Sebanyak
40 peratus soalan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan 50
peratus soalan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan berbentuk pemikiran aras
tinggi menjelang 2016.
Perubahan
dalam reka bentuk peperiksaan itu bermaksud guru tidak lagi perlu meramal
soalan dan topik yang akan diuji dan melaksanakan latih tubi bagi mengingati
kandungan pelajaran.
"Sebaliknya
murid akan dilatih untuk berfikir secara kritis dan mengaplikasi pengetahuan
dalam situasi berbeza," demikian menurut Pelan Pembangunan Pendidikan
Malaysia (PPPM) 2013-2025.
Pelan
itu dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan Tan
Sri Muhyiddin Yassin di sini hari ini.
Dalam
menerapkan kemahiran berfikir aras tinggi, kurikulum peperiksaan dan
pentaksiran untuk mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik
(STEM) juga akan dikaji semula.
Untuk
itu, murid akan mendapat tambahan masa pengajaran dan penekanan terhadap
aplikasi pengetahuan yang praktikal melalui amali makmal dan pembelajaran
berasaskan projek, khusus bagi mata pelajaran Sains dan Matematik.
Dalam
usaha memastikan setiap murid menguasai kemahiran bahasa Inggeris, Kementerian
Pendidikan menetapkan bahasa Inggeris sebagai kertas wajib lulus di peringkat
SPM bermula 2016.
Bagi
membantu murid memenuhi keperluan itu, Kementerian Pendidikan akan melaksanakan
Sistem Set iaitu membahagikan guru kepada kumpulan atau set tertentu bagi
membolehkan mereka merangka pendekatan pedagogi yang sesuai dengan tahap
kemahiran dan keperluan pembelajaran murid.
Bagi
meningkatkan pengajaran bahasa Inggeris, semua 61,000 guru bahasa Inggeris juga
diwajibkan mengikuti Ujian Penempatan Cambridge (CPT) dalam tempoh dua tahun.
Berhubung
usaha melahirkan rakyat yang menghayati nilai sejagat, pelan itu menggariskan
bahawa Pendidikan Agama Islam dan Pendidikan Moral perlu diperkukuh dengan
tumpuan diberikan kepada perpaduan dan memupuk persefahaman yang erat antara
murid.
Dengan
itu, setiap murid sekolah rendah dan menengah perlu melibatkan diri dalam
khidmat komuniti di mana elemen komuniti akan dijadikan prasyarat untuk
kelulusan bagi sekolah menengah.
Selain
itu, keperluan penyertaan murid dalam 1Sukan, 1Kelab dan 1Badan Beruniform juga
akan diperkukuh, dan bagi meningkatkan kualiti aktiviti yang ditawarkan di
sekolah, guru penasihat aktiviti akan diberi latihan bersasaran oleh
kementerian.
"Kementerian
juga akan mengkaji kemungkinan mewajibkan penglibatan ini sebagai syarat tamat
pengajian dan pemberian biasiswa di peringkat pengajian tinggi," menurut
pelan itu.
-
BERNAMA
0 comments:
Post a Comment