Kementerian
Pendidikan Malaysia (KPM) akan memperluaskan program i-Think ke 10,000 sekolah
seluruh negara pada tahun depan, bagi melahirkan pelajar yang memiliki
kemahiran berfikir aras tinggi.
Timbalan
Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia Datuk Sufa’at Tamin, berkata, setakat ini
500 sekolah termasuk menengah dan rendah mengikuti program terbabit berbanding
10 projek rintis yang dimulakan pada 2011.
“Bagi
memenuhi sasaran ini, seramai 412,000 guru akan diberi latihan dalam talian dan
sokongan manakala kira-kira 5.4 juta pelajar akan didedahkan kepada program
kesedaran dan jangkauan berkaitan kemahiran berfikir.
“Sehingga
kini, sebanyak 766 sekolah rendah dan 234 sekolah menengah yang dipilih oleh
Jabatan Pendidikan Negeri masing-masing sudah mengikuti program itu,” katanya
selepas Majlis Penyampaian Hadiah kepada pemenang Pertandingan Karnival
Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) Dalam Sejarah Sekolah Showcase i-Think
sempena Hari Kemerdekaan 2013 di Sekolah Kebangsaan Pusat Bukit Besar, di sini,
semalam.
Turut
hadir, Pengarah Pembangunan Kurikulum KPM, Dr Masnah Ali Muda dan Pengarah
Pendidikan Terengganu, Zakaria Ali.
Sebanyak
10 sekolah rintis Showcase i-Think termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK)
Kota Maruddu, Sabah, SMK Convent, Muar dan SMK Gaal, Kelantan menyertai
karnival itu.
Sebanyak
tiga kategori dipertandingkan pada karnival yang julung kali diadakan itu.
Sufa’at
berkata, penerapan program i-Think itu bertepatan dengan Pelan Pembangunan
Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 hingga 2025 yang dilancarkan Timbalan Perdana
Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, baru-baru ini.
“Melalui
program ini, pelajar akan didedahkan dengan kemahiran berfikir aras tinggi
sekaligus menepati hasrat kerajaan untuk melahirkan pelajar yang berinovatif
dan kreatif,” katanya.
-
hmetro
0 comments:
Post a Comment