Manusia dijadikan Tuhan dengan fitrah
bahawa setiap seorang daripada mereka dibekalkan dengan potensi ingin tahu,
dihormati, diterima pendapatnya, dipenuhi kehendaknya dan tidak tercabar maruah
diri serta keluarga atau lingkungan hidupnya. Kesemua itu mendorong manusia
mempertahankan keyakinan, kepercayaan dan pendapatnya apabila disangkal atau
dicabar. Perselisihan, persengketaan hatta peperangan boleh terjadi kerana
perbezaan pendapat antara seorang dengan seorang yang lain adalah juga fitrah.
Tidak ada satupun pendapat yang benar-benar sama dimiliki oleh dua orang yang
berbeza.
Sejarah perselisihan pendapat berlaku
seawal Nabi Adam mendapat dua pasang anak kembar iaitu Qabil dan pasangan
perempuannya serta Habil dan pasangan perempuannya. Qabil berpendapat dia
sepatutnya dikahwinkan dengan pasangan kembarnya yang pada pendapatnya juga
lebih cantik sedang Habil berpendapat sebaliknya. Walaupun pendapat Habil
sepatutnya lebih benar kerana disokong oleh hukum yang ditentukan Tuhan yang
tidak membenarkan perkahwinan antara adik beradik kembar, Qabil tetap dengan
pendiriannya. Akibatnya Qabil telah membunuh adik kandungnya sendiri walaupun
terpaksa mengingkari ketentuan Tuhan.
Kesan daripada berbeza pendapat adalah
besar jika tidak diurus dengan baik. Sebaliknya jika kita dapat mengurus
perbezaan pendapat dengan sempurna keuntungan besar pula diperoleh bukan sahaja
individu terlibat malahan organisasi dan masyarakat amnya.
Perbezaan pendapat sebenarnya suatu
rahmat yang mengandung banyak kebaikan. Hadith Nabi S.A.W ada menyebut “Al
ikhtilafu fi ummati rahmatun” yang bermaksud perbezaan pendapat di kalangan
ummatku adalah suatu rahmat. Dalam tahun 1987 ketika di Mina Makatul Mukarramah
mengerjakan haji, seorang rakan membacakan hadith ini kepada saya sambil
membayangkan bagaimana jika tiada perbezaan pendapat di kalangan mazhab tentang
masa melontar jumrah. Dengan adanya perbezaan pendapat itu, jemaah haji boleh
melontar di tempat yang sama mengikut masa yang berbeza berdasarkan pandangan
mazhab yang dianuti.
Berikut digariskan adab berbeza
pendapat agar pendapat yang kita berikan bukan sahaja diterima dan dimanfaatkan
malahan perselisihan faham tidak membawa persengketaan.
1. Tertib dan berfikir sebelum anda
bercakap memberi pendapat. Pendapat anda sebaik-baiknya hendaklah berasaskan
prinsip, prosedur, fakta dan doktrin umum berkenaan perkara yang dibincangkan.
2. Amalkan prinsip berkomunikasi
peringkat tinggi apabila anda berbincang dan mengemukakan pendapat secara rasmi:
-
Tunggu giliran anda bercakap semasa orang lain sedang bercakap. Elakkan mencelah atau memotong cakap orang lain tanpa kebenarannya.
-
Pelajari kemahiran mendengar kerana ia adalah kemahiran abad ke-21.
- Gunakan bahasa yang baik dengan struktur yang betul dan tidak menyakiti hati mana-mana pihak.
- Sesuaikan laras bahasa dan suara anda apabila bercakap sehingga tidak terlalu sukar untuk didengar dan difahami oleh audiens anda.
3. Elakkan mempertikai pandangan dan
pendapat orang lain. Jika anda terpaksa berbuat demikian, ikuti petua Dale
Carnegie dalam Golden Booknya jika anda ingin pandangan anda dihormati orang:
- Jangan mengkritik, kondem atau komplain pendapat orang lain yang anda tidak persetujui.
- Berikan penghargaan atau pujian yang ikhlas terhadap pandangan atau pendapat yang anda tidak bersetuju sebelum anda memberi pandangan sebaliknya.
- Gembirakan hati orang yang anda tidak setuju pandangannya sehingga dia tidak merasa keberatan untuk menerima pendapat anda atau tiada masalah dengannya.
- Tunjukkan minat anda untuk mendengar dan mengikuti dengan sabar dan asli pendapat orang itu sebelum anda mengemukakan pula pendapat anda.
- Sentiasa berikan senyuman ketika berbicara kerana dengan senyuman orang lebih mudah menerima pendapat anda yang berbeza dengannya.
- Address orang yang anda ajak bicara atau hujah pendapatnya dengan namanya yang betul dengan salutation yang sesuai kerana secara psikologi anda menghormatinya walaupun berbeza pendapat dengannya.
- Bercakap atau berhujah dari perspektif orang yang berbeza pendapat dengan anda. Sebagai contoh, jika anda subordinate kepada seorang ketua yang anda tidak bersetuju dengannya, berikan hujah anda mengikut dasar dan peraturan yang digariskan olehnya atau oleh jawatan yang disandangnya. Sebaliknya, jika anda ketua, sampaikan hujah anda ‘seolah-olah anda berada di dalam kasutnya’.
- Jadikan orang yang berbeza pendapat dengan anda berasa penting bukan sahaja kepada anda tetapi juga kepada organisasi atau institusi. Disarankan supaya anda lakukan dengan ikhlas.
4. Cara terbaik untuk mengelak
perselisihan atau pertelingkahan yang disebabkan oleh perbezaan pendapat ialah
elak berhujah (berargumentasi), sebaliknya terima sahaja mana-mana pendapat
yang disenangi ramai. Ramai orang terperangkap dalam pertelingkahan perbezaan
pendapat hanya dalam perkara yang remeh atau dalam perkara yang samar
kebenarannya atau mana-mana pendapatpun boleh diterima. Jika pendapat yang anda
rasa betul dipertikai orang, membiarkan orang lain mempertahankannya adalah
lebih baik dan lebih mulia daripada anda sendiri berbuat demikian.
5. Tunjukkan hormat anda kepada
pendapat orang lain. Jangan sekali-kali mengatakan orang lain salah. Mungkin
betul dia salah tetapi cuma satu sedangkan salah anda mungkin dua. Jika anda
salah, jangan malu segera mengakuinya dengan ikhlas, empati dan semangat
setiakawan.
6. Apabila anda merasa dan mendapati
pendapat anda diterima ramai sedangkan pendapat orang lain sebaliknya, lebih
baik anda berikan peluang kepada orang lain merumus atau menyatakan penerimaan
keputusan yang akan diambil. Membiarkan orang itu merasa bahawa itu adalah
pendapatnya adalah lebih baik dan lebih mulia walaupun hakikatnya adalah
pendapat anda.
7. Berlaku adil, simpati dan hormat
orang yang pendapat dan kehendaknya tidak diterima. Caranya mungkin dengan
tidak mengulang-ulangi pendapat orang itu selepas pendapat lain diterima atau
nyatakan bahawa pendapatnya betul tetapi lebih elok jika diterima pada masa dan
situasi lain.
Apa yang saya kemukakan di atas juga
merupakan pendapat peribadi yang ditulis berdasarkan pengamatan dan rujukan
terutama Dale Carnegie yang tidak bebas daripada kesilapan dan kesalahan. Saya
tidak merayu apatah lagi menuntut agar pendapat saya diterima. Jika ada
kebaikannya pertimbangkanlah untuk diamal. Sebaliknya, jika tiada kebaikan
apatah lagi jika ada mudharat, kesampingkanlah.
- drjamiladimin
0 comments:
Post a Comment