Kementerian
Pendidikan akan mengintegrasikan Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan
Sekolah (SPPBS) dan Sistem Pengurusan Sekolah (SPS) sebagai satu pengkalan data
bagi meringankan beban guru di sekolah dalam tempoh dua bulan akan datang.
Langkah
itu merupakan sebahagian daripada inisiatif Pelan Pembangunan Pendidikan
Malaysia iaitu Pengintegrasian 1Data.
Ketua
Setiausaha kementerian, Datuk Dr Madinah Mohamad berkata melalui langkah itu,
guru hanya perlu memasukkan maklumat pengoperasian harian sekolah menggunakan
satu sistem.
"Kementerian
sedang meneliti dan berusaha mengintegrasikan kedua-dua sistem ini dan guru
tidak perlu menggunakan pelbagai sistem sehingga membebankan tugas mereka sebagai
pengajar," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis dialog Ketua
Pengarah Perkhidmatan Awam (JPA) Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal bersama
kira-kira 2,000 guru dan pegawai pelaksana negeri Melaka dalam program
Pemantapan Profesion Guru (PPG) di sini, Khamis.
Turut
hadir Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Abdul Ghafar Mahmud.
Dr
Madinah berkata usaha itu juga perlu dilaksanakan secara serius kerana guru
berhadapan masalah mengakses kedua-dua sistem berkenaan disebabkan capaian
sistem tersebut sering tergendala dan sukar diakses.
Beliau
berkata pengintegrasian kedua-dua sistem tersebut akan dilaksanakan secara
berperingkat dengan kerjasama kementerian dan JPA sebelum diperluaskan di
10,091 sekolah seluruh negara, menjelang akhir tahun ini.
Mengulas
lanjut, Madinah berkata bilangan maklumat yang perlu dimasukkan guru akan
berkurangan daripada 130 maklumat kepada kira-kira 60 maklumat.
Dalam
perkembangan lain, Mohamad Zabidi berkata Program Pemantapan Profesion Guru
bertujuan memartabatkan profesion guru supaya golongan itu memberi fokus
sepenuhnya kepada tugas pengajaran dan pembelajaran tanpa perlu melaksanakan
tugas pentadbiran akan diperluas secara berperingkat di enam zon melibatkan
Sabah, Sarawak, Utara, Selatan, Timur dan Barat.
"Pada
masa ini, program ini sedang dilaksanakan di negeri Melaka sebagai negeri
perintis melibatkan 313 sekolah yang telah bermula sejak Januari lepas,"
katanya.
-
BERNAMA
1 comments:
Mengarut !!!!!!! semua omong-omong kosong, Sistem Pengurusan Sekolah (SPS) itu sendiri bermasalah dan belum stabil, Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SPPBS) juga masih perlu ditambah baik baik... Jgn la nak buat kerja mengarut mengintegrasi kedua dua sistem berkenaan sedangkan keperluan untuk menambah baik perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum kedua dua sistem berkenaan disepadukan. Inilah cara kerja Bahagian teknologi Pendidikan (BTP) yang bercita-cita besar tetapi tidak mahu belajar dari orang lain. Kalau tak pandai, ajak orang berkongsi dan berbincang bagaimana nak tambah baik, tidak lah jadi seperti tikus membaiki labu...
Post a Comment