Setiap orang mungkin pernah mengalami
perasaan ini, iaitu satu perasaan irihati terhadap orang lain yang memiliki
kebaikan atau kelebihan. Perasaan ini mungkin bersama dengan harapan untuk
mendapat kebaikan atau kelebihan yang dimiliki oleh orang tersebut. Dan pada masa
yang sama juga mungkin irihati itu bersama cita-cita untuk melihat kejatuhan
orang yang diirihatikan itu. Sebagaimana firman Allah yang bermaksud;
"Jikalau kamu semua mendapatkan kebaikan, maka hal itu tidak
menyelesakan hati mereka sedang jikalau kamu semua mendapat kemudaratan, maka
merekapun bergembira disebabkan kemudaratan tersebut." (Surah al-Imran:
120)
Apakah pandangan Islam terhadap
perasaan ini? Jika dilihat dari aspek sejarah kehidupan manusia, dengki ini
sebenarnya telahpun lahir sejak zaman Nabi Adam a.s. sebagaimana kisah yang
terdapat di dalam al-Quran. Allah berfirman;
"Ceritakanlah kepada mereka kisah dua putera Nabi Adam (Habil dan
Qabil) menurut yang sebenarnya, ketika keduanya mempersembahkan korban, maka
diterima dari salah seorang dari mereka berdua (Habil) dan tidak diterima dari
yang lain (Qabil). Dia berkata (Qabil): "Aku pasti membunuhmu!".
Berkata Habil: Sesungguhnya Allah hanya menerima (korban) dari orang-orang yang
bertakwa". (Al-Mai'dah: 27)
Pengajaran yang boleh dapati
berdasarkan kisah dua putera Nabi Adam ini ialah, hasad dengki menyebabkan
seseorang boleh bertindak tanpa rasional yang boleh menyebabkan penyesalan yang
tiada kesudahan. Hasad dengki juga mendorong seseorang untuk melakukan
perkara-perkara yang sesat. Telah dinyatakan bahawa;
"Sesungguhnya orang yang pertama kali berbuat dengki di langit ialah
iblis terkutuk, maka berlanjutanlah sifat dengki itu seperti yang ada. Dan
orang yang pertama kali melakukan dengki di dunia ialah Qabil pada saat dia
berhasad dengki terhadap saudara kandungnya yakni Habil, maka berlanjutanlah
sifat dengki seperti yang ada. Maka cukuplah perbuatan keduanya itu sebagai
nasihat dan pengajaran bagi mereka yang berfikir."
Rasulullah s.a.w. bersabda, bermaksud: "Sesungguhnya pada nikmat Allah ta'ala
itu terdapat musuh-musuh. Baginda ditanya: "Siapakah musuh-musuh itu ya
Rasulullah? Baginda menjawab, Mereka ialah orang-orang yang berhasad dengki
terhadap orang lain atas anugerah yang diberikan oleh Allah."
Perasaan buruk ini boleh wujud di dalam
hati manusia disebabkan manusia itu mempunyai rasa permusuhan dan kebencian.
Dalam erti kata yang lain, dia tidak merasa bahawa berbaik-baik sesama manusia
dan sayang-menyayang dengan saudara seislam adalah keperluan bagi kekuatan
umah, yang menyumbang rasa bahagia bagi jiwa seorang muslim. Orang yang berada
dalam lingkungan ini sudah pasti tidak gemar untuk menyumbang kebajikan kepada
orang lain ataupun mendengar kebahagiaan yang dimiliki oleh saudaranya
(seislam).
Hasad dengki juga lahir disebabkan
merasa dirinya berada dalam kedudukan yang lebih tinggi dan mulia berbanding
orang lain. Apabila dia melihat keadaan orang lain yang mempunyai kebaikan atau
kelebihan yang tidak dimilikinya, dia menjadi rasa tercabar. Perasaan
tersebutlah yang dinyatakan sebagai dengki.
Orang yang mudah merasa iri hati
terhadap orang lain biasanya amat menyukai kedudukan sebagai pemimpin atau
ketua. Dia tidak mahu ada orang lain yang dapat menyainginya. Orang-orang sebegini
sudah pasti tidak merasa senang apabila melihat ada orang yang lebih berwibawa
dan berpengaruh daripadanya.
Sebagaimana kisah Habil dan Qabil tadi,
hasad dengki merupakan sifat yang boleh memberikan kesan buruk kepada diri
pengamalnya.
Sekurang-kurangnya terdapat lapan kesan
buruk yang boleh timbul akibat dari sifat dengki ini;
1) Sifat dengki mengakibatkan terhapusnya amalan baik yang pernah dilakukan
oleh seseorang.
Apabila seorang muslim melakukan
kebaikan, dia akan beroleh pahala. Malangnya, apabila dia mempunyai sifat
dengki terhadap orang lain, amalan-amalan kebaikan yang pernah dilakukannya
akan terhapus disebabkan perasaan dengki tersebut.
Sabda Rasulullah s.a.w.: "Jauhilah olehmu sekalian akan sifat
dengki, kerana sesungguhnya dengki itu menghapuskan kebaikan, sebagaimana api
menghanguskan kayu bakar." Yakni, boleh menyebabkan kufur.
2) Perasaan dengki mendorong diri seseorang untuk membuat kemungkaran dan
penderhakaan terhadap Allah.
Apabila hasad dengki telah bersarang di
dalam dada seseorang, maka dia akan meluahkan perasaan itu dalam bentuk umpatan
(ghibah), berkata bohong, mencaci dan memburuk-burukkan seseorang. Dengan
harapan kelebihan atau kebaikan pada orang yang didengkinya itu akan hilang.
Dari Dhamrah bin Tha'labah, Rasulullah
s.a.w. bersabda, bermaksud: "Manusia
itu adalah baik selama mana mereka tidak saling dengki-mendengki."
3) Sifat dengki akan menyebabkan seseorang itu kehilangan syarat untuk
menerima syafa'at pada hari kiamat.
Syafa'at adalah suatu anugerah yang tidak
ternilai harganya bagi seseorang yang menerimanya ketika Hari Akhirat. Ini
kerana, seseorang yang menerima syafa'at diberi izin untuknya membantu
orang-orang lain yang mengalami pelbagai kesusahan dan azab ketika hari
perhitungan. Jadi, tentulah amat malang bagi mereka yang mempunyai perasaan
hasad dengki dan iri hati ketika hidup kerana perasaan ini berupaya menjadi
penghalang yang amat besar baginya untuk menerima manfaat syafa'at pada hari
akhirat yang boleh memudahkannya untuk menempuh pelbagai rintangan dan azab
pada hari dia dihisab. Sebuah hadis Rasulullah s.a.w. dari Abdullah bin Basyar,
Rasulullah bersabda, bermaksud: "Tidak
termasuk golonganku si pendengki, orang mengadu domba, orang yang mempunyai
ilmu menilik dan akupun tidak dari golongannya."
Kemudian baginda membaca ayat al-Qur'an
yang maksudnya berbunyi: "Orang-orang
yang menyakiti hati orang-orang mukmin laki-laki dan perempuan di atas perkara
yang tidak dilakukan, maka sesungguhnya mereka itu telah melakukan dusta dan
dosa yang nyata."
4) Oleh sebab dengki merupakan sifat yang menempah dosa, maka tentulah ia
akan menyebabkan pengamalnya akan humbankan ke dalam neraka sekiranya dia tidak
bertaubat.
Rasulullah s.a.w. bersabda yang antara
lain bermaksud; "Rasulullah telah
ditanya mengenai enam golongan yang akan ditempatkan ke dalam neraka.
Rasulullah menjawab., Enam golongan orang yang akan dimasukkan ke dalam neraka
ialah, pemerintah yang menganiaya, orang Arab dengan sifatnya yang fanatik,
penjajah dengan keangkuhan mereka, usahawan dengan perbuatan khianat, orang
kampung dengan kebodohan mereka dan para ulama dengan sifat dengki
mereka."
5) Sifat dengki juga akan menyebabkan seseorang itu boleh melakukan perkara
yang boleh memudaratkan orang lain.
Contoh yang paling mudah adalah dengan
melihat kisah Habil dan Qabil pada awal perbincangan tadi. Hasad dengki dan
dendam kesumat yang wujud dalam perasaan Qabil telah menyebabkan kematian
Habil. Di dalam hal ini, Habil telah menerima kemudaratan yang amat dahsyat
disebabkan rasa hasad abang kandungnya sendiri. Apabila seseorang telah
melakukan kemudaratan kepada orang lain, tentulah kesan buruknya akan pulang
semula kepada dirinya. Selain itu, pengajaran lain yang boleh didapati di sini,
kita seharusnya memohon perlindungan dari kejahatan orang yang berhasad dengki.
Di dalam hal ini Allah s.w.t. telah menyentuh perkara ini dalam firmannya yang
bermaksud; "dan dari kejahatan
orang yang mendengki."
6) Memiliki hasad dengki akan hanya menyebabkan kesusahan dan kesulitan
kepada pemiliknya.
Orang yang memiliki sifat ini tidak
pernah merasa selesa dengan keadaan dirinya sendiri. Tidak ada ketenangan dalam
dirinya kerana hanya memikirkan kelebihan dan kebaikan orang-orang yang berada
di sekelilingnya dan merasakan dirinya juga wajar untuk memiliki kelebihan
tersebut.
7) Hasad dengki yang berada di dalam hatin akan menghalang pintu hati
daripada memahami secara sebenarnya tentang ilmu-ilmu agama dan perkara-perkara
mengenai hukum hakam.
Hati akan menjadi gelap dan
sesungguhnya orang-orang ini akan berada dalam kerugian. Ini kerana orang lain
dapat memahami dengan mudah mengenai ilmu-ilmu agama, dan kesannya
perhubungannya di antara hamba dengan Pencipta akan menjadi semakin dekat
berbanding dengan orang yang mempunyai hasad dengki. Oleh sebab tidak ada
keinsafan dalam dirinya, maka perhubungannya dengan Allah s.w.t. menjadi
semakin jauh. Kata Sufyan dalam hal ini; "Jangan
engkau menjadi orang yang dengki lagi mudah membuat kesimpulan."
8) Orang yang mempunyai hasad dengki akan sentiasa terhalang dari mendapat
kebaikan dan keuntungan, bahkan dia menguntungkan musuh-musuhnya.
Ini kerana, orang-orang yang mempunyai
rasa dengki lazimnya akan merasa iri hati pada orang-orang yang baik, yang
sewajarnya menjadi orang yang dikasihinya sebagai saudara seagama. Walaupun
demikian, disebabkan sikapnya yang buruk itu, musuh-musuh orang yang
didengkinya itu akan lebih beruntung. Tugas musuh-musuh ini akan menjadi lebih
mudah untuk menjatuh atau memusnahkan orang yang mempunyai kebaikan dan
kelebihan tersebut.
Selain itu, sebagaimana yang telah
dinyatakan tadi, sikap ini akan merugikan orang yang berhasad dengki. Oleh
sebab dia telah menjauhkan dirinya dari orang-orang yang didengkinya dan pada
masa yang sama dia juga tidak mendapat manfaat daripada orang yang didengkinya.
Keadaan ini sesuai dengan satu kata-kata hikmat yang mengatakan; "Orang yang berhasad itu tidak akan
menuai hasil keuntungan."
Islam memberi panduan dan pedoman bagi
mereka yang mahu menyelamatkan diri dari belenggu dosa ini. Ilmu dan takwa adalah
senjata sebenar yang dapat melawan perasaan yang boleh menjahanamkan manusia
ini. Ilmu yang dimiliki oleh manusia dapat memberi amaran tentang akibat-akibat
yang bakal diterima sekiranya perasaan ini diamalkan. Peminggiran dari aspek
sosial sebenarnya adalah kerugian yang amat besar bagi seseorang manusia yang
ingin diterima masyarakat. Melalui ilmu juga, seseorang manusia akan berusaha
untuk mencapai darjah ketakwaan.
Kesimpulannya, hasad dengki hanya akan
menyebabkan kerugian kepada orang yang memilikinya dan kepada agama Islam
sendiri. Bagi individu yang memilikinya, dia akan terpinggir dari hidup
bermasyarakat, mempunyai perasaan yang sentiasa tidak aman dan akan
menyebabkannya melakukan perkara-perkara yang lebih keji. Apabila dia berada di
akhirat, akan menanggung kerugian yang lebih besar, tidak tertanggung dan
menempah penyesalan yang tidak terkira kerana tidak layak untuk menerima dan
mendapat syafa'at dan tidak ditempatkan dalam tempat yang penuh kebaikan,
kemewahan dan keberkataan, yakni syurga. Walaupun kerugian itu ditanggung
secara personal oleh pengamalnya, akan tetapi ia juga memberi kesan yang tidak
baik kepada ukhuwwah islamiyyah. Umat Islam akan menjadi tidak bersatu dan
tidak akan menjadi sebuah umat yang kuat sekiranya sifat ini diamalkan oleh
orang-orang Islam. Akhirnya, umat Islam secara keseluruhannya yang akan rugi.
Subnaallah.
0 comments:
Post a Comment