Majlis
Guru-Guru Asean (ACT) meluluskan empat resolusi yang menekankan peranan
profesionalisme dalam menyampaikan pendidikan berkualiti ke arah merealisasikan
matlamat Komuniti Asean 2015.
Presiden
Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) Hashim Adnan berkata
pendidikan berkualiti harus dicapai melalui syarat kemasukan yang ketat,
latihan dan pembangunan guru profesional secara berterusan.
Bagi
mencapai matlamat ini beliau menegaskan pendidikan berkualiti memerlukan tiga
elemen penting iaitu pembelajaran dan pengajaran berkualiti; kurikulum
kontemporari, alat dan sumber pembelajaran untuk melengkapkan pembelajaran
kanak-kanak dan persekitaran kondusif bagi pembelajaran dan pengajaran.
"Kita
perlu memastikan akses yang sama kepada pendidikan berkualiti di semua
peringkat tanpa diskriminasi dan ia harus bermula seawal sekolah rendah,"
katanya kepada pemberita pada majlis penutupan Persidangan ACT ke-29 di sini
hari ini.
Kira-kira
900 delegasi dari Brunei, Indonesia, Thailand, Kemboja, Laos, Malaysia,
Myanmar, Filipina, Singapura dan Vietnam, serta Korea Selatan menghadiri
persidangan empat hari bermula Jumaat lepas.
Berhubung
resolusi lain, Hashim berkata profesionalisme guru boleh dipertingkatkan
melalui pengambilan terpilih, pembangunan profesional berterusan dan
pembangunan kerjaya menyeluruh.
"Pembangunan
profesional berterusan merupakan kunci kepada pendidikan berkualiti bagi
guru-guru Asean, memandangkan ia boleh menghasilkan pengagihan guru secara adil
dan saksama serta berkualiti.
"Dalam
paradigma pendidikan holistik, peranan guru ditakrifkan sebagai pemudah cara
pembelajaran dan pembentukan peribadi. Ini membolehkan guru menumpukan
perhatian dalam mewujudkan suasana di dalam kelas untuk memudahkan pembelajaran
kendiri," katanya.
Sehubungan
itu, Hashim berkata NUTP sedang menyiapkan cadangan kepada Kementerian
Pendidikan untuk menganjurkan Kursus Kepimpinan dan Pengurusan Pendidikan untuk
guru besar dan pengetua sekolah.
Kursus
ini akan melengkapkan guru besar dengan komunikasi dan kemahiran pengurusan
masa untuk membolehkan mereka memahami peranan mereka dan melaksanakan tugas
dengan lebih baik, katanya.
Resolusi
lain memberi tumpuan kepada interaksi lebih rapat antara guru bagi memupuk
muhibah dan persefahaman dengan komuniti Asean, di samping meningkatkan
kerjasama antara negara Asean dan organisasi pendidikan untuk membangunkan,
mengekalkan dan menyokong standard profesionalisme guru.
-
BERNAMA
0 comments:
Post a Comment