakan modul lengkap bagi melahirkan kalangan guru terbaik sebelum memasuki pasaran kerjaya.

“Namun, ada sebila­ngan mereka ‘gagal’ meng­aplikasikannya kerana menyangka dunia kerjaya sebenar hanya memerlukan kekuatan teori semata-mata.

“Mereka masih teraba-raba menyesuaikan diri dengan bidang perguruan yang dipilih.

“Mereka juga mungkin beranggapan, dunia pendidikan masih sama seperti dulu sedangkan bidang ini melalui pelbagai transformasi yang memerlukan guru bertindak di luar kepompong lama,” katanya.

Beliau berkata, setiap guru atau bakal guru perlu bersedia menunjukkan tanggungjawab yang dituntut bagi mengelak imej mereka dipertikaikan.

Menurutnya, biar apapun status guru sama ada berpengalaman atau tidak, mereka perlu ‘membiasakan’ diri dengan perubahan dunia pendidikan moden seperti dikehendaki persekitaran semasa.

“Tuntutan untuk berubah atau menerima pembaharuan boleh dijadikan pemangkin guru terus memperbaiki diri atau kelemahan mengajar.

“Ia juga sebagai isyarat memberitahu masyarakat bahawa guru bukan sentiasa ketinggalan dengan cara pengajaran lapuk, tapi sebaliknya mengikuti perubahan semasa.

“Jika ia ditonjolkan, saya yakin isu pertikaian mengenai kemampuan guru masa kini dalam apa jua aspek mampu dikurang­kan, sekali gus mengubah pandangan persekitaran,” katanya.

Beliau berkata, guru perlu komited untuk melaksanakan tugasan dan tidak harus tertakluk pada aspek pengajaran berbentuk tradisional.

“Cara pengajaran seperti itu sudah kurang relevan kini kerana pelajar moden mengkehendaki satu elemen pembelajaran yang berupaya mencabar kemampuan mereka dari pelbagai sudut.

“Jika guru me­ngajar dengan hanya duduk dan berpandukan buku semata-mata, percayalah hanya segelintir kecil pelajar yang mengikuti proses pembelajaran.

“Tapi, jika guru aktif, mempunyai daya tarikan dalam pembelajaran seperti penggunaan bahan interaktif, saya percaya pelajar lebih bersema­ngat dan mampu menguasai pembelajaran dengan baik,” katanya yang tidak menafikan guru baru berdepan masalah ketika memulakan kerjaya.

“Itu tidak dapat dielak kerana mereka belum mempunyai pengalaman mantap dalam pengajaran. Tapi, ia juga bukan alasan untuk tidak berusaha memperbaiki kelemahan.

“Ya benar, mereka ada ilmu yang dipelajari di universiti dan sedikit pengalaman ketika menjalani latihan industri.

“Tapi, berada dalam dunia pendidikan sebenar tidak sama dengan belajar atau menjalani latihan. Jika tidak berusaha, perubahan tidak mungkin boleh berlaku,” katanya.

Pada masa sama, guru baru juga perlu akur mereka memerlukan bimbingan dan tunjuk ajar guru lama manakala guru lama juga perlu menerima hakikat bahawa cara pengajaran lama perlu berubah.

Menurutnya, konflik pasti timbul andai kata cara pengajaran dan pembelajaran tidak diselarikan dengan perubahan semasa.

“Sekarang abad baru yang memerlukan tindakan aktif, pantas, menarik dan pelbagai lagi pendekatan untuk mendekati pelajar.

“Tetapi, ada lagi guru yang menggunakan pendekatan sehala selain me­ngabaikan penggunaan tek­nologi dalam pengajaran sehingga menimbulkan konflik yang lain pula.

“Cara pengajaran tradisi itu bukan saja dilakukan guru lama, malah ada juga guru baru melakukan perkara sama sedangkan ketika di institusi sudah diajar bagaimana cara pengajaran yang betul,” katanya.

Latihan praktikal yang diterapkan institusi, katanya, hanya sebagai pemangkin kepada bakal guru untuk merasai suasana pekerjaan sebenar, namun tindakan lanjut bergantung kepada usaha guru bagaimana mahu memperbaiki kelemahan atau melonjakkan kemampuannya.

“Sebab itu, guru kena berusaha sendiri untuk mengolah cara pengajaran supaya sesuai dengan kehendak pelajar kerana matlamat akhirnya sudah tentu kepada pelajar.

“Saya tidak salahkan masyarakat sepenuhnya andai kata mereka mempertikaikan kewibawaan guru kerana akui ada guru walaupun sudah lama berkhidmat masih tidak mampu ‘mengikat’ pelajar dengan sesi pembelajaran bagus.

“Justeru, jalan penyelesaian perlu dicari supaya senario ini tidak mengganggu guru lain yang komited melaksanakan tanggungjawabnya,” katanya.

- Harian Metro

1 comments:

Anonymous said...

good luck

Post a Comment

Penafian: Pihak admin tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan dan kerosakan yang dialami semasa/selepas melayari blog ini atau menggunakan sebarang maklumat dari dalam blog ini. Komen-komen yang dikirimkan diblog ini juga adalah menjadi tanggungjawab pengirim itu sendiri. Terima kasih.

ENGLAND PREMIER LEAGUE

 
Please use Google Chrome to get the best view with 1280 x 800 resolution and above | Thanks for visiting cgazmi.blogspot.com | Bloggerized by Cg Azmi